Oleh Ad Aman
14 September 2021, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persefahaman politik yang dicapai antara kerajaan dengan blok terbesar pembangkang, Pakatan Harapan (PH) pada Isnin diyakini akan menyumbang kepada persekitaran lebih stabil dan kondusif bagi perkembangan sektor pelaburan, pasaran modal dan ekonomi negara.

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan, berkata pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang dinamakan sebagai Transformasi dan Kestabilan Politik itu bakal memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat 2021 dan seterusnya bagi tahun 2022.

Kementerian Kewangan yakin bahawa persefahaman politik yang baru dimeterai semalam akan terus mendokong asas pemulihan ekonomi dan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3.0 peratus hingga 4.0 peratus bagi tahun 2021.

Sementara itu, Tengku Datuk Seri Zafrul memaklumkan Majlis Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) [Akta KWC] pada 10 September lalu.

Tengku Datuk Seri Zafrul (kanan) bersama-sama Datuk Azhar Azizan Harun, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (kiri); Datuk Seri Hamzah Zainudin, Menteri Dalam Negeri (dua dari kanan) dan Anthony Loke Siew Fook, Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH (dua dari kiri) ketika majlis menandatangani MoU di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, hal ini melibatkan dua perkara, iaitu meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion dan meningkatkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60 peratus kepada 65 peratus daripada KDNK.

Selain itu, pindaan tersebut juga bertujuan untuk mengukuhkan sistem kesihatan negara dan penambahan bantuan ekonomi kepada rakyat dan sektor perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro itu akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada Oktober ini.

“Kementerian Kewangan juga mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

“Hal ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50 peratus terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh tiga bulan pada suku keempat 2021,” jelas beliau dalam kenyataan media pada hari ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.