2 Julai 2021, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melakukan beberapa pindaan ke atas Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2021.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan SC, pindaan tersebut melibatkan perubahan pada Jadual 6 dan Jadual 7 merujuk CMSA.

Menerusi pindaan itu, kategori pelabur sofistikated diperluas untuk merangkumi individu dengan pelaburan bernilai RM1 juta dalam produk pasaran modal, sama ada secara sendiri atau melalui akaun bersama dengan pasangan mereka; Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah berlesen atau individu yang berdaftar di bawah CMSA; dan syarikat yang menguruskan dana syarikat berkaitan dengan mereka dan aset yang melebihi RM10 juta.

“Pindaan ini membolehkan lebih banyak pelabur memperluas pilihan pelaburan mereka, manakala penerbit kini dapat meraih manfaat daripada kumpulan pelabur sofistikated yang lebih besar. Senarai penuh kriteria kelayakan pelabur sofistikated boleh didapati di portal rasmi tersebut,” jelas SC.

Di samping itu, pindaan pada Jadual 6 dan Jadual 7 CMSA juga membolehkan Bursa Malaysia melaksanakan pendaftaran prospektus bagi Pasaran ACE berkuat kuasa 1 Januari 2022.

Setelah fungsi pendaftaran tersebut berjaya dipindahkan, Bursa Malaysia akan menjadi pusat sehenti untuk semua kelulusan yang berkaitan dengan penyenaraian di Pasaran ACE.

Sementara itu, Jadual 5 CMSA juga dipinda dengan memasukkan beberapa perkara, seperti penawaran bursa awal bagi aset digital melalui Pengendali Pasaran yang Diiktiraf; dan tawaran awam awal (IPO) atau penyenaraian silang saham syarikat awam atau syarikat tersenarai di bursa saham di luar Malaysia.

Jadual ini menetapkan jenis cadangan korporat yang tidak memerlukan kelulusan SC.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.