1 September 2021, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
FIZIWOO KL East Mall.

Impak globalisasi mewujudkan limpahan produk berjenama dan saingan sengit antara penggiat industri kreatif sesama sendiri. Pengasas, pereka dan pentadbir fesyen berlumba-lumba memperagakan koleksi rekaan yang eksklusif serta memiliki nilai estetika yang tinggi. Siapakah yang bijak mencipta variasi konsep dan keunikan pada rekaannya tanpa dibatasi oleh sesuatu kaum mahupun budaya, pastinya berjaya menambat hati dan cita rasa pengguna, lebih-lebih lagi penggemar fesyen.

Selebriti Mira Filzah menggayakan rekaan yang menunjukkan sifat keberanian dan keyakinan kepada diri seseorang.

Fesyen ialah satu simbol gaya pemakaian yang menjadi ikutan ramai dan lambang kepada kemodenan. Perkembangan fesyen umpama satu gelombang tenaga yang tidak berhenti-henti berputar, sentiasa bergerak, berubah dan berkembang. Dalam erti kata lain, fesyen dipengaruhi oleh masa, kuasa, status dan kedudukan ekonomi seseorang individu, masyarakat dan negara. Penampilan dalam berpakaian merupakan elemen penting untuk menterjemahkan personaliti, bahkan dapat mencerminkan keunikan dalam ketamadunan masyarakat.

Berdasarkan literatur fesyen, seseorang yang mengikuti trend atau aliran fesyen dikatakan memiliki sifat berani mencuba, sanggup mengambil risiko dan dianggap sebagai individu yang berfikiran terbuka, matang, serta peka terhadap perkembangan baharu di sekeliling mereka. Fesyen bukan sekadar mengekspresikan diri seseorang itu bergerak seiring dengan trend modenisasi, tetapi menunjukkan peri pentingnya industri ini terhadap pembangunan ekonomi negara.

Walaupun fesyen sering kali dilabelkan sebagai satu budaya hedonisme, namun hakikatnya industri fesyen merupakan satu daripada pemangkin arus ekonomi negara yang pesat. Buktinya, pemilik butik ZARA merupakan antara lima orang usahawan perniagaan yang berjaya dan terkaya di dunia. Selain itu, orang Eropah dilabelkan sebagai antara negara maju disebabkan oleh pengaruh pemakaian mereka yang menunjukkan personalitinya kukuh dan memberikan kepercayaan kepada masyarakat mahupun pelabur luar.

Namun begitu, kehadiran pandemik COVID-19 mutakhir banyak mengubah landskap kehidupan daripada rakyat marhean sehinggalah kepimpinan tertinggi negara. Tamparan ini turut menimbulkan tekanan dan cabaran besar kepada individu dan organisasi yang terlibat dalam sektor perniagaan,  khususnya untuk memastikan produktiviti dan kelangsungan perniagaan kekal stabil dalam pasaran. Keadaan menjadi lebih rumit apabila industri kreatif tidak boleh beroperasi sepenuhnya secara fizikal ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan disebabkan oleh sektor ini bukanlah sektor utama (essential) berbanding dengan sektor lain.

Gandingan duo memantapkan lagi jenama FIZIWOO di pentas fesyen.

Dalam meniti sela masa ini, produk FIZIWOO yang merupakan satu jenama fesyen mewah di Malaysia turut terkesan dan akur pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan. Namun demikian, peluang dan langkah yang signifikan perlu dilakukan segera agar perniagaan kekal utuh dan berkembang meskipun dalam tempoh yang sukar ini.

Keputusan mengembangkan medium perniagaan ke platform e-dagang melalui kerjasama dengan FashionValet dan ZALORA, merupakan satu interaksi yang produktif pada masa kini. Kami dapat tawarkan dan berikan yang terbaik kepada pelanggan.

“Walaupun perniagaan secara fizikalnya mungkin terbatas, namun pemasaran produk masih mampu bergerak aktif dalam talian untuk memasuki pasaran tempatan, bahkan lebih meluas hingga ke pasaran global,” kata Hafizi Radzi Woo selaku Pengasas dan Pengarah Kreatif FIZIWOO ketika diwawancara oleh sidang editor Dewan Ekonomi secara maya.

Sejak penubuhan FIZIWOO pada tahun 2009, jenama ini kian melonjakkan potensinya saban tahun dalam industri fesyen sehingga menjadi perhatian kebanyakan penggemar dan pemerhati fesyen. Beribu pejabat di Jalan Sentul Raya Boulevard, Kuala Lumpur, FIZIWOO giat mempromosi dan memberikan pendedahan baharu kepada masyarakat tentang acuan dunia fesyen.

“Kisah cinta paling hebat ialah perjalanan kehidupan seorang
wanita dan fesyennya. Kami di sini untuk mengisahkan sebuah
novel yang patut dibaca” – FIZIWOO.

Jenama FIZIWOO dikatakan sangat sinonim dengan rekaan mewah yang disulami dengan elemen perincian halus, malah memberikan respon positif terhadap dunia fesyen tanah air kini. Nama FIZIWOO tercetus daripada nama pengasasnya sendiri, iaitu “Fizi” (Hafizi) dan “Woo” asalnya daripada nama keluarga.

Pada tahun 2011, FIZIWOO dilihat semakin kompetitif dalam pasaran apabila Hafizi mula berkolaborasi dengan rakannya, Izree Kai Haffiz yang berkemahiran dan pakar dalam bidang seni bina (arkitek). Gandingan duo ini sering menghamparkan kreativiti rekaan yang eksentrik bertepatan dengan jiwa wanita moden pada masa kini. Dua anak muda ini bagaikan melengkapi satu sama lain dalam menyulam impian hingga ke menara gading.

“Perniagaan kami semakin berkembang daripada sebuah syarikat dua lelaki menjadi jenama fesyen mewah di Malaysia yang menggabungkan pertukangan halus dan pembuatan yang luar biasa untuk menjadi atelier fesyen terkenal seperti sekarang ini,” kata Izree yang merupakan Pengarah Urusan FIZIWOO.

Menyedari keserasian yang ditampilkan dari segi cara kerja, ideologi dan falsafah dalam bidang seni kreatif ini meskipun berlainan latar belakang pendidikan, mereka percaya dengan gabungan kemahiran seorang fesyen dan arkitek ini mampu menggegarkan industri fesyen tempatan menerusi kekuatan dan keunikan idea rekaan bersama setanding dengan pereka profesional lain.

Berdasarkan pengagihan skop tugasan, Izree lebih tertumpu kepada hal pengurusan, pemasaran, penjenamaan, strategi dan perancangan perniagaan. Manakala, tugas yang melibatkan rekaan, kajian dan produksi produk terletak di bawah tanggungjawab Hafizi. Proses pengurusan menjadi lebih terkawal dan sistematik, malah berkembang pantas disebabkan oleh kebijaksanaan strategi pembahagian tugas yang mampu menjalankan pelbagai kerja secara serentak dan efisien.

Berkat kesungguhan yang dipraktikkan dalam konteks kerja selama 10 tahun, FIZIWOO berjaya menampilkan pelbagai koleksi rekaan daripada ready-to-wear (sedia dipakai), busana tradisonal, busana pengantin sehinggalah busana eksklusif yang diberikan perincian mewah dan kepelbagaian teknik couture pieces.

FIZIWOO Artisanal Bridal Songket.
Selebriti Noor Neelofa memakai busana yang direka khas untuk musim bunga dan panas.

Selain itu, FIZIWOO menawarkan perkhidmatan jahitan yang menggunakan teknik manik “tambour” dan sulaman tangan. Teknik ini memberikan kelebihan pada FIZIWOO apabila jarang-jarang diaplikasikan oleh pereka fesyen dalam pasaran tempatan mahupun global kerana melibatkan hasil kerja yang rumit dan peruntukan kos yang tinggi.

“Berbekalkan minat dan pengalaman yang luas terhadap seni bina dan rekaan, kami terjemahkan idea tersebut kepada bentuk rekaan baju. Walaupun pada dasarnya kelihatan seperti baju kemeja-T, namun di sebalik struktur dan rekaan tersebut mempunyai potongan ceraian dan lapisan yang rumit dan sukar dilakukan oleh pereka lain. Teknik ini memberikan saluran kejayaan kepada FIZIWOO, sekali gus meletakkan jenamanya berkelas tinggi.

Apabila sebut FIZIWOO, pelanggan pasti mencari servis dan tempahan teknik ini. Namun begitu, sasaran pasaran ini agak terhad dan lebih tertumpu kepada golongan elit, seperti golongan ternama (VVIP), kerabat raja, dan juga selebriti yang mahukan sentuhan karya reka jahitan seni halus ini. Walau bagaimanapun, koleksi mampu milik juga ditawarkan dan didatangi dengan variasi saiz, iaitu daripada S hinggalah XXL.

Kurung Tenunan Diraja memperincikan sulaman perak dan emas.
FIZIWOO Artisanal Ball Gown.
Busana pengantin yang berkonsepkan Haute Conture.

Penggunaan formula “tiada jalan pintas untuk berjaya” mampu mencorakkan kredibiliti identiti FIZIWOO sebagai pereka fesyen yang bukan mengejarkan populariti semata-mata, tetapi lebih mengamalkan rukun dan budaya kerja profesional yang berkaliber. Bermula dari lakaran, dipindahkan pada fabrik, dijahit sulaman benang, sulaman manik dan jemeki satu persatu menggunakan tangan. Baju yang dihasilkan pula khas mengikut acuan saiz badan sang pemakai. Barang yang digunakan juga sudah tentu berkualiti tinggi untuk memenuhi kehendak pelanggannya. Misalnya, rekaan busana Artisanal Bridal Songket menghidupkan semula siluet tradisional dalam nafas moden kontemporari.

Keunikan yang dipamerkan jelas membuktikan rekaan FIZIWOO lebih matang dan menyerlah berbanding dengan yang lain, lebih-lebih lagi teknik yang diguna pakai merupakan rekaan yang sangat teknikal dan rumit. Jenama FIZIWOO menjadi terkenal dengan struktur rekaannya berkonsepkan Haute Couture, iaitu menggunakan 80 peratus hasil jahitan tangan, bukannya menggunakan mesin.

Berbeza dengan syarikat pesaing lain, FIZIWOO tidak mengamalkan konsep “penajaan” dalam strategi pemasarannya. Setiap perniagaan mempunyai strategi yang berbeza mengikut sasaran pelanggan masing-masing. Izree berkata, perkara ini perlu diambil kira kerana melibatkan pengurusan kos perbelanjaan, seperti pembelian fabrik yang mahal, penglibatan tenaga kerja di belakang tabir (pereka baju, pembuat kain, jurusolek dan pembantu kerja), serta masa yang digunakan.

“Di negara Hollywood, selebriti yang ingin memakai busana eksklusif dan berjenama dalam sesuatu majlis atau pementasan, mereka perlu membeli dengan wang sendiri dan bukannya daripada penajaan. Sekiranya mahu kelihatan cantik, anda perlu membayarnya,” jelas Izree dalam mengetengahkan potensi pemasaran syarikat pada pasaran global.

Bagi memulihkan semula industri fesyen tempatan dalam tempoh kegawatan ekonomi ini, FIZIWOO tidak memfokuskan pasarannya dalam Malaysia sahaja, tetapi meningkatkan pasarannya ke peringkat antarabangsa. Begitulah pentafsiran perniagaan FIZIWOO. Adaptasi rekaannya juga tidak berlandaskan trend di Malaysia sematamata, namun lebih mempraktikkan trend global kerana bersifat universal. Strategi pemasaran ekosistem yang signifikan ini seharusnya wajar dipuji dan diteladani, terutamanya kepada usahawan tempatan.

Minggu fesyen di Paris.

Selain itu, Hafizi turut berkongsi tentang pangkalan pelanggan mereka yang sudah menembusi pasaran antarabangsa, iaitu di Singapura, Indonesia, Brunei, Thailand dan mempunyai pengikut di UAE (Emiriah Arab Bersatu). Menariknya, koleksi FIZIWOO juga berkembang hingga ke pasaran Eropah, melalui penglibatan dalam pertandingan Minggu Fesyen (Fashion Week) di London, Paris dan New York.

FIZIWOO juga pernah bekerjasama dengan jenama beg Itali (Save My Bag), Magnum, Neutrogena, Neelofa@Naelofar, LILIT dan banyak lagi jenama besar dalam pasaran ini. Pencapaian ini merupakan platform terbaik bagi pereka tempatan itu sendiri untuk menonjolkan bakat dan membina peluang pada peringkat antarabangsa. Sasaran pemasaran FIZIWOO yang seterusnya ialah Amerika Syarikat, yang sepatutnya dilancarkan pada tahun ini untuk membuka kedai (multi brand store) di New York, namun terpaksa ditunda sehingga keadaan kembali stabil.

New York bukan sekadar terkenal sebagai pusat perniagaan terbesar, malah merupakan kota ikonik bagi fesyen terkemuka dan eksklusif dunia. Setiap pereka fesyen di seluruh dunia mengimpikan koleksinya dipersembahkan pada Minggu Fesyen New York untuk memperkenalkan karya terbaru mereka.

Seiring dengan kejayaan melalui pengalaman yang luas, FIZIWOO meneruskan agenda untuk bekerjasama dengan GIATMARA dan Kolej Komuniti dalam memainkan peranan penting bagi membina pelapis baharu, khususnya golongan muda dan Bumiputera. Platform ini dapat memberikan pengetahuan dan pendedahan berkaitan dengan penerokaan dunia fesyen untuk melahirkan generasi berkualiti, mempunyai nilai kebolehpasaran, serta membentuk usahawan yang berdaya saing. Generasi inilah bakal menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi negara berpendapatan tinggi.

“Berdasarkan pemerhatian trend pandemik, kami menjangkakan keadaan ini akan berlanjutan dalam tempoh yang lama. Maka, kami mengambil keputusan untuk menghasilkan produk yang lebih ringkas dan selesa, mampu milik dan bersesuaian dengan kebiasaan baharu. Kami perlu sentiasa mengeluarkan produk. Jika tiada produk, FIZIWOO tidak dapat menjana pendapatan yang baik,” kongsi Izree.

Bagi merealisasikan sebuah syarikat dan produk yang bersifat gaya hidup (lifestyle brand) pada masa hadapan, fokus FIZIWOO tidak tertumpu pada baju dan fesyen semata-mata, tetapi menampilkan produk baharu yang lebih relevan dengan situasi semasa. Antaranya, termasuklah pensanitasi tangan dan pelitup muka. Hal ini merupakan satu transformasi pemasaran dalam perniagaan yang tidak pernah dilakukan mahupun dibayangkan oleh pereka duo ini, yang jelas luar daripada bidang fesyen mereka.

“Namun begitu, COVID-19 banyak menyekat perancangan kami. Sepatutnya, kami sudah mengembangkan perniagaan ini kepada sektor pembuatan perabot rumah atau hiasan dalaman. Bahkan, jika diikutkan dalam tahun ini juga kami mempunyai perancangan untuk mengeluarkan produk kosmetik dan penjagaan kulit, serta banyak lagi yang bersesuaian dengan kehidupan dalam kebiasaan baharu ini,” kata Hafizi.

Menurut Izree, skop bidang seni secara umumnya sangat luas dan besar. Maka, perkara ini tidak membuat mereka terhenti pada satu aspek sahaja. Pada sudut yang lebih meluas, FIZIWOO sangat berpotensi untuk dikembangkan pada perkhidmatan lain yang mempunyai kaitan dengan aplikasi bidang seni ini.

Dari sudut pembangunan ekonomi pula, kerajaan dikatakan lebih menumpukan sektor industri yang bersifat alam, misalnya gas dan petroleum, balak dan kepala sawit berbanding sektor industri kreatif. Namun begitu, sejauh manakah industri ini yang bersifat alam mampu bertahan? Jika sumbernya habis, sudah tentu tiada gantinya.

Berbeza dengan negara Eropah, pembangunan ekonomi dilihat kian maju disebabkan oleh sebahagian faktor datangnya daripada sumbangan industri fesyen. Oleh itu, industri Malaysia perlu bergerak ke arah industri yang lebih lestari dalam usaha merancakkan ekonomi negara kembali. Hal ini dikatakan demikian sedikit sebanyak sumbangan industri kreatif mampu menjadi pemangkin kepada pemulihan negara.

Pencapaian dan kejayaan FIZIWOO.

Tambah pula, Malaysia merupakan satu daripada negara Muslim yang menjadi rujukan ramai. Berdasarkan kajian ketamadunan sejarah, Malaysia merupakan antara negara yang terawal memperkenalkan “fesyen Muslim” di dunia, dan diikuti oleh Indonesia, UAE dan Eropah. Dalam konteks ini, bertapa pentingnya peranan kerajaan untuk mempertingkatkan kembali industri fesyen secara meluas pada pasaran global.

Mengakhiri sesi wawancara, ganding duo hebat ini berkongsi tentang rahsia kejayaan seseorang usahawan, terutamanya pereka fesyen, perlu mengetahui tujuan dan objektif perniagaan dilakukan, serta pentingnya menimba ilmu tentang keusahawanan.

Jika sekadar ingin populariti, mungkin mereka perlu memilih jalan lain, seperti menjadi penggiat Youtube, Instagram dan lain-lain lagi di platform media sosial. Namun begitu, jika melihat industri fesyen merupakan platform untuk menjana pendapatan, mereka perlu bekerja keras kerana terlalu ramai pesaing dan produk untuk menonjolkan kelebihan masing-masing.

Seseorang usahawan atau pereka fesyen boleh berjaya dalam industri kreatif sekiranya mereka memahami identiti produk dan penjenamaan sesuatu perniagaan tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.