Oleh Rohami Shafie
8 September 2021, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Istilah tadbir urus korporat agak janggal buat syarikat di Malaysia sebelum berlakunya krisis kewangan Asia pada tahun 1997/1998.  Istilah ini mula digunakan secara kerap apabila kebanyakan syarikat di negara ini dikatakan tidak mengamalkan tadbir urus korporat yang baik sehingga menyebabkan mereka terpaksa gulung tikar ekoran krisis kewangan Asia 1997/1998. Berpunca daripada serangan spekulator mata wang asing ke atas mata wang negara-negara Asia, termasuklah mata wang Malaysia, banyak syarikat tidak mampu bertahan lama ekoran bebanan hutang yang berlipat ganda berbanding dengan sebelum krisis  kewangan Asia 1997/1998.

Kegagalan banyak syarikat di Malaysia termasuklah yang disenaraikan di Bursa Malaysia (dahulu dikenali sebagai Bursa Saham Kuala Lumpur-BSKL) menyebabkan banyak pihak menyatakan antara faktor kegagalan syarikat-syarikat di Malaysia pada ketika itu disebabkan kelemahan tadbir urus korporat. Saham-saham syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mengalami kejatuhan yang teruk. Nama-nama syarikat yang sangat dikenali pada suatu ketika dahulu ada yang sudah tidak lagi disebut pada masa ini. Kebanyakan usahawan yang dahulunya nama mereka cukup sinonim dalam sektor keusahawanan dan korporat Malaysia tenggelam begitu sahaja. Begitulah penangan dahsyat krisis kewangan Asia 1997/1998 ke atas ekonomi Malaysia amnya dan syarikat-syarikat serta usahawan di Malaysia khasnya pada waktu tersebut.

Atas alasan tersebut, kerajaan dan penggiat industri berganding bahu dan berusaha untuk memartabatkan amalan tadbir urus korporat yang baik terutamanya dalam kalangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.  Usaha ini jelas kelihatan apabila wujudnya Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang pertama pada tahun 2000.  Syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mula menitikberatkan amalan tadbir urus korporat yang baik. Kebaikan amalan tadbir urus korporat yang baik mula dirasai oleh syarikat-syarikat di Malaysia meskipun pada ketika itu ekonomi Malaysia baru sahaja pulih daripada kesan krisis kewangan Asia 1997/1998.  Syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sudah tentu terpaksa menyerap kos untuk melaksanakan amalan tadbir urus korporat yang baik seperti yang dinyatakan oleh Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia pada tahun 2000.

Kesan daripada krisis kewangan Asia 1997/1998 yang masih terasa dan pada masa yang sama syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia pula disarankan untuk mengamalkan tadbir urus korporat yang baik menyebabkan mereka terpaksa menyerap kos untuk melaksanakan tadbir urus korporat yang disyorkan oleh Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia tahun 2000. Pada awalnya syarikat-syarikat tersenarai awam sukar untuk mematuhi sepenuhnya perkara yang dinyatakan dalam Kod Tadbir Urus Korporat pada tahun 2000.

Apabila syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia mula menunjukkan kesan positif selepas mempraktikkan amalan tadbir urus yang baik, penggiat industri mula memahami betapa pentingnya mengamalkan syor-syor dalam Kod Tadbir Urus Korporat pada tahun 2000.  Kebaikan ini mula diterjemahkan apabila setiap pihak dalam syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia mula memahami peranan mereka masing-masing termasuklah ahli lembaga pengarah syarikat, jawatankuasa audit, pengerusi lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan para juruaudit.

Pada tahun 2007, sekali lagi pihak berkuasa melancarkan Kod Tadbir Urus Korporat yang  disemak semula agar bersesuaian dengan keadaan semasa. Sekitar tahun 2006 hingga 2007, terdapat beberapa kes skandal korporat di Malaysia melibatkan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Pada ketika itu, isu skandal korporat tertumpu pada syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Tumpuan diberikan ke atas peranan jawatankuasa audit yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal perakaunan, kewangan dan pengauditan syarikat. Isu kebebasan jawatankuasa audit juga ditekankan pada masa ini selain daripada kepakaran mereka dari segi kewangan. Kedua-duanya cukup penting kerana memberikan kesan terhadap kualiti jawatankuasa audit. Ahli jawatankuasa audit sewajarnya bebas dan juga memiliki kepakaran dalam aspek kewangan. Bebas itu bermaksud mereka dapat membuat keputusan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak terutamanya dari dalam syarikat itu sendiri.

Pada tahun 2012 dan  2017, sekali lagi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia dilancarkan.  Kedua-kedua kod ini memainkan peranannya yang tersendiri. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kualiti piawaian tadbir urus korporat di Malaysia melibatkan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.  Pada tahun 2017, pihak berkuasa mula mementingkan aspek pelantikan wanita dalam kalangan ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi. Hal ini amatlah ditekankan kerana golongan wanita juga sewajarnya dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Mereka tidak boleh sekadar menjadi pekerja sokongan semata-mata, namun perlu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi, iaitu sebagai ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat. Tiada sesiapa yang boleh menafikan peranan wanita yang semakin penting dalam dunia korporat kini.

Tidak terhenti setakat tahun 2017, sekali lagi pada tahun ini, iaitu pada 28 April 2021 Kod Tadbir Urus Korporat tahun 2021 telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Hal ini bermaksud Malaysia telah mengeluarkan lima edisi kod tadbir urus korporat dalam tempoh 21 tahun selepas buat pertama kali dikeluarkan pada tahun 2000. Kod Tadbir Urus Korporat 2021 meneruskan agenda kod-kod tadbir urus korporat sebelum ini, antaranya melibatkan aspek pelantikan wanita dan penubuhan jawatankuasa pengurusan risiko.  Malah, pada kali ini hal-hal tentang kemapanan dan kelestarian syarikat juga ditekankan agar ahli lembaga pengarah benar-benar mengetahui tanggungjawab mereka untuk mentadbir urus risiko-risiko dan peluang-peluang kemapanan dan kelestarian dalam usaha menyokong strategi dan kejayaan syarikat. Pengurusan tertinggi syarikat juga perlu mengambil berat tentang hal ini.

Pengurusan risiko semakin ditekankan dalam kalangan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Terdapat syarikat-syarikat tersenarai awam menubuhkan jawatankuasa pengurusan risiko pada peringkat ahli lembaga pengarah bagi membolehkan risiko-risiko untuk dikenal pasti, dinilai dan seterusnya dipantau agar tidak memberikan kesan yang negatif kepada syarikat. Oleh sebab itu, tidak mustahil risiko-risiko ini diterjemahkan dan ditukar dalam bentuk yang positif agar dapat memberikan manfaat kepada syarikat terbabit. Sudah tentulah hanya pihak yang pakar dalam hal ehwal pengurusan risiko dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik dan berkesan.

Kod Tadbir Urus Korporat tidak akan terhenti setakat ini kerana kod baharu dijangka digubal pada masa akan datang supaya asas tadbir urus korporat diperkukuh dalam kalangan syarikat-syarikat tersenarai awam sehingga mampu berada pada tahap yang cemerlang setanding dengan syarikat-syarikat antarabangsa.

 

Profesor Madya Dr. Rohami Shafie, Pengarah Institut Kajian Strategik dan Pembangunan Perakaunan Mampan (ISSAD), Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.