Oleh Ad Aman
18 September 2021, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kerajaan perlu memanfaatkan sebaik mungkin ekosistem ekonomi sedia ada yang dimilikinya bagi menyelamatkan ekonomi rakyat termasuklah sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata Dr. Edmund Terence Gomez, Profesor Ekonomi Universiti Malaya.

Ekosistem ekonomi yang dimaksudkan oleh beliau ialah rangkaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun yang disifatkan mempunyai capaian agak besar dalam ekonomi Malaysia.

Capaian ekosistem ekonomi tersebut meliputi hampir keseluruhan sektor yang merangkumi perbankan, kesihatan (pemilikan hospital swasta), telekomunikasi, utiliti, perikanan dan pertanian.

Kita sememangnya memiliki sumber. Mereka (kerajaan) tahu kerana mereka memiliki institusi pembangunan kewangan antaranya seperti SME Bank, Agrobank dan Bank Pembangunan serta termasuklah bank yang dimiliki oleh GLC.

Selain itu, badan berkanun seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan lain-lain lagi boleh membantu petani dan nelayan di luar bandar.

“Jika kesemua ekosistem ini dimanfaatkan dengan baik, hal ini akan menjadi satu anugerah,” katanya ketika menjadi panel dalam program webinar Aliran bertajuk “Negara, Masyarakat dan Ekonomi dalam Peralihan – Di Mana Malaysia?”.

Dr. Edmund (bawah, kiri) bersama-sama Dr. Prema Tayeb, Dr. Khoo Ying Hooi ketika menjadi panelis webinar Aliran, dan Zikri Rahman selaku moderator program.

Dr. Edmund berkata, ramai pihak tidak sedar akan keupayaan ekosistem yang dimiliki oleh kerajaan itu bagi membantu menyelamatkan ekonomi negara sekiranya direformasikan dengan baik.

Kepentingan tersebut adalah untuk membantu ekonomi negara juga dapat dilihat apabila kerajaan sebelum ini telah melancarkan inisiatif Perkukuh Pelaburan Rakyat (Perkukuh) bagi membantu usaha enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melaksanakan mandat diperbaharui mereka.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil perhatian untuk memastikan penambahbaikan sistem tersebut khususnya dalam perancangan RMK-12 dan Belanjawan 2022.

Mengulas lanjut, Edmund berkata, PKS merupakan sektor yang paling penting untuk diberikan perhatian dalam usaha negara menangani krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Berdasarkan lebih daripada 1.2 juta syarikat yang berada di Malaysia, 98.5 peratus daripadanya merupakan syarikat PKS, iaitu kira-kira 900 000 syarikat.

“Separuh daripadanya dijangka akan mengalami kerugian dalam masa terdekat. Hal ini akan berlakunya peningkatan dalam pinjaman tidak berbayar, kes muflis dan pengangguran.

“Maka itu, timbul persoalan apakah yang perlu dilakukan untuk menangani isu serius ini? Bagaimanakah kita berhadapan dengan pandemik yang dijangka akan berlanjutan? Siapakah yang akan melakukan intervensi untuk menyelamatkan negara?

“Tidak ragu lagi, semuanya berkaitan dengan kerajaan,” ujarnya.

Jelas beliau, negara yang memiliki ekosistem seperti China dan Singapura dan berjaya memanfaatkannya dengan baik terbukti berupaya untuk menangani krisis COVID-19 dengan lebih cepat dan efektif.

“Singapura juga memiliki sistem GLC yang luas dan mereka melakukan intervensi dengan sangat efektif. Selain itu, kita lihat juga bagaimanakah China mampu membina hospital dengan cepat sebagai langkah intervensi menangani pandemik ini.

“Kita masih tidak sedar mengenai penyelesaian ini yang hakikatnya sudah digunakan di negara lain. Negara yang menangani pandemik ini dengan cepat dan efektif adalah mereka yang mempunyai ekosistem seperti ini (penglibatan GLC yang meluas dalam ekonomi),” ujarnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.