28 Ogos 2021, 01:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam norma pandemik COVID-19, masyarakat kini disarankan untuk memupuk minda keusahawanan demi meneruskan kelangsungan hidup tatkala mendepani kekangan ekonomi. Minda keusahawanan yang dimaksudkan ialah “minda inovasi” yang menjadikan penentu kepada seseorang itu sama ada berada di hadapan atau ketinggalan ke belakang.

Menariknya bicarawara Program Ambang Merdeka Siri ke-4 yang bertajuk Mendepani Cabaran Ekonomi, Peranan Kita Sebagai Rakyat, mengupas isu berkaitan dengan transformasi minda rakyat menuju kehidupan yang lebih jelas dan berwawasan.

Program ini menampilkan Datuk Dr. Madeline Berma, pakar ekonomi dan Felo Akademi Sains Malaysia sebagai ahli panel, dan Abdul Ghani Abu selaku moderator.

 

Menurut Datuk Dr. Madeline, masyarakat perlu lebih kreatif dalam menginovasikan sesuatu perkara yang baharu dan unik. Masyarakat juga perlu bijak mencari peluang untuk mengembangkan perniagaan dalam era konvergen pendigitalan ini. Pendekatan pemasaran melalui platform media sosial merupakan inisiatif terbaik dalam memperkenalkan perniagaan di pasaran dunia kini.

Tonton Program Ambang Merdeka: Mendepani Cabaran Ekonomi, Peranan Kita Sebagai Rakyat di sini.

COVID-19 pada era revolusi 4.0 ini memberikan ruang dan peluang pada pembangunan era digital, serta peluang kerjaya kerana ekonomi pendigitalan semakin mendapat tempat.

“Situasi ini hakikatnya memberikan hikmah kepada masyarakat untuk memulakan langkah perubahan pemikiran ke arah pendigitalan dan bertindak sejajar dengan perubahan sekeliling.

Masyarakat perlu bersiap sedia mendepani era digital kerana revolusi ini berkembang dengan sangat pantas.

Beliau mengulas lebih lanjut mengenai cara untuk memastikan pengurangan jurang kemiskinan dan digital dalam masyarakat kerana hal ini boleh menjejaskan zaman pemodenan.

Katanya, ketika semua bergelut dengan pandemik COVID-19, masyarakat perlulah bersama-sama memikul tanggungjawab dalam usaha ke arah pemodenan, bukan hanya mengharapkan kepada satu pihak. Beliau berpendapat bahawa setiap masyarakat perlu meraikan perbezaan adab resam masing-masing dan memahami antara satu sama lain.

“Rakyat perlu berubah dan tidak boleh berada pada takuk lama. Kita perlu ada percampuran budaya, contohnya dari segi perfileman di Malaysia.

“Kita perlu bersatu padu dalam usaha mencapai matlamat negara berwawasan walaupun berlainan bangsa,” kongsinya kepada penonton.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.