21 Ogos 2021, 08:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BICARA “NAMY”


Malaysia menghadapi cabaran dalam transisi menuju status negara tua.

MENURUT Laporan Bank Dunia: A Silver Lining – Productive and Inclusive Aging for Malaysia, negara kita dikategorikan sebagai negara menua (aging nation) pada tahun 2020 apabila penduduk berusia 65 tahun dan ke atas merangkumi lebih tujuh peratus daripada populasi negara.

Malahan, Bank Dunia menjangkakan bahawa sama seperti Jepun, Malaysia akan melalui proses yang singkat untuk bertukar daripada status negara menua ke negara tua (aged nation), iaitu hanya dalam tempoh 24 tahun. Kategori negara tua menyatakan lebih daripada 14 peratus populasi penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas. Oleh itu, takrifan antarabangsa bagi warga emas ialah golongan yang berusia 65 tahun dan ke atas.

Yang menariknya, hal ini sedikit berbeza daripada takrifan yang diguna pakai di Malaysia. Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, warga emas ditakrifkan sebagai golongan yang berusia 60 tahun dan ke atas. Meskipun terdapat sedikit perbezaan dalam takrifan tersebut, perkara yang penting adalah untuk kita bersiap sedia menghadapi cabaran dalam transisi menuju status negara tua.

Bank Dunia menjelaskan terdapat tiga dasar teras yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan dalam menangani cabaran ini, iaitu produktiviti, jaminan pendapatan, serta perkhidmatan penjagaan orang tua.

Setiap negara memerlukan sistem insurans penjagaan jangka panjang yang komprehensif – sistem yang menghubungkaitkan dua dasar terakhir yang disebutkan di atas.

Insurans penjagaan jangka panjang atau lebih dikenali sebagai long term care insurance mungkin masih asing di Malaysia, namun kepentingan sistem insurans ini sudah diperakui negara maju lain seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Sistem Insurans Penjagaan Jangka Panjang (IPJP)

IPJP merujuk aturan berinstitusi bagi pembiayaan penjagaan sakit kronik, atau ketidakupayaan mental dah fizikal. Berdasarkan pemerhatian ke atas negara lain yang sedia mempunyai sistem IPJP, terdapat pelbagai model yang diguna pakai dalam membentuk kerangka polisi mereka.

Secara amnya, terdapat sistem IPJP awam dan IPJP swasta. Di samping itu, kerjasama awam dengan swasta dalam penyediaan sistem IPJP juga kini dilihat sebagai sesuatu yang berpotensi untuk dilaksanakan. Namun begitu, dalam setiap sistem di atas, masih terdapat pelbagai variasi yang membezakan antara polisi satu negara dengan negara yang lain.

Secara amnya, sektor perkhidmatan kesihatan awam Malaysia dibiayai oleh pendapatan cukai negara. Walau bagaimanapun, sudah tentu rakyat turut mempunyai pilihan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan swasta sama ada menerusi wang sendiri atau polisi insurans peribadi/syarikat. Bagi perkhidmatan kesihatan awam yang melibatkan penjagaan jangka panjang terutamanya yang berkaitan faktor usia, pilihan bagi penyelesaian situasi tersebut adalah sangat terhad.

Secara tradisinya, tanggungjawab penjagaan jangka panjang yang dimaksudkan diambil alih oleh ahli keluarga. Walau bagaimanapun, peningkatan jangka hayat penduduk serta penurunan kadar kesuburan telah menyaksikan transisi demografi ketara, iaitu peningkatan populasi warga emas serta penurunan populasi warga muda. Antara lain, hal ini menyumbang kepada penurunan kebergantungan warga emas kepada ahli keluarga bagi penjagaan jangka panjang.

Kesan Langsung Transisi Demografi

Pada negara menua dan tua, antara kesan langsung dari transisi demografi ialah peningkatan perbelanjaan kesihatan awam. Oleh sebab itu, terdapat kebarangkalian yang tinggi apabila jumlah perbelanjaan tersebut tidak lagi mampu dibiayai dengan pendapatan cukai negara semata-mata. Berdasarkan situasi terkini, perkhidmatan kesihatan jangka pendek bagi warga emas masih lagi disediakan secara meluas, tetapi dengan peningkatan populasi warga emas dan unjuran peningkatan kos kesihatan, situasi ini mungkin berubah.

Di samping itu, penyelesaian bagi penjagaan jangka panjang juga kini begitu terhad. Kapasiti pusat penjagaan harian yang disediakan kerajaan masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan penduduk. Bantuan kewangan juga dilihat agak sukar dan melibatkan masalah birokrasi yang tinggi. Oleh hal yang demikian, masalah ini mungkin akan lebih meruncing seiring dengan status negara tua pada masa akan datang.

Malaysia perlu membuat persiapan rapi dalam menghadapi status negara tua tidak lama lagi. Walaupun secara amnya Malaysia mempunyai sistem perkhidmatan kesihatan yang baik, namun sokongan bagi penjagaan jangka panjang masih lagi terhad. Oleh itu, sekarang merupakan masa yang tepat untuk negara kita mula mempertimbangkan pembentukan sistem insurans bagi penjagaan jangka panjang.

Sebagaimana yang dilaksanakan oleh negara lain, pembentukan sistem insurans penjagaan jangka panjang yang komprehensif dilihat sebagai langkah yang perlu diambil. Sistem ini meliputi empat aspek penting, iaitu bentuk manfaat, pembiayaan, kriteria kelayakan,  serta penawaran perkhidmatan. Kesemua aspek ini perlu dikaji dengan teliti bagi memastikan pembentukan sistem IPJP yang efisien dan bermanfaat kepada penduduk secara keseluruhannya.


Dr. Nurul Afidah Mohamad Yusof,
Pengerusi, Pusat Perakaunan, Perbankan dan Kewangan (CABF),
Fakulti Perniagaan dan Kewangan,
Universiti Tunku Abdul Rahman (Kampus Kampar),
Perak.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi