30 Ogos 2021, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Carey – Sebagai persiapan pembentangan Belanjawan 2022 yang dijangka pada akhir Oktober ini, Kementerian Kewangan (MoF) buat kali pertamanya akan mengumumkan Penyata Pra-Belanjawan 2022 untuk merangka kriteria perbelanjaan negara secara keseluruhannya.

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menerajui semula kementerian MoF, akan mengangkat sumpah jawatan tersebut pada esok hari.

Sementara itu, MoF menjemput semua pihak yang berkepentingan, termasuklah ahli parlimen pembangkang dan kerajaan untuk memberikan input masing-masing. Hal ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dari pelbagai sudut bagi membentangkan Belanjawan 2022 yang lebih inklusif untuk rakyat Malaysia.

“Perancangan belanjawan ini amat penting,  bukan sahaja melihat dari segi bantuan, malah mengambil kira sebagai panduan kepada ekonomi Malaysia untuk kembali pulih.

Penduduk Orang Asli di Pulau Carey, Selangor.

“Kami akan merangka beberapa kriteria, satu daripadanya ialah kebajikan. Jemputan akan dikeluarkan secepat mungkin dalam tempoh minggu ini,” kata Menteri Kewangan selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata selain daripada Belanjawan 2022, kerajaan turut membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 di Parlimen.

Antaranya, termasuklah isu berkaitan dengan pencapaian 100 hari yang ditetapkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri. Fokus pada masa ini ialah menjaga kesejahteraan, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi negara.

“Kami di MoF, menyambut baik inisiatif ini. Penetapan indeks prestasi utama (KPI) ini bagus kerana membolehkan semua kementerian, terutamanya MoF dan rakyat mengukur penyampaian atau pencapaian kerajaan supaya dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang memerlukan penambahbaikan,” jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, MoF sebelum ini akan mengumumkan pencapaian pada setiap minggu dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) untuk lebih telus dan MoF juga turut menzahirkan 65 laporan LAKSANA sejak tahun lepas.

“Dasar yang baik akan diteruskan, dan pada masa sama perlu mengambil kira perkembangan dunia semasa dan ekonomi Malaysia yang mempunyai ciri-ciri yang dinamik,” ujar Tengku Datuk Seri Zafrul dalam usaha meneruskan legasi dasar kerajaan terdahulu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.