Oleh Noordin Zakaria
28 Julai 2021, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pandemik COVID-19 masih memuncak. Sama ada angka jangkitan dan kematian akan terus meningkat atau mungkin menurun, namun hakikatnya kesan wabak ini di seluruh dunia begitu besar. Hal ini bukan sahaja menyentuh aspek sosial dan psikologi, malah membabitkan secara langsung hal ehwal ekonomi dan kewangan global.

Profesor Nouriel Roubini

Profesor Nouriel Roubini dari Universiti New York menerusi tulisan berjudul “A Greater Depression” sebagaimana yang disiarkan dalam laman universiti berkenaan Stern.nyu.edu pada April 2020 membuat telahan bahawa kesan yang berlaku ini sangat besar dan ketara.

Beliau mencatatkan bahawa pandemik COVID19 bakal mendatangkan “kejutan luar biasa” kepada ekonomi dan kewangan dunia. Kesan tersebut, jelas beliau lebih teruk berbanding dengan krisis kewangan tahun 2018 dan depresi ekonomi era 1929-1939.

Nouriel Roubini ialah Profesor Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa di Universiti New York. Beliau juga pengasas syarikat penyelidikan strategi makroekonomi dan pasaran global, iaitu Roubini Global Economics.

Impak Besar

Telahan ini tentu ada asasnya apabila dapat dilihat secara ketara, iaitu hanya dalam tempoh dua minggu sahaja di Amerika Syarikat sendiri sebagai contoh, 10 juta kehilangan pekerjaan. Ternyata impak wabak ini sangat besar.

Angka ini begitu menakutkan kerana melangkaui impak krisis kewangan 2008. Ketika krisis tahun 2008 itu, angka menunjukkan 8.8 juta orang hilang pekerjaan dalam 106 minggu dan tidak melibatkan 10 juta orang dalam dua minggu ketika pandemik COVID-19 ini.

Jika angka di Amerika Syarikat dapat dijadikan sandaran dan kayu ukur, peratusan rakyat negara itu tidak bekerja mencecah 8.9 peratus setiap tahun sebagaimana data yang dikeluarkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada masa yang sama, angka bilangan peluang pekerjaan baharu di kebanyakan sektor hampir tidak menunjukkan pertambahan yang memberangsangkan. Keadaan ini menunjukkan era kepesatan peluang pekerjaan di negara kuasa ekonomi itu menyusut pada kadar yang sangat ketara.

Bukan Hanya di Amerika Syarikat

Kesan pandemik ini tidak terhad kepada sesetengah negara sahaja, malah negara yang diketahui sangat ampuh lagi kebal dari segi ketahanan ekonomi atau dianggap sebagai “kalis krisis ekonomi”, kini turut terancam dan tergugat. Di kebanyakan negara terbabit, berjuta-juta pekerja terpaksa “dibantu dan dipapah” menerusi beberapa skim yang terpaksa diperkenalkan kerajaan di negara tersebut. Bagi pekerja di kebanyakan sektor, terutamanya dalam sektor pelancongan, sebahagian besarnya terpaksa diberhentikan. Beberapa buah negara maju sendiri sudah terpaksa menyuntik pakej rangsangan bernilai trilion ringgit yang bertujuan untuk membantu industri dan kehidupan rakyat, sekali gus “menambah tenaga” tambahan kepada ekonomi. Hal ini tentunya bukan sesuatu yang kebiasaannya dialami oleh dunia kewangan global sebelum ini.

Kesan yang lebih nyata daripada pandemik ini termasuklah apabila nilai pasaran saham global mulai merudum sejak Februari 2020 berikutan peningkatan kadar jangkitan COVID-19 yang ketara pada waktu itu, terutama di China. Situasi ini diikuti dengan kejatuhan yang berterusan dalam indeks utama dunia pada bulan berikutnya, iaitu Mac 2020.

Ternyata, depresi ekonomi berikutan pandemik COVID-19 memberikan kesan meluas dan teruk terhadap pasaran kewangan, termasuklah indeks saham, bon dan komoditi seperti minyak mentah serta emas.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menjangkakan negara-negara membangun mengalami pengurangan pendapatan sehingga A.S.$220 bilion akibat pandemik ini dalam jangka masa pendek dan sederhana. Kesan itu menurut unjuran PBB, akan berkekalan mungkin sehingga beberapa tahun.

Sebagaimana COVID-19 yang terus berjangkit tanpa adanya petanda akan berhenti, kesan pandemik ini berjangkit sehingga melangkaui semua sektor ekonomi secara mikro dan makro. Contohnya, sektor peruncitan sendiri menunjukkan kesan yang ketara apabila pusat membeli-belah di serata dunia bertindak balas terhadap impak jangkitan COVID-19 dengan terpaksa mengurangkan jumlah jam operasi atau menutup sementara perniagaan mereka.

Sejak Mac 2020, jumlah jam operasi pusat beli-belah di seluruh dunia berkurangan sehingga 30 peratus berbanding dengan sebelum munculnya COVID-19. Kesan ini dilaporkan hampir sama di seluruh dunia.

E-dagang Semakin Aktif

Sebagai alternatif, kebanyakan operator sektor peruncitan, termasuk yang besar dan kecil, mula beralih kepada sistem penghantaran dari pintu ke pintu. Hal ini menjadikan sistem perniagaan berasaskan e-dagang mula aktif secara mendadak di seluruh dunia. E-dagang bukan sahaja memuncak di negara maju, malah turut beroperasi di negara membangun sejak wabak ini merebak.

Ternyata, dari segi lain pandemik ini menghasilkan satu trend ekonomi baharu dengan pembelian secara dalam talian tiba-tiba meningkat dua kali ganda berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

Laporan media di serata dunia mendedahkan bahawa petani berskala kecil di hujung kampung turut menggunakan teknologi digital sebagai cara untuk memasarkan dan menyampaikan hasil pertanian mereka kepada pengguna. Itulah gambaran pada peringkat global. Bagaimanakah pula dengan situasi di Malaysia?

Di Malaysia sendiri, ahli ekonomi dilaporkan meramalkan wabak ini akan mempengaruhi kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), aliran dagangan dan pelaburan, harga komoditi serta jumlah pelancong. Angka kadar pengangguran di Malaysia juga dilaporkan terus meningkat. Menurut laporan Theedgemarkets.com, pada Januari 2020 menyatakan bahawa kadar pengangguran menunjukkan peningkatan berterusan sehingga tahap 5.3 peratus berbanding dengan sebelumnya.

Bursa Malaysia pula menunjukkan kejatuhan teruk dalam tempoh 10 tahun kebelakangan apabila pelabur mula menjual pegangan masing-masing disebabkan jangkaan impak ekonomi akibat virus ini. Antara lain, ekonomi Malaysia begitu terkesan disebabkan oleh ekonomi China, iaitu antara rakan dagang terbesar negara yang terjejas secara langsung akibat pandemik ini. Sementara itu, Aberdeen Standard Investments meramalkan nilai ringgit juga menjadi semakin lemah akibat pandemik ini. Aberdeen Standard Investments ialah organisasi pengurusan aset bebas bertaraf dunia dengan pengalaman kepakaran selama lebih 30 tahun.

Ternyata, impak depresi ekonomi akibat pandemik COVID-19 bukannya telahan semata-mata kerana inilah realiti yang berlaku pada hari ini. Kesannya boleh menjangkau sehingga beberapa tahun lagi. Kita perlu mengakui telahan ini sememangnya benar supaya lebih bersedia untuk menghadapinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.