7 September 2021, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pandemik COVID-19 memberikan kesan yang besar kepada sektor ekonomi dan kehidupan masyarakat di dunia.

Impak pandemik COVID-19 bukan sahaja mengubah landskap sektor ekonomi negara, malah turut mempengaruhi kehidupan seharian masyarakat di dunia. Majoriti rakyat Malaysia berdepan dengan kesukaran untuk menjana pendapatan selain perlu mencari kerja alternatif. Pada masa yang sama, kesan pandemik juga tidak membezakan antara penduduk di bandar mahupun di luar bandar. Kehidupan masyarakat di negara ini semakin meruncing apabila berlaku peningkatan kes harian COVID-19 sehingga mencecah 20 000 kes bermula pada Ogos lalu. Gerakan “Bendera Putih” umpamanya sudah cukup menggambarkan kesempitan yang dialami oleh sesetengah pihak dalam menongkah arus pandemik demi kelangsungan hidup masing-masing.

Aset dan wang tunai menjadi perkara penting yang dicongakkan pada setiap masa sepanjang diuji dengan COVID-19 sama ada bagi mereka yang berada dalam golongan B40, M40 mahupun T20. Golongan B40 sentiasa berjuang untuk memenuhi keperluan hidup, lebih-lebih lagi ketika pandemik ini. Golongan M40 juga dikatakan ‘turun taraf’ ke B40 apabila mereka yang sebelum ini memperoleh pendapatan selesa terpaksa diberhentikan terutamanya golongan yang terlibat dengan industri pelancongan, perhotelan dan syarikat penerbangan. Golongan T20 juga boleh “turun takhta” ke B40 apabila diisytiharkan muflis akibat perniagaan yang diusahakan mereka terjejas teruk. Oleh hal yang demikian, simpanan aset dan tabungan wang merupakan perkara terpenting dalam tempoh pandemik ini.

Duit dan Emas

Duit (wang kertas) atau emas merupakan harta yang bernilai dan berfungsi sebagai asas mata wang. Emas merupakan logam terawal yang pernah dijadikan mata wang rasmi. Kronologi mata wang dunia bermula dengan sistem wang token, iaitu daripada logam emas dan perak sebagai alat pertukaran yang berlangsung sebelum tahun 1870. Sistem ini tidak dapat dikekalkan kerana simpanan emas hanya meningkat apabila hasilnya boleh didapati daripada perlombongan. Selepas itu bermulalah penggunaan sistem mata wang emas dan wang kertas apabila wang kertas boleh ditebus dengan emas pada kadar yang ditetapkan. Bermula pada tahun 1971 tiada lagi sandaran emas dalam sistem mata wang dunia dengan pelaksanaan sistem apungan (wang fiat). Penggunaan wang kertas sebagai mata wang asas berkekalan sehingga ke hari ini.

Perbezaan utama emas dengan wang kertas didapati dari sudut nilai terkandung. Emas mempunyai nilai intrinsik, iaitu zat kepada emas itu sendiri. Berat dan ketulenan emas merupakan asas bagi perkiraan nilai. Berbeza daripada wang kertas yang diberi nilai melalui percetakan nombor di atas kertas berdasarkan digit 1, 5, 10, 20 dan 100. Wang kertas terdedah kepada risiko kejatuhan nilai disebabkan inflasi dan kejatuhan ringgit. Manakala emas pula terjamin dari sudut nilainya dalam jangka masa panjang. Simpanan emas juga mempunyai risiko turun naik harga, namun untuk tempoh jangka panjang, emas mampu memegang nilai dan berkemungkinan besar memberikan pulangan simpanan yang lebih tinggi. Konsep asas ini perlu difahami supaya simpanan kita lebih terjamin dan selamat.

Kesan Inflasi

Secara purata, kadar inflasi tahunan di Malaysia berjumlah sekitar 2.4 peratus (2014-2018). Pada Julai 2021, kadar inflasi dianggarkan mencecah 4.4 peratus setahun. Hal ini bermaksud, pulangan yang bakal diperoleh mungkin tidak memadai dengan kadar inflasi semasa. Kadar inflasi keseluruhan Malaysia dijangka lebih tinggi dan berada pada paras antara 2.5 peratus hingga 4.0 peratus pada tahun 2021 disebabkan oleh faktor tolakan kos berikutan peningkatan harga minyak dunia. Ketika kadar inflasi meningkat, situasi tersebut akan menurunkan nilai simpanan tetap atau duit simpanan. Keadaan ini agak berbeza daripada emas yang sememangnya dikenali dengan sifat kalis inflasi. Jika dilihat pada purata perkembangan emas tahunan (2014-2018), nilai emas berkembang seiring dengan inflasi pada tempoh yang sama dengan purata 5.3 peratus setahun.

Dengan kata lain, pelaburan dalam Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional terjamin dari sudut nombornya, namun simpanan emas terjamin dari sudut nilainya bagi tempoh jangka panjang. Kenyataan ini dilihat bersesuaian dengan nasihat pakar kewangan, Tuan Azizi Ali, yang menyatakan sebanyak 10 peratus kekayaan mesti disimpan dalam bentuk emas pada setiap masa. Sekiranya terdapat lebihan simpanan, seseorang itu disarankan supaya membuat pelaburan lain. Menyimpan emas mungkin tidak membuatkan seseorang itu kaya-raya dalam tempoh masa yang singkat, namun dengan memiliki emas pastinya dapat melindungi nilai harta kita.

Penyelesaian Simpanan Emas

Terdapat dua bentuk simpanan emas yang boleh dipilih, iaitu secara fizikal atau melalui akaun emas. Simpanan emas secara fizikal termasuklah pembelian barang kemas (perhiasan wanita), jongkong emas, bulion, syiling dan juga wafer (bar) emas. Kaedah dan cara penyimpanan emas fizikal ini bergantung pada keupayaan dan kemampuan kewangan individu. Bagi yang kurang lebihan untuk menyimpan, mereka boleh bermula dengan simpanan wang kertas secara konsisten. Sebagai contoh, RM2 sehari atau RM100 sebulan. Selepas beberapa tempoh, simpanan tersebut harus ditukar kepada emas seperti bar emas yang bernilai RM400. Selain itu, masyarakat juga boleh memilih untuk menyimpan syiling dirham (perak) dan boleh menukar kepada syiling dinar (emas) apabila sudah sampai bilangan untuk sekeping dinar emas. Bagi golongan yang berkemampuan, sebaik-baiknya disarankan supaya menyimpan emas dalam bentuk bulion ataupun jongkong yang pastinya memberikan pulangan yang lebih besar. Sebahagian besar masyarakat suka membeli dan menyimpan barang kemas disebabkan bukan sahaja dapat dijadikan simpanan malah boleh dipakai dan digunakan. Perlu dimaklumi bahawa barang kemas dikenakan kos upah (pertukangan) dan wujud peratusan susut nilai sekiranya dijual kembali di kedai-kedai emas.

Manakala simpanan melalui akaun emas patuh Syariah pula boleh dilakukan di beberapa buah bank di Malaysia, antaranya Kuwait Finance House Gold Account-I, Bank Muamalat Gold-i Account, Al-Rajhi Bank Gold-i Account dan yang terkini Maybank Islamic Gold Account-i. Simpanan emas seumpama ini merupakan pilihan yang bijak terutamanya bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli emas fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana pembelian dalam akaun emas boleh dibuat dengan harga serendah RM10. Di samping itu, melalui akaun emas ini kita tidak perlu memikirkan tempat penyimpanan dan keselamatan emas tersebut. Segala-galanya diuruskan oleh perbankan tersebut.

Penipuan Emas dan Barangan Ribawi

Pelaburan emas juga tidak sunyi daripada ancaman penipuan atau scammers. Keadaan ini berlaku disebabkan ketamakan manusia dengan kemewahan dan keuntungan di sebalik nilai emas. Emas dan perak tergolong dalam barangan ribawi. Barangan ribawi telah disebutkan oleh Rasulullah SAW. sebagai barangan yang tidak boleh ditukar dengan barangan yang sama secara berlebihan. Terdapat enam jenis barangan ribawi yang disepakati oleh ulama iaitu emas, perak, tamar, gandum, barli dan garam. Hal ini diambil berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah bin Thamith yang menyatakan :

 

الذَّهَبُ بِالذَّهَب وَالْفِضَّةُ بِالْفِضَّةِ وَالْبُرُّ بِالْبُرِّ وَالشَّعِيرُ بِالشَّعِيرِ وَالتَّمْرُ بِالتَّمْرِ وَالْمِلْحُ بِالْمِلْحِ مِثْلاً بِمِثْلٍ سَوَاءً بِسَوَاءٍ يَدًا بِيَدٍ فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ

 

Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, sya’ir (gandum yang lebih rendah kualitinya) dengan sya’ir, kurma dengan kurma, garam dengan garam, pertukarannya harus semisal dan semisal, sama dan sama, tangan dan tangan. Maka jika terjadi perbezaan pada barang-barang ini lakukanlah jual beli kalian selama dilakukan antara tangan dan tangan.” [HR. Al-Bukhari dan Muslim dari Ubadah bin Shamit radhiyallahu’anhu, dan lafaz ini milik Muslim]

 Hadis ini jelas menerangkan kaedah transaksi barang-barang ribawi untuk mengelak daripada berlakunya riba yang diharamkan. Tiga syarat utama transaksi barangan ribawi, iaitu i)Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli, iaitu harga dan juga barang belian (emas).

  1. ii) Lani, iaitu transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lanidan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, sama ada semasa penyerahan harga atau penyerahan emas dan hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.

iii) kadar pertukaran tersebut perlu sama nilainya.

Sekiranya kita memahami dan mematuhi syarat transaksi barangan riba ini, nescaya seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada terjerumus dengan penipuan (scammers). Pembelian atau pelaburan emas memerlukan kewujudan emas fizikal secara tunai dan penyerahan pula perlu berlaku dalam majlis yang telah diaturkan. Keadaan ini tidak memungkinkan berlakunya penipuan kerana pembeli boleh terus memegang emas yang telah dibeli. Penangguhan sama ada pembayaran atau serahan emas juga boleh menutup ruang aktiviti pihak yang ingin mengambil kesempatan. Ketamakan juga dapat dibendung kerana iktinaz (pengumpulan dan simpanan emas yang tidak dibelanjakan di jalan Allah SWT) amat dilarang dalam Islam.

Masyarakat perlu membudayakan simpanan aset sama ada dalam bentuk duit atau emas agar mempunyai bekalan semasa berlakunya kesulitan yang tidak terjangka. Emas yang disebut dalam al-Quran sebagai satu daripada harta dunia, mempunyai jaminan nilai yang sangat sesuai sebagai simpanan bagi tempoh jangka panjang.

Profesor Madya Dr. Salmy Edawati Yaacob, Pensyarah kanan di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi