30 Jun 2021, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sehingga penghujung Februari 2021, kira-kira 130 buah negara masih belum menerima bekalan vaksin COVID-19, manakala Malaysia baru memulakan proses vaksinasi kumpulan pertama barisan hadapan dengan lebih daripada 300 000 individu telah menerima dos pertama vaksin setakat minggu kedua bulan Mac.

Pada masa yang sama, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia senada menyarankan mereka yang sudah menerima vaksin supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan, demi melindungi mereka yang belum menerima vaksin tersebut.

Proses vaksinasi dijangka akan berterusan sehingga tahun 2022 untuk mencapai peratusan yang secukupnya bagi mencapai tahap imuniti kelompok, manakala pada kebiasaan baharu pula memerlukan masa beberapa tahun lagi, namun dijangka tidak mungkin sama seperti dahulu.

Proses vaksinasi dijangka akan berterusan sehingga tahun 2022 untuk mencapai peratusan yang secukupnya.

Melihat akan vaksin yang dikatakan bukannya penawar ajaib sepenuhnya, masyarakat perlu berusaha ke arah aspek adaptasi bukan sahaja dalam gaya hidup, malah lebih penting lagi dalam amalan kerja. Usahawan, majikan, pekerja dan semua rakyat Malaysia perlu menyesuaikan diri dengan suasana baharu, mencari sumber pendapatan baharu seperti kerja atau perniagaan dalam talian, penghantar barang, e-panggilan (e-hailing), pertanian dan banyak lagi.

Golongan Profesional Beralih Bidang untuk Mencari Sumber Pendapatan

Membuat perkhidmatan e-panggilan dan menjadi penghantar makanan.

Awal Mac 2021, media Singapura melaporkan seorang konduktor opera ternama yang sebelum ini bekerja di Rusia terpaksa pulang ke negara itu untuk menjadi penghantar makanan. Kisah serupa turut didengar di Malaysia dengan kebanyakan golongan profesional atau bergaji tinggi beralih menjadi penghantar makanan, penghantar barang, pemandu e-panggilan atau apa-apa sahaja sumber pendapatan yang ada. Pilihan sama terpaksa dibuat golongan buruh atau golongan yang tidak memiliki pendidikan tinggi selepas dibuang kerja, termasuk juga usahawan dan peniaga yang sudah gulung tikar, demi sesuap nasi untuk keluarga.

Majikan yang masih mampu bertahan juga perlu melihat kepada pilihan jangka panjang bekerja dari rumah yang lebih selamat bagi semua pihak dengan penjimatan kos operasi seperti bil elektrik, air, sewa premis, peralatan, pengangkutan dan lain-lain. Hal ini memerlukan kepercayaan daripada pihak majikan dan diimbangi amanah daripada pekerja.

Berniaga secara kecil-kecilan daripada hasil tanaman.

Bagi mereka yang mempunyai tanah di kampung, walaupun cuma sekangkang kera atau pun menyewa tanah orang, waktu getir inilah masa terbaik untuk mencuba pertanian moden. Baru-baru ini seorang pengguna media sosial berkongsi permulaan berniaga secara kecil-kecilan menanam cili di halaman rumah membolehkan beliau mengumpul modal yang cukup untuk menyewa lot tanah terbiar dan dalam tempoh yang singkat sudah memulakan ladang cili yang membawa pulangan mencecah lima angka sebulan.

Terbukti pertanian secara kecil-kecilan atau sederhana mampu membawa pulangan besar melangkaui jangkaan, asalkan sanggup berusaha dan banyak bersabar. Jika tidak lumayan hasilnya, maka tidak mungkin begitu ramai golongan yang tidak memiliki tanah sendiri mahupun warga asing berterusan menceroboh tanah kerajaan dan hutan tebal seperti di Cameron Highlands semata-mata untuk menanam sayur.

Pengalaman membina perabot daripada kayu hutan dan papan terpakai sehingga menjadi satu perniagaan berjaya.

Ada juga individu yang hilang pekerjaan berkongsi pengalaman membina perabot daripada kayu hutan dan papan terpakai sehingga menjadi satu perniagaan berjaya melangkaui pendapatannya ketika makan gaji.

Ada yang menjadi tukang masak dengan menu ringkas seperti kuih-muih, manisan dan nasi goreng bujang sahaja sudah cukup untuk menyara hidup. Semua urusan jual beli dibuat secara dalam talian dan waktu kerjanya juga  fleksibel untuk pulangan lebih besar berbanding dengan kerja pejabat yang menyebabkan mereka berjauhan daripada keluarga sehingga 16 jam setiap hari sebelum ini.

Apa-apa jua bentuk sumber pendapatan ketika negara dilanda wabak penyakit, adaptasi kerja perlu mengambil kira bidang tugas dan sektor pekerjaan kerana satu kaedah atau Prosedur Operasi Standard (SOP) tidak dapat memenuhi keperluan semua sektor industri di Malaysia. Banyak faktor lain turut memainkan peranan termasuk permintaan pelanggan (bagi produk dan perkhidmatan), pusingan modal dan juga nasib. Tiada jaminan apabila bekerja sendiri atau pun makan gaji terlindung daripada impak COVID-19.

Tuntasnya, perkara paling penting dalam situasi mencabar kini ialah keberanian untuk mencuba sesuatu yang baharu dan keluar dari zon selamat demi memastikan kelangsungan hidup  bagi diri sendiri dan juga keluarga.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi