29 Julai 2021, 08:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

COVID-19 merupakan satu wabak yang dikenali sebagai koronavirus, yang sedang melanda seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Kes COVID-19 yang pertama di Malaysia dilaporkan melibatkan pelancong dari negara China yang masuk ke Johor melalui Singapura. Pandemik ini bermula di Malaysia apabila kes jangkitan dalam kalangan rakyat tempatan pada tahun 2019. Oleh sebab penularan wabak yang sangat bahaya hingga membabitkan kematian orang ramai, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara. PKP dilaksanakan secara berperingkat mengikut jumlah kes di sesebuah daerah.  Persoalannya, apakah hala tuju ekonomi pelancongan Malaysia dalam era pandemik ini?

Kemunculan virus COVID-19 ini menjejaskan banyak sektor sosioekonomi sesebuah negara kerana memudaratkan tahap kesihatan rakyatnya. Akibat daripada pandemik ini, sektor pelancongan turut terpalit mendapatkan nasib malang apabila boleh melumpuhkan sektor ini di seluruh dunia. Apabila keadaan semakin teruk dan penularan yang semakin meluas, kerajaan mengambil langkah untuk menutup sempadan negara dengan tidak membenarkan pelancong dari luar negara untuk masuk. Langkah ini sangat efektif untuk membendung penularan daripada terus merebak, namun hal ini boleh merencatkan ekonomi negara sendiri kerana sektor pelancongan merupakan antara sektor yang menjadi penyumbang terbesar terhadap ekonomi negara.

Rentetan daripada itu, Kementerian Pelancongan terpaksa membatalkan kempen Tahun Melawat Malaysia. Dengan pembatalan kempen ini, secara tidak langsung juga memberikan kesan besar kepada sektor lain, seperti pengangkutan, perhotelan, penginapan dan perniagaan. Banyak pengusaha hilang pekerjaan dan hilang punca pendapatan. Ada sebahagiannya masih bekerja, namun gaji dipotong ekoran untung yang tidak mampu menampung gaji penuh pekerja.

Dalam hal ini, banyak rakyat hidup dalam keadaan susah disebabkan oleh kos sara hidup yang semakin meningkat naik walaupun ketika musim pandemik. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, melihat kepada situasi pandemik yang membimbangkan ini berkemungkinan lebih daripada 100 ribu pekerja sektor akan hilang pekerjaan dan banyak syarikat terpaksa tutup operasi.

Bagi meneruskan operasi dalam kebiasaan baharu tatkala pandemik berlaku, pihak hotel mengambil inisiatif untuk membuat promosi, tetapi orang ramai lebih memilih untuk mementingkan keselamatan dan kesihatan diri kerana wabak ini dianggap sangat bahaya dan berisiko. Oleh hal yang demikian, langkah yang diambil oleh pihak hotel untuk melaksanakan promosi tidak dapat menampung kerugian yang dialami. Keadaan ini memaksa banyak hotel dan agensi pelancongan untuk mengambil keputusan untuk tutup operasi perniagaan.

Persatuan Hotel Malaysia (MHA) melaporkan bahawa terdapat lebih daripada 90 buah hotel terpaksa ditutup secara kekal dan sementara, sejak pihak kerajaan melaksanakan PKP di seluruh negara. Tindakan ini dilihat menjejaskan lebih daripada 7000 orang pekerja dan lebih daripada 12 000 orang pekerja dibuang kerja dan dipotong gaji.

Sektor penerbangan menerima nasib yang sama, iaitu tidak mampu bertahan semasa pandemik COVID-19 ini apabila tiada kemasukan pelancong ke dalam negara. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan global dijangka akan menanggung kerugian sehingga bernilai A.S.$84.3 bilion pada tahun 2020. Kerugian ini jelas memberikan kesan yang sangat buruk pada sejarah penerbangan.

Berdasarkan kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam Dewan Rakyat pada 21 Julai 2020, industri penerbangan dikatakan mengalami kerugian bernilai RM13 bilion, termasuklah kerugian yang perlu ditanggung oleh tiga syarikat penerbangan tempatan, iaitu Malaysia Airlines Bhd., Air Asia Group Bhd. dan Malindo Airways Sdn. Bhd.

Akibat ketiadaan pelancong ke dalam negara, mereka terpaksa mencari langkah untuk kekal dalam industri. Antaranya termasuklah membuang pekerja dan membuat potongan gaji kepada semua pekerja. Pada Oktober 2020, ketiga-tiga syarikat penerbangan di negara ini mengumumkan pemberhentian pekerja kepada beberapa pekerja mereka. Malindo Airlines mengurangkan pekerja kepada 1000 orang pada akhir November 2020.

Selain itu, syarikat Malindo yang mengendalikan lebih daripada 50 buah pesawat pada tahun 2019 juga terpaksa mengurangkan kepada lima buah B737 dan enam buah ATR 72-600 sahaja. Syarikat penerbangan tambang murah Air Asia mengambil keputusan untuk memberhentikan 10 peratus pekerja demi kelangsungan industri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, syarikat ini tidak mempunyai pilihan lain selain daripada untuk menutup operasinya, tetapi disebabkan oleh perbincangan yang dilakukan, sistem operasi syarikat penerbangan itu telah distrukturkan semula dengan membuat potongan gaji pekerja sebanyak 10 peratus mulai Oktober 2020.

Jelas, pandemik ini memberikan impak besar hingga merencatkan ekonomi negara, terutamanya ekonomi pelancongan apabila pelaksanaan PKP dilakukan pada kebanyakan sempadan negara dan negeri yang menyukarkan pelancong dan rakyat untuk melancong, sekali gus menyukarkan perjalanan ekonomi negara. Maka, apakah langkah perlu dilakukan untuk memulihkan situasi kemelut ini?

Yang pertamanya, semua pihak daripada kerajaan, pihak industri hinggalah masyarakat umum perlu memainkan peranan masing-masing. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan menetapkan prosedur operasi standard (SOP), dan SOP yang ditetapkan ini berkesan dapat mengurangkan 80 peratus kes jangkitan COVID-19. Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan Skim Pembiayaan PENJANA melalui Pakej Rangsangan Ekonomi, iaitu sebanyak RM1 bilion untuk digunakan sebagai inisiatif transformasi supaya semua pihak yang terlibat dalam sektor pelancongan ini dapat terus berdaya saing dan bertahan dalam industri.

Antara inisiatif kerajaan kepada sektor pelancongan ketika COVID-19

  • Penangguhan bayaran ansuran cukai kepada syarikat pelancongan selama tiga bulan.
  • Cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan kepada pengendali premis ditangguhkan sepenuhnya.
  • Pihak industri dapat menggunakan peluang ketika PKP untuk menambah baik fasiliti supaya menepati kebiasaan baharu.

Yang kedua, pihak industri boleh membuat penawaran pakej pada pelancong domestik. Dalam hal ini, terdapat banyak hotel mula mengambil langkah ini untuk membuat promosi kepada masyarakat, seperti pakej lima bintang dengan harga mampu milik. Langkah ini dilihat mampu menampung kerugian yang dialami semasa musim pandemik.

Selain itu, rakyat juga memainkan peranan dengan mematuhi SOP yang telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan. SOP ini bertujuan untuk mengelakkan wabak daripada terus berjangkit dan menular dalam kalangan rakyat Malaysia. Masyarakat diseru agar mengambil saranan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, iaitu mengelakkan keberadaan di dalam perhimpunan besar selama enam bulan. Masyarakat harus cakna terhadap hal di sekeliling supaya tidak berada dalam kelompok yang ramai yang dilihat boleh memberikan kesan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam mengekang penularan wabak COVID-19 ini, nescaya negara ini dapat mencapai kes jangkitan sifar satu hari kelak, dan sektor pelancongan dapat kembali seperti sedia kala. Sempadan negara dapat dibuka secara berperingkat untuk membenarkan pelancong masuk ke dalam Malaysia. Namun begitu, langkah berjaga-jaga perlu diambil untuk memastikan tiada gelombang wabak yang baharu.

Pada 24 Februari 2021, bermulanya Program Imunisasi Kebangsaan dengan perasmian penerimaan vaksin oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku rakyat Malaysia yang pertama yang menerima vaksin jenis Pfizer. Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka di seluruh negara untuk membolehkan rakyat Malaysia menerima vaksin.

Setakat ini, terdapat tiga jenis vaksin diterima oleh Malaysia, iaitu Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac. Kesemua vaksin ini bertujuan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus COVID-19 pada badan manusia. Oleh hal yang demikian, sekiranya ramai rakyat mengambil langkah bijak dengan menerima vaksin COVID-19 ini, sudah pasti penularan wabak ini dapat dikurangkan dan rakyat dapat hidup seperti sedia kala, iaitu keluar merentas antara negeri dengan negara. Semakin ramai rakyat yang mengambil vaksin, maka sektor pelancongan dapat diselamatkan dan kembali menjadi penyumbang kepada ekonomi negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.