7 Jul 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia menyaksikan eksport produk sarang burung walet mencecah 962 tan metrik bernilai RM714 juta setakat bulan April 2021.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, pencapaian tersebut sekali gus menunjukkan eksport komoditi produk sarang burung walet kekal kukuh, terutamanya ketika negara masih mengharungi penularan pandemik COVID-19.

“MAFI sentiasa menggalakkan pengeksportan produk sarang burung walet ke luar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri ini secara keseluruhannya.

“Pada tahun 2019, jumlah eksport adalah sebanyak 5654 tan metrik bernilai RM1.154 bilion dan dilihat sebagai antara industri berasaskan ternakan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara.

“Manakala, pada tahun 2020, jumlah eksport adalah sebanyak 3640 tan metrik bernilai RM1.385 bilion,” katanya dalam kenyataan berhubung lawatan kerja beliau ke loji pemprosesan sarang burung walet PT Swift Marketing Sdn. Bhd.

Loji berkenaan merupakan antara yang berdaftar dengan pihak General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) yang diberikan kelulusan untuk mengeksport sarang burung walet mentah bersih ke negara tersebut.

Sehingga tahun 2021, sebanyak 41 loji telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negara China, iaitu 38 loji sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan tiga buah loji sarang burung walet belum bersih (EBN-RUC).

Sebelum ini, MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berjaya mewujudkan satu Program Sistem Pendaftaran Premis Walet yang dikenali sebagai Malaysia EBN Traceability System (METS).

Program itu bertujuan mengukuhkan sistem daya jejak bagi mencapai piawaian global serta menjadi salah satu syarat dalam pengeksportan sarang burung walet Malaysia ke China.

DVS mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) melibatkan aktiviti dalam semua rantaian nilai industri tersebut, iaitu pengeluaran sarang burung walet, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran.

Langkah berkenaan termasuklah menggalakkan pendaftaran premis walet dengan DVS bagi tujuan pemantauan.

Secara keseluruhannya, sebanyak 12 954 premis walet telah didaftarkan oleh DVS di seluruh negara setakat ini.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi