14 Jun 2021, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam masyarakat digital sepenuhnya hari ini, segala-galanya dilihat lengkap dan lancar bagi semua perkara yang dilakukan. Secara tidak langsung menjadikan seluruh masyarakat dari pelbagai lapisan umur celik terhadap teknologi maklumat dan sekiranya tidak, mereka pasti akan ketinggalan.

Pada hari ini, pembangunan teknologi berkembang dengan begitu pesat, orang ramai dilihat menjadi lebih kreatif dalam menggunakan teknologi terkini, lebih-lebih lagi dalam pendigitalan. Tidak kira sama ada syarikat besar mahupun kecil, mereka tidak ketinggalan berusaha untuk memenuhi pertambahan kehendak setiap pengguna, terutamanya ketika pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

Perniagaan yang ingin kekal relevan pula perlu meningkatkan kefahaman dan pelaksanaan, pemprosesan dan teknologi yang berhubung dengan peralatan dan sistem digital yang baharu. Sehubungan dengan itu, tidak hairanlah semenjak setahun dua kebelakangan ini, ekonomi gig menjadi pilihan ramai dan semakin berkembang serta dikenali di negara ini.

Kewujudan pembangunan ekonomi gig sudah popular di negara barat sejak 10 tahun yang lalu.

Bagi sesetengah orang, mereka mungkin tidak pernah tahu dan dengar tentang ekonomi gig. Pada hakikatnya, kewujudan pembangunan ekonomi gig sudah popular di negara barat sejak 10 tahun yang lalu.

Ekonomi gig ialah sebuah model ekonomi yang memerlukan organisasi atau perniagaan beroperasi dengan pekerja sambilan, iaitu melibatkan sebuah model ekonomi yang memerlukan pekerja dan peniaga menggunakan sistem kontrak atau berasaskan projek.

Dalam erti kata lain, ekonomi gig ialah pasaran buruh bercirikan kontrak dalam jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu dan dipacu oleh persekitaran digital, serta  kesediaan aplikasi yang secara langsung menyampaikan maklumat dan peluang untuk bekerja. Yang pastinya, segmen ekonomi ini semakin meningkat, terutamanya dalam generasi muda yang lebih sesuai dengan persekitaran digital kerana kebanyakan lebih suka memulakan perniagaan sendiri berbanding dengan bekerja “makan gaji”.

Hal ini tidak terkecuali bagi mereka yang sukar mendapat pekerjaan yang sesuai dengan pengajian yang diambil ketika di institut pengajian tinggi. Pada bulan Jun tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM75 juta kerana melihat ekonomi gig mampu menjadi sektor pekerjaan yang stabil dan jangka masa panjang pada masa depan. Tambahan pula, pada hari ini dengan pandemik COVID-19, industri lebih memberikan tumpuan kepada sistem pendigitalan, sekali gus mewujudkan suasana kerja yang lebih fleksibel.

Berdasarkan kajian data Bank Dunia, didapati bahawa ekonomi gig Malaysia meningkat sebanyak 26 peratus daripada jumlah pertumbuhan ekonomi dan menunjukkan betapa seriusnya segmen ini, serta potensi impaknya terhadap masyarakat. Kerajaan menyedari implikasi ekonomi gig dan perlunya untuk menjaga hak pekerja dan oleh itu, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dengan tujuan memanfaatkan ekonomi gig. Dalam perancangan Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025), kerajaan memberikan tumpuan pada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, namun pada masa yang sama akan memastikan kelestariannya.

Pada Mac lalu, Datuk Shamsuddin Bardan, Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) memberitahu bahawa terdapat peningkatan jumlah penyertaan dalam ekonomi gig dan kini terdapat kira-kira empat juta individu yang menyertai ekonomi gig berbanding sekitar setengah juta sebelum pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia.

Melihat akan senario dunia hari ini, ekonomi gig dijangka akan berterusan dan meningkat pada masa akan datang. Ekonomi gig dijangka kekal dalam pasaran memandangkan semakin ramai individu memilih cara alternatif untuk mencari pendapatan selepas berdepan risiko kehilangan pekerjaan pascapandemik COVID-19. Semakin ramai yang mula beralih ke ekonomi gig ketika pandemik ini disebabkan oleh pekerjaan menjadi lebih sukar diperoleh dan ekonomi gig akan terus bertahan sama ada berlaku pemulihan atau tidak (COVID-19).

Pada masa yang sama, perkembangan ekonomi gig dilihat seiring dengan peredaran masa dan ini juga memperlihatkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tidak lagi bergantung pada jualan secara luar talian. Yang pasti, penerimaan rakyat Malaysia berkaitan ekonomi gig ini semakin positif dan tentunya merupakan perkembangan yang sihat dan merancakkan lagi ekonomi negara.

Secara keseluruhannya, ekonomi gig dapat membuka ruang yang lebih besar kepada perkembangan rakyat, bahkan menjadi satu daripada inisiatif terbaik dalam usaha memperkukuhkan kestabilan ekonomi negara.  

Namun begitu, ekonomi gig ini tidak terkecuali daripada kesan negatif apabila meletakkan pekerja dalam perangkap kemahiran dan kerjaya. Mereka yang berada dalam ekonomi gig ini akan sentiasa berada dalam kedudukan sementara atau sambilan.  Hal ini bermakna mereka tidak akan dapat membangunkan kemahiran yang kukuh atau meningkatkan kepakaran, yang boleh menawarkan laluan kerjaya yang lebih positif. Mereka mungkin tidak akan dapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik atau pekerjaan yang lebih baik yang menawarkan faedah dan pampasan yang stabil.

Berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peningkatan ekonomi gig dan penduduk yang semakin tua dijangka menyebabkan penurunan peratusan pekerja yang menyumbang kepada dana itu. Hal ini bertentangan dengan pekerjaan tetap di mana penyumbang gaji sektor swasta menyumbang kepada KWSP sementara penjawat awam mempunyai perlindungan pencen awam.

Tanpa dasar yang konkrit bagi menangani isu-isu tersebut, pengembangan ekonomi gig mungkin mewujudkan ketidakstabilan kewangan yang kelak menimbulkan isu sosioekonomi dan politik yang lebih serius dalam jangka panjang ke atas negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.