Oleh Amirah Zainal
1 Julai 2021, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menelusuri perjalanan di seluruh negara, antara yang menjadi hidangan mata pastinya pemandangan tanaman pokok kelapa sawit yang melatari dan melengkapkan landskap persekitaran di kiri dan kanan jalan raya. Sedar atau tidak, pokok kelapa sawit bukanlah sekadar tanaman yang memberikan impak suasana hijau semata-mata, namun hakikatnya mempunyai nilai komersial yang sangat tinggi sehinggakan diiktiraf sebagai tanaman komoditi utama di Malaysia selain industri getah, lada, perkayuan, koko dan biobahan api.

Menyedari kelapa sawit dan minyak sawit menjadi nadi ekonomi negara, sebuah syarikat Bumiputera memberanikan diri membuka sebuah syarikat yang mengilang dan memasarkan baja sawit bagi memenuhi permintaan yang begitu tinggi untuk ladang berskala besar; milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan beberapa syarikat Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), seperti Guthrie dan Sime Darby serta ladang persendirian.

Agro Surge Sdn. Bhd. (Agro Surge) menceburi industri pemprosesan baja kimia NPK (Nitrogen-N, Fosforus-P dan Kalium-K) dengan membuka kilang sendiri di Kampung Baru Subang, Selangor pada tahun 2017. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Hawa Jaafar, 36 tahun, menegaskan syarikatnya mengambil tindakan proaktif tersebut setelah membuat kajian pasaran kerana mendapati potensi industri pemprosesan baja kimia diterokai oleh Bumiputera secara intensif.

Agro Surge Sdn. Bhd. (Agro Surge) menceburi industri pemprosesan baja kimia NPK dengan membuka kilang sendiri di Kampung Baru Subang, Selangor pada tahun 2017. Siti Hawa menegaskan syarikatnya mengambil tindakan proaktif tersebut setelah membuat kajian pasaran kerana mendapati potensi industri pemprosesan baja kimia diterokai oleh Bumiputera secara intensif.

Pasaran yang luas dan kurangnya pelibatan Bumiputera dalam pembuatan atau pemprosesan input pertanian khasnya baja kimia untuk kelapa sawit (sawit) menyebabkan Agro Surge terpanggil terlibat secara serius dalam bidang tersebut. Hal ini berikutan penjualan atau pemasaran baja kimia NPK yang berada di pasaran Malaysia sejak tahun 60-an sejajar dengan usaha negara memperkenalkan sawit sebagai komoditi utama bagi membolehkan rakyat di negara ini mempunyai pendapatan yang lebih lumayan berbanding dengan tanaman dalam industri pertanian yang lain seperti padi, koko dan tembakau.

Kami mempertaruhkan jenama Sawit Emas yang perlu bersaing dengan pengeluar baja kimia yang sudah lama bertapak dalam industri ini. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi apabila Agro Surge menerokai bidang ini secara serius, khususnya mendapatkan mesin yang kompeten bagi penghasilan butiran baja yang standard, menepati piawaian dan keperluan ladang-ladang sawit.

Cabaran lain termasuklah untuk mendapatkan bahan mentah dengan harga yang stabil dan konsisten kerana kami perlu menggunakan khidmat pembekal (orang tengah) bagi mendapatkan bahan mentah, seperti ammonia dan muriate of potash yang diimport dari luar negara,” jelas Siti Hawa atau lebih dikenali sebagai Hawa.


Buka Kilang dengan Kos RM2 Juta

Pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 2010, Agro Surge hanyalah sebuah syarikat yang mengedarkan pelbagai jenis baja kimia yang diperoleh dari kilang sedia ada. Namun begitu, syarikat milik Bumiputera ini melihat potensi yang sangat besar dalam industri pemprosesan baja kimia berikutan sawit merupakan tanaman komersial yang begitu konsisten dalam aspek keluasan tapak tanaman yang bertambah pada setiap tahun dan mempunyai pasaran yang stabil (minyak sawit).

“Kami membelanjakan kira-kira RM2 juta bagi pembukaan kilang di Kampung Melayu Subang pada tahun 2017, yakni melibatkan pembelian mesin, sewaan premis (kilang), pembelian bahan mentah, tenaga kerja, pemasaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D). Kami mempunyai 20 orang kakitangan dan tujuh orang pekerja di bahagian pengeluaran.

Formulasi baja kimia yang dihasilkan ialah berdasarkan penyelidikan dan pengalaman peribadi saya selama terlibat dalam kerja pemasaran baja sebelum ini. Bagi memastikan baja keluaran Agro Surge dengan jenama Sawit Emas benar-benar berkualiti, saya menggunakan baja tersebut terlebih dahulu untuk membuktikan keberkesanannya sebagai makanan kepada akar, batang pokok, daun dan buah sawit,” terang Siti Hawa lagi.

Agro Surge kini sudah menambah dua lagi mesin pemampat baja keluarannya dengan kos pembelian RM300 ribu. Mesin ini sepenuhnya dibangunkan oleh syarikat tempatan, yakni mampu menghasilkan baja Sawit Emas dengan kemampatan yang dikehendaki oleh bahagian kawalan kualiti Agro Surge.

“Kami sentiasa meningkatkan kapasiti pengeluaran kerana permintaan baja kimia yang berjenama Sawit Emas semakin meningkat. Jika sebelum ini pada tahun 2020, kapasiti pengeluaran baja ialah sekitar 18 ribu tan sahaja, namun dengan pertambahan dua lagi mesin pemampat butiran baja ini, kapasiti pengeluaran meningkat sebanyak 25 ribu tan, iaitu pertambahan 7000 tan pada tahun ini,” kongsi Siti Hawa.


Baja Sawit Emas tanpa Salutan

Penggunaan butiran baja yang dipadatkan tanpa salutan (coating) lebih praktikal kepada semua jenis ladang atau kebun sawit, sama ada skala besar ataupun skala kecil. Baja Sawit Emas yang padat memberikan kelebihan dan kebaikan untuk akar, batang daun dan buah sawit meresap tanpa meninggalkan sisa di atas tanah.

Baja Sawit Emas tidak mengandungi bahan lengai, seperti tanah liat dan silikon seperti baja keluaran syarikat lain. Hal ini menjadikan kadar serapan baja yang ditabur sekitar pokok kelapa sawit lebih efisien walaupun ketika cuaca panas dan kering atau lembap dan hujan.

Pendedahan ilmu berkaitan dengan kaedah menguji tahap pH dan kualiti tanah diberikan kepada pemilik ladang sawit untuk meningkatkan keluaran sawit mereka.

Hal ini tidak bermakna baja yang bersalut atau tanpa salutan tidak baik untuk tanaman sawit, namun dari aspek kos pengeluaran hal ini menjadi lebih mahal. Apabila kos pengeluaran mahal, secara relatifnya harga baja tersebut menjadi lebih mahal disebabkan oleh pengeluar terpaksa menampung kos tambahan dari bahan lengai untuk membuat salutan atau tanpa salutan tersebut.

Antara kelebihan menggunakan baja Sawit Emas ini, termasuklah kandungan baja yang diformulasi oleh saya dan suami, Jamaludin Md. Desa selaku Pengarah Operasi Agro Surge, baja keluaran syarikat ini mempunyai agen penyubur kualiti tanah. Kebanyakan tanah pertanian di Malaysia digunakan secara intensif kerana cuaca khatulistiwa di Malaysia membolehkan peladang dan pekebun sawit menggunakan tanah pertanian sepanjang tahun.

“Tidak seperti di negara yang mempunyai empat musim seperti di Jepun, Korea dan Belanda apabila tiba musim dingin, tanah pertanian tidak digunakan disebabkan oleh kekangan cuaca. Maka itu, tanah tersebut direhatkan sekitar tiga bulan hingga empat bulan. Perkara ini tidak berlaku di Malaysia, maka wajarlah baja yang digunakan perlu mengandungi agen pemulih kualiti tanah untuk meningkatkan hasil pertanian,” jelas Siti Hawa tentang kelebihan penggunaan baja Sawit Emas.

 


Jenama Sawit Emas

Pemilik syarikat Bumi Hijau menunjukkan pelbagai jenis baja keluaran Agro Surge yang dijual olehnya di Sabak Bernam, Selangor.

Selepas lima tahun menghasilkan dan memasarkan produknya tanpa kenal erti putus asa, kini jenama baja sebatian, Sawit Emas keluaran syarikat Agro Surge, semakin mendapat kepercayaan usahawan tani di seluruh negara.

Baja sebatian ini lebih mendapat sambutan kerana gabungan semua unsur NPK, iaitu N untuk daun, P untuk akar dan K untuk buah, dalam satu jenis baja. Hal ini menjadikan lebih jimat dari segi kos. Dalam konteks ini, hal ini penting bagi petani atau peladang untuk mengetahui keperluan tanaman masing-masing, sama ada kadar lebihkan N, P atau K dan sebagainya. Adakalanya mereka ditipu oleh penjual baja yang tidak bertanggungjawab.

“Kebiasaannya, proses kenal pasti masalah tanaman perlu dilakukan untuk mendapatkan bimbingan dan cadangan produk baja yang sesuai untuk digunakan. Itu cara saya, menjual sambil mendidik,” terang Siti Hawa.

Setakat ini, Agro Surge sudahpun menghasilkan 14 produk baja dengan lima jenis pengkhususan tanaman, iaitu Sawit Emas, Durian Emas, Padi Emas dan Getah Emas dan Lala Grow (baja serba guna). Bersandarkan peningkatan kapasiti pengeluaran dan permintaan baja keluaran Agro Surge yang semakin meningkat, syarikat ini dalam perancangan memindahkan kilang mereka ke lokasi baharu pada Julai ini.

Dalam dunia perniagaan, tiada satupun jaminan yang membolehkan syarikat berada pada tahap selesa selamanya. Oleh sebab itu, seorang usahawan perlu memberanikan diri mengambil risiko dengan membuka kilang baharu yang lebih besar dan mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran semaksimum mungkin. Selain itu, Agro Surge juga amat menitik beratkan kepuasan antara pelanggan dengan pengguna baja. Penghantaran baja yang tepat pada waktunya, berurusan antara ejen dengan pengedar yang dilantik dan memberikan peluang kepada pengguna berkongsi pengalaman setelah menggunakan produk baja adalah sangat diutamakan.

Bersandarkan perubahan gaya hidup dan teknologi komunikasi, Agro Surge turut memberikan penekanan aspek penjenamaan dan penggunaan medium media sosial untuk mempromosi produk baja keluaran, seperti Facebook dan Instagram.

Agro Surge

@agrosurge

www.agrosurge.com

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.