2 Julai 2021, 20:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Laporan World Competitiveness Yearbook 2021 yang menjadi penanda aras kepada tahap daya saing global meletakkan ekonomi Malaysia di kedudukan ke-25 daripada 64 buah negara.

Ketika majlis pelancaran rasmi secara maya berkaitan dengan Laporan Produktiviti 2021, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedudukan negara dalam laporan itu meningkat daripada tangga ke-27 pada tahun lalu.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Walaupun kedudukan ini menunjukkan bahawa inisiatif pembaharuan telah berjaya, namun masih terdapat banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk memastikan aspek kawal selia kita cukup bersiap sedia terhadap sebarang perubahan.

“Oleh itu, kerangka kerja kawal selia perlu direka untuk membolehkan inovasi teknologi diterima, memastikan persekitaran perniagaan yang terbuka dan tiada diskriminasi, melindungi pengguna dan pekerja serta menangani kesan gangguan yang tidak diingini,” katanya.

Dalam situasi pandemik semasa, peraturan yang menyokong dan kerangka operasi yang menyeluruh amat diperlukan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif supaya syarikat dapat beroperasi dengan produktif dan berdaya saing.

Tambahnya lagi, pandemik COVID-19 ini mendorong agenda perubahan aspek kawal selia ke tahap baharu yang menyaksikan pelaksanaan peraturan dan keputusan dasar yang lebih baik.

Bagi mencapai objektif berkenaan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) terus bekerjasama secara rapat dengan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH) untuk mengurangkan sebarang beban kawal selia ke atas perniagaan baharu dan sedia ada.

“Apabila Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) digerakkan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan destinasi utama bagi industri berteknologi dan berimpak tinggi; pembuatan pintar dan perkhidmatan berkaitan; serta penyediaan penyelesaian menyeluruh untuk teknologi canggih; proses transformasi digital kita juga perlu bergerak seiring.

“Kita menyaksikan hasil pertama daripada NIA di mana sebanyak RM80.6 bilion nilai pelaburan telah diluluskan dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan bagi separuh pertama tahun kewangan 2021.

“Ini merupakan lonjakan sebanyak 95.6 peratus dalam pelaburan yang diluluskan berbanding dengan tempoh sama pada tahun lalu,” jelas Mohamed Azmin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.