Oleh Supiah Saad
29 Julai 2021, 12:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negara kini memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam tahun kedua wabak COVID-19 mencengkam dunia. Bukan sahaja di Malaysia, malah kebanyakan negara di seluruh dunia berdepan dengan nasib serupa. Ada yang menanganinya dengan lebih baik kerana mempunyai sumber dan teknologi terkini, namun terdapat juga negara  yang semakin tersungkur kerana tidak mampu menanganinya dengan baik.

Bagi penduduk dunia, termasuklah rakyat Malaysia, kebimbangan sumber ekonomi menjadi antara perkara yang paling lantang dibangkitkan. Tubuh badan dihambat penyakit, poket pula semakin sepi tanpa isi. Golongan yang bekerja mahupun berniaga mengadu tentang gaji dipotong, hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan untuk kelangsungan hidup, sehingga rata-ratanya mengharapkan bantuan daripada kerajaan mahupun daripada golongan berkemampuan. Bagi graduan baharu, sukar bagi mereka untuk mencari kerja walaupun melalui proses temu duga secara dalam talian sedikit sebanyak agak memudahkan mereka.

Sumber: Harian Metro.

Murid sekolah dan pelajar universiti pula menyatakan kebimbangan mereka tentang kualiti pembelajaran melalui komputer dan peranti digital.  Selain berdepan dengan kekangan peralatan dan kemudahan Internet, terdapat dalam kalangan mereka yang tidak dapat mengikuti latihan amali sama ada di makmal, bengkel kerja, pejabat mahupun sektor industri.

Pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2020 menjadi kumpulan pertama yang didapati lewat mengambil peperiksaan, lewat mendapat keputusan dan pastinya lewat mendapat penempatan di menara gading. Pelajar SPM tahun 2021 dan beberapa tahun yang akan datang juga mungkin berdepan dengan nasib serupa apabila jangkaan pemulihan penuh (dalam kebiasaan baharu) di negara ini sekitar tahun 2023 atau 2024, dengan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan pemulihan global mengambil tujuh tahun lagi (2028) berdasarkan kadar vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok.

Apakah nasib yang bakal berlaku terhadap anak-anak kecil? Ada yang lahir ke dunia terus dalam era PKP. Sehingga kini, interaksi sosial hanya berlaku bersama-sama dengan ahli keluarga. Sejak dari tadika hingga sekolah menengah, sistem sosial dan perhubungan dengan rakan seusia terjejas, termasuklah interaksi formal dengan orang dewasa seperti guru dan kakitangan sekolah. Mereka menghabiskan masa selama berbulan-bulan di rumah dan tidak boleh ke mana-mana.

Wabak COVID-19 dan hidup di bawah perintah darurat banyak mengajar kita tentang erti kehidupan. Ramai yang hidup selesa dalam kepompong sendiri  terpaksa menghadapi rintangan dan mahu atau tidak, kita terpaksa belajar untuk berdikari demi kelangsungan diri dan keluarga.

Zaman mengharapkan bantuan daripada kerajaan atau pihak berwajib datang membantu sudah berlalu. Ibu bapa selaku tonggak utama yang membentuk jati diri anak-anak perlu mempunyai perancangan sendiri untuk masa depan mereka mengikut kesesuaian dan keperluan semasa. Selain itu, hal yang berkaitan dengan kewangan, sistem sosial, moral, disiplin dan teras agama generasi berikutnya yang perlu diperkukuh supaya mereka mampu berdikari kelak, seperti  ibu bapa mereka yang kini belajar hidup di celah-celah hambatan wabak penyakit.

Akan ada suara sumbang yang mungkin bertanya, “apakah perancangan kerajaan dan pihak berwajib”? Perlu diingatkan bahawa kerajaan berfungsi sebagai pembuat dan pelaksana dasar. Umpama dibina ratusan masjid, tetapi jika penduduk tidak menggunakannya, maka usaha itu hanyalah sia-sia belaka.

Tanggungjawab ibu bapa, ahli keluarga dan komuniti setempat dalam usaha melindungi dan merancang masa depan generasi PKP ini terlalu besar. Adakah mereka ingin diajar supaya duduk mengharapkan bantuan orang lain, atau berusaha untuk kejayaan diri sendiri? Adakah mereka mahu dididik menjadi “pak turut” atau ditanam keberanian untuk berusaha dan berdikari?

Sesetengah masyarakat tidak sedar antara kelebihan wabak ini dan juga PKP dapat dianggap sebagai rezeki tambahan kerana dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga, selain memberi peluang ibu bapa lebih mengenali kelebihan dan kelemahan anak-anak mereka. Jika suatu ketika dahulu kita cuma mengharapkan guru, sekolah dan pengasuh melentur buluh, sekarang merupakan masa untuk ibu bapa sendiri mengendong rebungnya. Kenalilah anak-anak dan apabila sudah mengetahui akan potensi mereka kelak, maka dari itulah kita merancang perjalanan mereka.

Ambillah iktibar daripada generasi pascamerdeka yang bergelumang dalam kemiskinan dan kehancuran yang ditinggalkan penjajah. Mereka mampu berdikari, memajukan diri, serta tidak gentar dengan kesukaran hidup bagi memastikan masa depan anak-anak terbela. Itulah yang perlu ditonjolkan oleh generasi sekarang dan yang seterusnya. Walaupun berdepan dengan apa-apa jua badai yang menimpa, mereka perlu memiliki ketahanan dan jati diri untuk terus melangkah ke hadapan.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi