2 Julai 2021, 19:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya, 2 Julai – Anis Rizana Mohd. Zainudin, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan Malaysia mengajak seluruh masyarakat untuk bersama-sama menguruskan kewangan secara bijak dan berintegriti bagi mengukuhkan ekonomi diri, keluarga dan negara.

Anis Rizana Mohd. Zainudin, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan Malaysia.

Ketika dihubungi, beliau yang juga merupakan ahli Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia  berkata, kegawatan ekonomi dan pandemik COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia pada hari ini menuntut semua pihak untuk lebih berhemah dalam perbelanjaan.

“Agensi kerajaan secara khususnya perlulah meletakkan integriti sebagai asas utama dalam membuat perancangan dan perbelanjaan terhadap peruntukan kewangan demi mencapai matlamat pemulihan, seterusnya pengukuhan ekonomi rakyat dan negara.

Pihak Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) akan bersama-sama membantu kerajaan dalam usaha memastikan kebajikan rakyat terjaga sepanjang tempoh yang amat sukar ini,” katanya lagi.

Bantuan rakyat disalurkan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan dalam tempoh pandemik yang sukar ini.

Tuan Sukairi Samsudin, seorang pengarah kewangan di sebuah agensi kerajaan turut bersetuju dengan saranan tersebut kerana integriti merupakan asas penting dalam pengurusan kewangan.

Tuan Sukairi Samsudin, pengarah kewangan di agensi kerajaan.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa sebarang kelemahan dalam pengurusan kewangan akan memberikan indikator berlakunya amalan yang tidak berintegriti dalam sesebuah organisasi.

Sikap pemborosan, pembaziran, penyelewengan dan salah guna kuasa boleh dielakkan dalam pengurusan kewangan, jika integriti menjadi teras pengurusannya.

“Semua pihak khususnya agensi kerajaan haruslah membuat perbelanjaan atau melaksanakan sesuatu projek yang memberikan hasil atau impak yang signifikan dengan penyelesaian isu ekonomi semasa.

Maka itu, hubungan kerjasama antara agensi, jabatan mahupun kementerian penting bagi menyelaraskan perbelanjaan supaya tiada pertindihan projek yang boleh menjejaskan keberkesanan dan matlamat pengurusan kewangan bagi menangani kegawatan ekonomi semasa,” jelas beliau ketika memberikan pendapat.

Puan Zuriati Ariffin, Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Melaka.

Puan Zuriati Ariffin, Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Melaka memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua pihak, termasuklah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk membantu rakyat yang terkesan dengan kegawatan ekonomi semasa.

“ACeIO menyambut baik kesemua pandangan dan saranan tersebut. Kami akan turun padang untuk mendengar sendiri keluhan dan keresahan rakyat dalam meneruskan kehidupan di saat sukar begini,” kata Pengerusi Perhubungan ACeIO Negeri Melaka selepas menyertai program Terjahan Kasih Lockdown bersama-sama Perkumpulan Wanita dan Perkim Negeri Melaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.