6 September 2021, 22:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hafizi Radzi Woo dan Izree Kai Haffiz

Antara 10 Pereka Paling Berpengaruh
dan Berbakat Besar di Malaysia

Tidak mustahil daripada angan-angan dan impian, kini berjaya direalisasikan sebagai kerjaya utama dalam kehidupan untuk menjana pendapatan. Pertemuan antara dua orang sahabat, yang seorang daripadanya buta warna dan seorang lagi sifatnya yang mementingkan kesempurnaan dan skeptis, dikatakan bagaikan satu keajaiban yang dinamik dan saling melengkapi.

Gandingan duo antara Hafizi Radzi Woo (Hafizi) dengan Izree Kai Haffiz (Izree) yang berlainan latar belakang pendidikan, tidak disangka-sangkakan berjaya menggegarkan industri kreatif tanah air sebagai pereka fesyen yang terkenal. Malahan, sekali gus membuktikan kekurangan yang dimiliki mampu menjadi sandaran pada kekuatan diri masing-masing. Buktinya, jenama FIZIWOO di bawah naungan mereka kini bukan sekadar menjadi sebuah atelier fesyen terkenal di Malaysia, bahkan pasarannya sudah menembusi industri fesyen antarabangsa.


Hafizi Radzi Woo

Dilahirkan pada tahun 1989 di Pulau Pinang, sejak kecil lagi kehidupan Hafizi sudah dikelilingi oleh fabrik dan pembuatan fesyen. Bapa Hafizi seorang pegawai polis dan ibunya pula seorang tukang jahit yang memiliki sebuah butik pakaian. Bermula daripada sekadar niat ingin membantu ibunya menyiapkan tempahan baju telah bertukar menjadi minat untuk mempelajari ilmu berkaitan dengan seni jahitan dan fesyen dengan lebih mendalam.

Seni jahitan ini sebenarnya menarik untuk diketahui dan dipelajari kerana setiap jahitan mempunyai seni halus yang memerlukan kemahiran, ketelitian dan penjiwaan yang mendalam. Saya mula belajar menjahit secara teknikal melalui pemerhatian, penyesuaian teknik sulaman tangan dan cara ibu saya berinteraksi dengan pelanggannya di butik.

Usai menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen di Universiti Teknologi MARA Shah Alam, pendedahan pengalaman yang ditimba dalam bidang seni ini menonjolkan lagi bakat dan kemahirannya pada peringkat yang lebih tinggi. Pada seusia 21 tahun, Hafizi sudah pun menempa nama dalam industri kreatif. Hafizi dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Piala Seri Iman 2010 bagi anugerah reka cipta fesyen batik di Terengganu, walaupun ketika itu beliau merupakan peserta yang paling muda.

“Kemenangan ini memberikan makna yang besar dalam hidup dan membuatkan saya tekad untuk menceburi bidang seni fesyen ini. Saya percaya bahawa jiwa dan bakat yang dianugerahkan ini membuka jalan kepada kerjaya saya yang lebih jelas untuk menjadi seorang pereka terkemuka di negara ini kelak,” kongsinya lagi.

Kemampuan diri Hafizi ini membuka mata ramai masyarakat bahawa masalah “buta warna” bukanlah satu penghalang untuk berjaya dalam hidup. Walaupun pada hakikatnya, penggunaan warna merupakan antara satu daripada faktor penting dalam corak pembangunan seni fesyen. Namun begitu, Hafizi mampu menguasai kekurangan dirinya dengan bijak. Kejayaan ini membawa kematangan kepada diri Hafizi dalam dunia industri, dari segi pemikiran, persaingan, percaturan dan peluang untuk lebih maju pada masa hadapan.


Izree Kai Haffiz

Berbeza pula perjalanan kisah hidup Izree. Dalam usaha mengasah bakat dan minatnya terhadap karya seni kreatif, beliau berhasrat untuk meletakkan bidang seni ini sebagai satu kerjaya hidupnya, namun sebaliknya mendapat tentangan daripada keluarga. Anak muda yang dilahirkan di Kuala Lumpur pada tahun 1987 merupakan seorang pelajar cemerlang dalam pendidikannya.

Kai berjaya merangkul semua gred A dalam subjek yang diambil. Oleh itu, keputusan cemerlang ini mendorong harapan dan impian yang tinggi daripada keluarganya yang berpendapatan sederhana untuk melihat Kai berjaya menjadi seorang profesional dalam bidang sains.

Bagi menghormati harapan ibu bapa saya, dan pada masa yang sama tetap ingin menceburi bidang seni kreatif, maka saya memilih melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang seni bina (arkitek). Antara sebabnya ialah bidang ini merupakan tempat atau pertemuan yang menggabungkan kedua-duanya, antara seni dengan alam saintifik.

Semasa melanjutkan pengajian (Ijazah Seni Bina Arkitek) di Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Johor, saya juga turut bekerja sambilan dalam pelbagai projek bersama-sama pensyarah saya untuk menjana pendapatan tambahan. Pensyarah saya yang berasal dari Itali ini merupakan antara 50 orang arkitek yang popular di dunia. Maka, dari situlah saya mendapat peluang untuk melibatkan diri dalam pelbagai projek mahupun pertandingan, terutamanya pada peringkat antarabangsa, seperti mereka bentuk hiasan dalaman, mereka perabot, penjenamaan korporat, fotografi dan banyak lagi,” ujarnya lagi.

Menurut Kai, hampir semua perkara sudah diterokai, namun tidak pernah berpeluang melibatkan diri dalam bidang seni fesyen sehinggalah berjumpa dengan Hafizi. Sepanjang tempoh perkenalan tersebut, minatnya terhadap bidang fesyen kian meningkat saban hari apabila mereka berdua sering berkongsi ideologi berkaitan dengan karya seni kreatif. Malah, Kai sering membantu dan memberikan pendapat terhadap pengawalan kualiti hasil rekaan Hafizi, serta turut menyertai pertandingan dan majlis fesyen bersama.


Melihat peluang daripada kemenangan yang diraih bersama, gandingan duo lelaki ini tekad untuk membuka perniagaan fesyen pada tahun 2011 sebagai fokus utama kerjaya untuk menjana sumber pendapatan yang lebih stabil. Jenama FIZWOO yang diusahakan oleh mereka, kini tidak asing lagi dalam industri fesyen tempatan sehingga dilabelkan pereka yang terkenal dengan kebolehan mereka sebuah busana yang berkonsepkan siluet unik.

Dari menara gading ke mercu korporat, pelbagai pencapaian dan anugerah yang dikecapi. Walaupun bermula dengan kisah perjalanan yang sederhana, namun peluang yang muncul bertubi-tubi mendorong jenama ini berkembang pantas, setelah banyak menampilkan rekaan yang menarik dan tinggi nilai estetikanya.

Itulah kisah perjalanan sebuah persahabatan yang saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain. Bijak merancang dan menggunakan kekuatan masing-masing untuk mendominasi bidang seni fesyen berjaya mencipta kejayaan yang sungguh bermakna dalam hidup, tatkala menyulami bakat dan impian yang hadir sejak kecil lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.