20 Ogos 2021, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Penentuan kejayaan sesuatu perniagaan amat dipengaruhi oleh jenis pemilihan entiti perniagaan yang tepat oleh seseorang peniaga. Strategi pemasaran merupakan pendekatan signifikan atau tiket bagi penggiat industri mencapai kelebihan berdaya saing yang mampan. Sektor perniagaan sangat sinonim dengan pelbagai kemungkinan ancaman risiko, sama ada sesuatu perniagaan itu mendapat keuntungan atau sebaliknya.

Terdapat pelbagai jenis corak pemasaran, bermula daripada pemasaran secara konvensional sehinggalah penggunaan pemasaran secara digital yang dikatakan menjadi satu kebiasaan baharu dalam zaman Revolusi Perindustrian 4.0 dan Masyarakat 5.0. Walau bagaimanapun, tujuan perniagaan masih sama adalah untuk memastikan keperluan dan kehendak pengguna dipenuhi mengikut acuan.

Di Malaysia, pemasaran pelbagai tingkat atau lebih dikenali sebagai Multilevel Marketing (MLM) sudah tidak asing lagi dan menjadi pilihan kebanyakan perniagaan dengan peningkatan statistik saban tahun, lebih-lebih lagi ketika dunia sedang berperang dengan kemelut pandemik COVID-19 yang memberikan impak cukup besar pada diri dan ekonomi negara. Perniagaan MLM disambut baik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) apabila kerajaan sendiri meletakkan sasaran bahawa industri ini bakal menyumbang RM10 bilion atau lebih daripada jumlah tersebut kepada pendapatan ekonomi negara. Namun demikian, perniagaan MLM sering disalahertikan dengan ketidakpatuhan pemasarannya pada undang-undang di Malaysia, khususnya undang-undang syariah yang menekankan keadilan dalam urusan perniagaan.

Pada hakikatnya, sistem pemasaran MLM merupakan sesuatu perniagaan yang diharuskan dalam Islam kerana tidak bercanggah dengan syarat asas dalam muamalat, yakni memberikan manfaat kepada pengguna selain daripada keuntungan pada perniagaan itu sendiri. Begitulah penubuhan TDC Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan antara syarikat MLM milik Muslim yang bukan sekadar patuh undang-undang di Malaysia, malah patuh pada SIRIM dan syariah dari segi pengurusan, rancangan pemasaran, produk dan kewangan pengurusan.

Prinsip pengurusan TDC Holdings Sdn. Bhd. sangat teguh dan kredibilitinya sentiasa terpelihara. Pengauditan akan dilakukan pada operasi dan pelan MLM syarikat secara berkala dengan penglibatan juri audit daripada panel syariah, yakni panel tersebut mendapat pengiktirafan Angkasa Malaysia. Syarikat ini juga sering membuat rujukan kepada pakar perundingan dan penasihat, iaitu Ustaz Lariba dari Persatuan Lariba dan Lariba Consulting yang melaksanakan pemantauan pada operasi perniagaan dan menyediakan latihan muamalat dari perspektif Islam. Proses pengauditan ini mengambil tempoh enam bulan, dan juga telah mendapat pengsijilan penuh ISO 9001:2015 dan pengauditan sijil MS 1900:2014.

Pematuhan syariah sangat penting dan perlu bermula daripada diri sendiri (pemilik perniagaan). Bukan sekadar pekerja atau organisasi itu patuh syariah. Kita ialah jurupandu yang akan membawa pesawat, sama ada menuju ke arah kebaikan atau sibuk mencari keuntungan hingga mengabaikan peraturan.

Ketelusan yang dipamerkan dalam pengurusan pengendalian syarikat, memberikan keyakinan dan sekali gus menjadi jenama pilihan bagi setiap keluarga, khususnya golongan wanita, pesakit dan orang yang kurang berpendapatan. Penghasilan produk kesihatan dan perkhidmatan berkonsepkan MLM ini berjaya mengekalkan prestasi yang cemerlang sehingga mendapat perakuan dari Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), International Organization for Standardization (ISO) dan HALAL JAKIM.

Cetusan idea baharu terhadap penukaran sistem perniagaan secara MLM ini lahir ketika ekonomi Malaysia dikatakan sedang tenat pada tahun 2014 apabila kebanyakan bangunan, khususnya di bumi Kelantan ditenggelami oleh air kira-kira 70 peratus secara keseluruhannya. Banyak perniagaan musnah dan mengalami kerugian yang besar.

Pelbagai kaedah kami lalukan selama dua tahun selepas kejadian bencana itu, dan akhirnya, pada tahun 2016, kami melakukan transformasi menukar konsep perniagaan yang tidak menggunakan kedai secara fizikalnya, tetapi mampu berinteraksi dengan pengguna dan mengaktifkan semula aliran tunai perniagaan. Maka, sistem jualan langsung melalui ejen dan pesan hantar (dropship) kepada pengguna menjadi pilihan perniagaan kami,” jelas Mohd. Hafizuddin Hiew Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif TDC Holdings Sdn. Bhd. Sewaktu diwawancara oleh sidang editor Dewan Ekonomi.

Menurut Hafiz Hiew, konsep perniagaan ini memfokuskan pada pembinaan hubungan pelanggan (consumer base). Dengan membina kekuatan ini, TDC Holdings Sdn. Bhd. telah merekodkan ejen pertama yang berjaya menjual 100 ribu kotak dalam tempoh yang singkat. Setakat ini, pasaran TDC Holdings Sdn. Bhd. sangat optimis sehingga ke peringkat antarabangsa, iaitu bertapak di Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

Impak pemilihan jenis entiti perniagaan ini dilihat lebih kukuh dan jauh menguntungkan dari aspek ekonomi pada hari ini, meskipun berhadapan dengan pandemik dan kekangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Buktinya, jualan tahunan perniagaan direkodkan meningkat tiga kali ganda berbanding dengan tahun 2019 sebelum PKP, iaitu RM32 juta kepada RM102 juta. Tambah lagi, perniagaan masih berjalan lancar dan konsisten mengekalkan jualan sebanyak RM9 juta dan ke atas pada setiap bulan berbanding dengan tahun lepas, hanya sekitar RM4 juta pada setiap bulan. Dalam erti kata yang lain, peningkatan jualan sepanjang pandemik ini bukan dilihat sementara, namun sudah menjadi pemangkin sehingga sekarang.

“Apa yang dilihat, terdapat beberapa faktor yang menjadi asas kepada kestabilan perniagaan kami. Antaranya ialah penghasilan produk kesihatan yang berkaitan rapat dengan peningkatan sistem imunisasi badan. Kandungan susu kolostrum pada produk kami mempunyai bahan antibodi yang aktif dalam badan manusia, iaitu Imunoglobulin G (IgG),” kata Hafiz Hiew.

Tan Sri Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan menyatakan kebaikan IgG dalam membantu seseorang terhindar daripada jangkitan COVID-19. Kepentingan IgG dalam ujian penghasilan vaksin dibuktikan mempunyai hubung kait tindak balas pada graf lengkung antibodi manusia untuk melawan virus ini. Oleh itu, secara tidak langsung produk susu kolostrum ini dapat meningkatkan jualan promosi TDC untuk meyakinkan lagi pengguna bahawa produk ini sangat efektif dan memberikan manfaat pada kesihatan tubuh badan.

Matlamat TDC Holdings Sdn. Bhd. berbeza dengan perniagaan lain. Dengan konsep “Legasi di Dunia, Istana di Syurga”, perniagaan ini lebih mementingkan kesejahteraan masyarakat, dan kemudiannya barulah disusuli dengan keuntungan syarikat. Hafiz Hiew menyatakan hampir 90 peratus keuntungan perniagaan diperuntukkan untuk sumbangan masyarakat dan tanggungjawab sosial korporat. Hingga tahun 2020, TDC Holdings Sdn. Bhd. membelanjakan lebih daripada RM6 juta sumbangan dan zakat melalui beberapa saluran seperti di masjid, pusat perubatan, dan banyak menjalinkan hubungan kerjasama dengan agensi lain.

Satu daripada sumbangan besar bersama-sama badan kebajikan, MERCY Malaysia (Medical Relief Society Malaysia), mereka telah melaksanakan Tabung Dana Amal COVID-19 untuk membantu kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan virus ini. Sebagai contohnya, bantuan sumber makanan kepada keluarga pesakit COVID-19 dan lebih daripada 40 buah mesin bantuan pernafasan disalurkan untuk kegunaan hospital dan pusat rawatan rapi (ICU) di Malaysia.

Selain itu, TDC Holdings Sdn. Bhd. turut menyumbangkan bakti kepada masyarakat melalui projek MyHAUS yang membina rumah kepada golongan asnaf dan juga menyumbang 3500 bahagian korban di Afrika, Palestin dan Malaysia yang menelan kos melebihi RM2 juta dan daging korban ini juga turut diagihkan kepada lebih daripada 4–5 juta golongan asnaf dengan kerjasama Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM). Selain itu, projek seperti pembangunan masjid; menaik taraf fasiliti latihan kepada pasukan Selangor FC; mewakafkan beberapa buah ambulans melalui kerjasama dengan Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) juga dilakukan untuk sumbangan bantuan.

Sehubungan dengan itu, Hafiz Hiew berkata, perkhidmatan yang disediakan oleh TDC Holdings Sdn. Bdn. bukan sahaja menjaga kebajikan masyarakat dan penggunanya, malah mengamalkan sistem kerja yang komprehensif. TDC Holdings Sdn. Bdn. menawarkan sistem pengiraan imbuhan (bonus) harian. Sistem ini diaplikasikan bagi tujuan membantu orang ramai untuk menjana pendapatan tambahan, malah sangat tepat pada waktu ini tatkala pandemik menyerang negara. Tawaran bonus harian ini dilihat sangat penting bagi mereka yang terkesan yang memerlukan duit segera untuk menampung kos sara hidup harian, khususnya golongan yang hilang punca pendapatan akibat dipecat, ditamatkan kontrak atau dikurangkan gaji susulan daripada pandemik COVID-19.

“Perniagaan kami sangat santai. Tiada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai, malah tiada jualan paksa kepada pengguna mahupun pekerja. Namun begitu, hakikatnya dengan tiada tekanan sebegini, seorang suri rumah pun boleh menjana pendapatan dengan hanya mempromosikan melalui media sosial, sudah boleh menjual produk. Inilah yang menyumbang kepada peningkatan keahlian sehingga 200 ribu orang dan hampir 3.5 juta produk sudah terjual. Hayat keahlian pula tiada tarikh luput dan tidak akan terbatal. Tiada syarat untuk menjadi keahlian, tanpa bayaran dan syarat tersembunyi. Hanya membeli satu kotak, mereka boleh terus menjadi ahli,” jelas Hafiz Hiew.

Kewujudan ekosistem perniagaan yang utuh ini dikatakan demikian telah mendorong penjualan lebih daripada dua juta unit produk dengan 45 peratus pendapatan syarikat merupakan pembelian pulangan daripada pengguna. Yang menariknya, kebanyakan ejen atau peniaga TDC akan menikmati lebih daripada empat angka bonus bersih dalam sebulan, dan lebih daripada 10 orang ejen menikmati enam angka bonus.

Usaha komitmen yang murni ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang menjalinkan hubungan kerjasama dengan TDC Holdings Sdn. Bhd., pastinya selamat dan terjamin, serta dapat beramal untuk bekalan di akhirat. Ternyata, perniagaan di bawah kepimpinan pemimpin yang berwibawa ini memberikan suri teladan yang baik, dan sekali gus mengangkat TDC Holdings Sdn. Bhd. sebagai sebuah syarikat yang eksklusif di Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi