30 Julai 2021, 12:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Belanjawan 2022 yang bakal menyaksikan perincian kesinambungan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan langkah pemulihan lain yang dibentangkan pada 29 Oktober 2021 lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Belanjawan 2022 lebih menumpukan kepada tiga fokus utama, iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan pemangkin pembaharuan.

“Tumpuan khusus diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam, serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi kebiasaan baharu global,” katanya ketika menyampaikan pembentangan PPN dalam sidang khas Parlimen.

Sementara itu, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti.

Menurut Muhyiddin, pembentangan ini selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan belanjawan tahunan.

Selain itu, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pula dijangka dibentangkan di Parlimen pada 20 September depan.

Sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah portal khas telah dibangunkan yang menjadi pusat rujukan sehenti, memaparkan indikator terkini dan maklumat berkaitan dengan PPN, manfaat dan juga prosedur operasi standard (SOP) terkini.

Menerusi usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan imunisasi yang sedang berjalan lancar, Muhyiddin berkata, kebanyakan negeri dijangka dapat beralih ke fasa keempat PPN seawal bulan Oktober nanti.

“Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, hal ini tidak akan kembali ke fasa pertama.

“Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua. Hal ini dikatakan demikian kerana pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back,” tambah Muhyiddin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.