21 September 2021, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2022 kekal bercirikan pengembangan dan berkonsepkan belanjawan pemulihan bagi menyokong usaha pembaharuan kerajaan dengan lebih meluas untuk tempoh jangka panjang di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, fokus utama Belanjawan 2022 ialah memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkinkan pembaharuan untuk ekonomi negara.

“Tahun 2022 akan menjadi tahun kritikal bagi Malaysia, tahun untuk bangkit dan permulaan penting yang bukan sahaja terhadap pemulihan ekonomi, malah melibatkan pemulihan industri, kehidupan dan pekerjaan, terutamanya bagi golongan yang terjejas teruk akibat pandemik,” jelas beliau ketika menyampaikan ucap utama dalam Sidang Kemuncak Kewangan dan Perbankan Malaysia 2021 yang diadakan secara maya pada hari ini.

Dalam usaha membina daya tahan, beliau menegaskan, bank dan institusi kewangan perlu memainkan peranan penting, antara lain perlu menyokong pelanggan dalam peralihan mereka kepada keperluan kebiasaan baharu, termasuklah memanfaatkan pendigitalan dalam operasi perniagaan mereka.

“Pihak bank perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan peranan perantaraan kewangan sepanjang kitaran mana-mana perniagaan, baik usahawan yang bercita-cita tinggi atau konglomerat yang akan melaksanakan tawaran awam permulaan dan mereka yang meneroka bentuk pembiayaan alternatif termasuklah rantaian bekalan pembiayaan atau kemudahan berasaskan perdagangan baharu.

“Usaha-usaha ini akan melengkapi inisiatif yang lebih luas oleh kerajaan termasuklah Dasar Revolusi Industri Keempat Negara (IR 4.0) dengan pendigitalan dan penggunaan teknologi yang begitu penting dalam usaha meningkatkan prospek dan ketahanan ekonomi selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” jelas beliau.

Sebagai penggerak modal, YB Tengku Zafrul berpandangan, industri perbankan merupakan kunci dalam memudahkan peralihan syarikat ke arah amalan karbon rendah dan lestari melalui pembiayaan dan pelaburan yang melangkaui pandemik, sama ada menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui, teknologi baharu atau cara baharu untuk menjalankan perniagaan.

“Sudah pasti faktor untuk bangkit dengan lebih baik ialah dengan mengubah cara bank beroperasi. Pada peringkat global, lebih daripada 45 peratus industri perbankan global telah mendaftar bagi Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Prinsip Perbankan yang Bertanggungjawab,” jelas beliau.

YB Tengku Zafrul juga menyarankan agar lebih banyak institusi kewangan dalam negara supaya turut serta dalam aspek tersebut, selaras dengan objektif Matlamat Pembangunan Lestari dan Perjanjian Iklim Paris.

Tambah beliau, dengan berbuat demikian, pihak bank dapat memastikan integrasi kelestarian yang lebih mendalam dalam bidang perniagaan bank, sekali gus dapat membuat keputusan dengan lebih strategik.

“Usaha seperti ini tentunya melengkapkan usaha kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari PBB dalam peruntukan tahunannya. Bermula dengan Belanjawan 2021, ciri ini akan diteruskan dalam Belanjawan 2022, serta melalui inisiatif yang lebih luas seperti RMK12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” jelas beliau.

Memandangkan sektor kewangan terikat dengan ekonomi yang lebih luas, YB Tengku Zafrul berpendapat, amatlah penting bagi industri perbankan melipatgandakan usaha memulihkan ekonomi sambil menyokong kelangsungan perniagaan terutamanya bagi memulakan perniagaan ketika sektor ekonomi dibuka semula.

Dalam hal ini, industri perbankan diharap dapat memudahkan pinjaman kepada perniagaan dengan syarat pembiayaan dan pembayaran yang akomodatif termasuklah menyertai program iTEKAD yang membantu pengusaha mikro untuk memulakan dan mempertahankan perniagaan mereka.

Industri ini juga perlu menyediakan kemudahan berasaskan bukan hutang seperti skim mudah tunai Cakna dan Jana Niaga yang melegakan kekangan aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tanpa meningkatkan tahap hutang mereka.

Akhiri beliau, pihak bank juga seharusnya menggalakkan pembayaran digital, selain penyertaan pedagang kecil untuk menerima pembayaran QR dan memastikan bayaran yuran peniaga yang berpatutan, di samping menyokongnya melalui pelbagai skim pembiayaan segmen peminjam yang paling kurang mendapat perkhidmatan atau layanan, baik dalam sektor perhotelan, perusahaan mikro atau dalam kalangan usahawan wanita.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.