8 Jun 2021, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menyingkap tirai kemiskinan di Malaysia, ketidakseimbangan tahap kehidupan rakyat antara golongan kaya dengan miskin semakin ketara apabila “orang kaya hidup semakin kaya, orang miskin hidup semakin miskin” menjadi realiti di sebalik kepesatan pembangunan negara. Kadar isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tahun 2019 pula turut dilaporkan meningkat sebanyak 5.6 peratus, yakni 405 441 orang berbanding dengan hanya 16 653 orang pada tahun 2015.

Majoriti penduduk di Malaysia ialah orang Melayu dan Bumiputera yang merangkumi 70 peratus. Hal ini sekali gus menjadi penggerak utama dalam agenda Wawasan Kemakmuran Bersama 2021–2030 untuk memastikan kelangsungan hidup rakyatnya terus terjamin. Menyedari akan kepentingan ini, terdapat pelbagai keberkesanan program melalui bantuan kebajikan, kewangan, kemahiran dan sistem sokongan yang menyeluruh yang melibatkan sinergi antara agensi kerajaan, swasta, baitulmal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi masyarakat dilaksanakan bagi menangani kadar pengangguran negara.

Bertepatan dengan usaha memperkasakan agenda Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (MARA) atau sebelumnya dikenali sebagai Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan (RIDA) merupakan sebuah agensi yang komited terhadap pembangunan modal insan Bumiputera dari aspek keusahawanan, pendidikan, pelaburan sehinggalah khidmat pengurusan. Tujuan penubuhan MARA hasil daripada cetusan idea Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1 Mac 1966, adalah untuk meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian, serta meningkatkan taraf sosioekonomi Bumiputera ke arah pembentukan negara yang kompetitif.

Sempena menyambut ulang tahun ke-55 tahun MARA ditubuhkan, sidang editor Dewan Ekonomi berkesempatan untuk mewawancara Datuk Seri Sr. Haji Md. Alwi Che Ahmad, Pengerusi Sektor Keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang merupakan figura yang sangat berpengalaman dan berjiwa masyarakat dalam menjaga kebajikan dan sosioekonomi rakyat, khususnya golongan Bumiputera.

YB Datuk Seri Sr. Haji Md. Alwi Che Ahmad
Pengerusi Sektor Keusahawanan MARA
15 Jun 1956
64 tahun Ketereh
Kota Bharu, Kelantan

Pingat Kebesaran
Pingat Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) – 2006
Johan Setia Mahkota (JSM)
Ahli Mangku Negara (AMN)
Kelayakan dan Pengalaman Profesional
Juruukur Tanah Berlesen (Akta 458)
Ahli Lembaga Juruukur Tanah
Felow Institut Juruukur Malaysia
Akademik
1973–1975: Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
1979: Diploma Ukur Tanah, Universiti Teknologi Malaysia.
1983: Ijazah Sarjana Muda Aplikasi Sains (Survei dan Pemetaan), Institut Teknologi Australia Barat, Perth, Australia (Tesis: Pembangunan di Kawasan Luar Bandar).
1986: Pascasiswazah: Kucing. B Hidrografi-Ottawa, Kanada, Ditaja oleh CIDA, Pengkhususan: Pemetaan Dasar Laut, Pelabuhan dan Kajian Dermaga.
1990: Latihan Pengkhususan Pemodelan Bermotor dan Sistem Penentududukan Geodetik-Gavle, Sweden, Ditaja oleh Swedsurvey.
Kerjaya Pentadbiran

Politik

April 2008 hingga sekarang: Dewan Undangan Negeri Kok Lanas, Kelantan.
April 2008–April 2009: Setiausaha Politik Perdana Menteri.
Mac 2004–Mac 2008: Ahli Parlimen Ketereh, Kelantan.
2004–2008: Ketua Penerangan Barisan Nasional Back Bencher Club (BNBBC).
Sejak 2001: Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan.
Sejak 2009: Setiausaha Barisan Nasional Kelantan.
Sejak 1999: Timbalan Ketua Bahagian UMNO Ketereh.

Pentadbiran Korporat

2004–2008: Pengerusi (Pengarah Bukan Eksekutif), Silver Ridge Berhad, MESDAQ.
2006–2015: Pengarah Permodalan RISDA Berhad.
Sejak 2003: Ahli Pengarah FELCRA Agro Sdn. Bhd.
Sejak 2005: Ahli Pengarah Pelita-TH Plantation (Anak syarikat Tabung Haji).
Sejak 2005: Pengarah AA Geomatik Sdn. Bhd.
Sejak 2014: Pengarah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Mei 2020 hingga sekarang: Ahli Majlis MARA.

Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)
Sejak 1982: Pengarah Pemegang Amanah Yayasan Kemiskinan Kelantan.
Sejak 1995: Pengarah Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Sungai Ketereh.
1997–2007: Pengerusi Yayasan Hikmat Insan Malaysia.

 

Dengan tema sambutan pada kali ini “Menjunjung Amanah Mendepani Masa Hadapan”, MARA lebih menyentuh hal berkaitan dengan kestabilan negara dan kelangsungan rakyat tatkala seluruh dunia sedang bergelut dengan cabaran dalam pasaran domestik dan global. Bagi mengetahui lebih lanjut tentang usaha MARA dalam memartabatkan Bumiputera dan memberikan manfaat kepada anak bangsa, ikuti wawancara yang selanjutnya.

DE: Fungsi MARA sangat sinonim dengan pembangunan keusahawanan. Apakah peranan sektor keusahawanan MARA dalam pembangunan keusahawanan Bumiputera secara keseluruhannya?

Apabila disebut MARA, perkara pertama yang dikaitkan ialah hal ehwal ekonomi dan sejak MARA ditubuhkan lagi, fokus utama ialah keusahawanan. Hal ini demikian kerana kelangsungan sesuatu bangsa adalah melalui keusahawanan. Hala tuju MARA sangat jelas, bermatlamat memperkasakan penguasaan ekonomi dan peningkatan pemilikan ekuiti, terutamanya melalui aktiviti keusahawanan.

Sejak 55 tahun lalu, MARA berjaya membuktikan kejayaannya dalam melahirkan banyak usahawan yang berdaya saing. Sektor keusahawanan MARA mempunyai ekosistem yang lengkap, yakni merangkumi pembangunan usahawan seperti latihan keusahawanan, khidmat rundingan tentang teknik perniagaan dan pembangunan perniagaan, serta kemudahan sokongan seperti bantuan pembiayaan perniagaan dan penyewaan lot ruang niaga.

Oleh itu, MARA menyediakan pelbagai program latihan untuk melahirkan usahawan baharu, meningkatkan kemahiran usahawan sedia ada dan memperkasa usahawan yang berpotensi untuk melebarkan perniagaan pada peringkat antarabangsa. Latihan ini memberikan manfaat dan sebagai satu daripada kesiapsiagaan diri usahawan untuk lebih berdaya tahan dan menonjol dalam pasaran kini, khususnya dunia pendigitalan.

DE: Secara umumnya, MARA ada menyediakan pelbagai skim pembiayaan untuk menyuntik modal perniagaan usahawan dan ahli perniagaan. Apakah jenis skim yang boleh dimohon oleh usahawan sebagai satu peluang untuk mereka menjana pendapatan dalam perniagaan?

MARA ada menyediakan skim pembiayaan dengan had maksimum hingga RM1 juta berdasarkan kategori perniagaan. Bantuan pembiayaan ini mampu menyuntik modal bagi pengembangan perniagaan. Peruntukan pembiayaan yang disediakan oleh MARA ini merupakan satu peluang yang wajar direbut oleh usahawan muda, terutamanya mereka yang duduk di luar bandar.

Bagi melengkapkan ekosistem ini, MARA turut menyediakan kemudahan penyewaan lot komersial yang merangkumi 7249 lot ruang niaga yang terdiri daripada bazar, arked, lot komersial dan kawasan industri MARA. Penyewaan lot komersial pada kadar yang rendah ini memberikan manfaat kepada usahawan Bumiputera dalam pelbagai bidang perniagaan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Dalam pembangunan usahawan, MARA memfokuskan kepada lima industri utama, iaitu industri makanan dan minuman (F&B), automotif, pembinaan, gaya hidup dan perkhidmatan.

“Pada dasarnya, MARA berfungsi sebagai satu agensi kejuruteraan ekonomi yang sentiasa menjaga dan menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, tanpa menyekat atau menutup peluang kepada kaum lain.”

 

DE: Berapakah jumlah usahawan yang berjaya dibangunkan sejak MARA ditubuhkan pada tahun 1966?
Majlis Amanah Rakyat (MARA) – Agensi Pembangunan
PKS Terbaik.

Berlandaskan tanggungjawab menyediakan kemudahan kepada kumpulan sasar, MARA mengambil langkah proaktif melalui pembinaan program keusahawanan, pendidikan dan disokong dengan aktiviti pelaburan. Usaha ini dipacu oleh sektor khidmat pengurusan yang menggerakkan operasi MARA di dalam dan luar negara. Pelaksanaan program keusahawanan bukan hanya berfungsi di Ibu Pejabat, tetapi disokong oleh 122 buah Pejabat MARA Daerah untuk membantu membangunkan usahawan sehingga berjaya.

Bermula dari tahun 1966 hingga kini, MARA telah menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan perniagaan, yakni kira-kira 256 777 usahawan dan sebanyak 836 347 usahawan berjaya dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui Program Latihan Keusahawanan MARA. Yang menariknya, kebanyakan usahawan ini bukan sahaja perniagaannya berkembang dalam pasaran domestik dengan pelbagai jenis perniagaan, bahkan berjaya menembusi pasaran global.

Saya sangat berbangga dengan usaha yang dilakukan apabila sebanyak 15 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah MARA menerima anugerah dalam pelbagai kategori pada Majlis Lang International Corporate Titan Award (LICTA) 2020. Hal ini jelas membuktikan bahawa keberkesanan program keusahawanan ini mampu melonjakkan prestasi perniagaan usahawan di Malaysia.

DE: Bagaimanakah MARA memainkan peranan untuk membina seseorang usahawan yang menepati kehendak industri dan pasaran?

Pada permulaan pengoperasian dilaksanakan, MARA lebih tertumpu memberikan pendidikan kepada rakyat melalui pembinaan sekolah dan institusi. Seterusnya, memperkasa sasarannya dengan menyediakan latihan seperti kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dan keusahawanan, di
samping memberikan kemudahan pinjaman. Hai ini demikian menunjukkan sistem pentadbiran MARA bersifat inklusif.

Seiring dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan pertumbuhan sektor keusahawanan, pelaksanaan latihan keusahawanan ini diselaraskan mengikut keperluan dan perkembangan semasa pada peringkat global. Latihan ini memfokuskan kepada beberapa bidang tumpuan, yakni latihan dan pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan, geran penyelidikan, penyediaan infrastruktur atau premis perniagaan, teknologi dan akses kepada pasaran.

Program khas keusahawanan dirangka bagi meluaskan lagi rantaian perniagaan usahawan, di samping merapatkan jurang antara usahawan yang bertaraf global dengan usahawan kecil. Program khas ini turut mendapat kerjasama daripada pemain industri dan rakan sinergi untuk memantapkan lagi pembangunan dalam industri fokus yang disasarkan. Sasaran program ini adalah untuk mengoptimumkan prestasi dan mewujudkan peluang usahawan untuk berkembang luas dalam perniagaan menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti.

DE: Menjelang ulang tahun MARA ke-55 tahun, apakah strategi
atau mekanisme yang signifikan dalam mencapai kemajuan
ekonomi negara sejajar dengan Dasar Ekonomi Baharu (DEB)?

MARA merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang memainkan peranan penting dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat, khususnya rakyat di luar bandar selama lebih daripada lima dekad. Baru-baru ini, MARA melancarkan Pelan Strategik MARA (PSM) 2021–2025 yang merangkumi dimensi baharu daripada teras, strategi hinggalah output program dengan mengambil kira cabaran ekonomi dan senario politik semasa negara. Pelan ini merupakan satu daripada strategi untuk mengukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi agar MARA terus unggul memartabatkan golongan Bumiputera. Langkah yang lebih holistik dan mampan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera pada masa hadapan perlu dilaksanakan, terutamanya impak gangguan ekonomi susulan daripada krisis pandemik COVID-19.

Digitalisasi tidak lagi menjadi trend atau pilihan, tetapi keperluan untuk memastikan perniagaan terus bertahan dan kekal berdaya saing.

Warga kerja MARA diseru untuk mengutamakan integriti dan mengamalkan ketelusan dalam apa jua tindakan yang dilakukan. Bantu mengurangkan bebanan kerajaan dengan berbelanja secara berhemah dan fokus kepada program yang berimpak tinggi sahaja.

Selain itu, mewujudkan fenomena digital untuk memudahkan sistem penyampaian dan tadbir urus MARA. Pemerkasaan warga kerja yang cekap dan mempunyai keupayaan minda digital yang fleksibel dengan teknologi dan media sosial kini.

DE: Pandemik COVID-19 memberikan impak besar kepada aliran tunai kebanyakan usahawan Bumiputera. Apakah inisiatif yang dilakukan oleh MARA untuk membantu usahawan kembali bangkit dalam industri?

Bagi menangani situasi semasa ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), MARA mengambil keputusan untuk menyediakan latihan keusahawanan secara dalam talian, seperti FB Live Biz Talk, Webinar dan Biz Network. Pada peringkat awal, kami tidak yakin akan sambutan program secara maya ini, namun sambutan ini berjaya disambut dan pelibatan peserta sangat menggalakkan, iaitu hampir 600 000 orang peserta. Malahan, program Biz Network berjaya mencapai objektif apabila rata-rata
usahawan yang menyertai program ini mencapai peningkatan jualan sebanyak 20 peratus. Ekoran ini, ramai usahawan mula menyedari bahawa penjualan secara dalam talian lebih menguntungkan berbanding dengan jualan secara konvensional walaupun berhadapan dengan krisis ekonomi.

Yang kedua, melalui Pakej Rangsangan Ekonomi, Kerajaan memperuntuk sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan Program Peningkatan Imej Premis Perniagaan MARA dengan melibatkan 1217 premis. Program ini jelas memberikan manfaat kepada 1217 kontraktor daripada kelas G1, G2 dan G3. Yang ketiga, MARA turut menerima peruntukan sebanyak RM300 juta melalui Skim PENJANA yang bertujuan untuk membantu usahawan Bumiputera dan pengusaha kolej latihan Bumiputera yang terjejas akibat daripada penularan COVID-19. Selain itu, MARA juga menawarkan Skim Pembiayaan Khas kepada 1601 orang usahawan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM13.26 juta. MARA meluluskan dana sebanyak RM91.3 juta, yakni melibatkan 123 usahawan melalui Skim Pembiayaan PKS
bagi tujuan mengukuhkan kembali modal pusingan perniagaan mereka.

Selaras dengan kebiasaan baharu yang perlu diadaptasi, MARA turut membantu usahawan memasarkan produk perniagaan melalui kaedah digital, aktiviti e-dagang. Dalam usaha ini, MARA bekerjasama dengan pemain industri, seperti Shopee untuk memberikan pendedahan ilmu kepada usahawan berkaitan dengan kaedah pemasaran secara dalam talian. Peserta yang menyertai program ini akan melalui sesi latihan yang dilaksanakan sendiri oleh pihak Shopee.

MARA turut mengadakan karnival jualan secara virtual melalui karnival E-Jana Niaga dengan menawarkan lebih daripada 40 000 pilihan SKU (unit penyimpanan stok) produk. Program ini disediakan melalui pameran, aktiviti jualan, seminar dan bengkel keusahawanan, pelancaran produk usahawan, serta Pavilion yang memberikan informasi terkini berkaitan dengan sektor keusahawanan MARA.

Selain daripada itu, penyewa premis perniagaan MARA turut ditawarkan pengecualian dan diskaun sewa sebanyak 30 peratus kepada penyewa yang berkelayakan. Tidak hanya dengan inisiatif tersebut, baru-baru ini, Tan Sri
Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia turut mengumumkan inisiatif tambahan kepada usahawan melalui Pakej PERMAI, iaitu program penjadualan semula pembiayaan perniagaan MARA dan pemberian diskaun 30 peratus kepada semua penyewa premis perniagaan MARA bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021.

DE: Rentetan daripada pengenalan vaksin di negara ini, adakah YB Datuk bersetuju keadaan ini akan memulihkan kembali ekonomi negara Malaysia?

Rata-rata kajian daripada ahli pakar ekonomi menjangkakan proses pembukaan ekonomi dapat dilaksanakan dalam suasana yang lebih meyakinkan berikutan pengambilan vaksin mampu mengurangkan risiko kadar keberjangkitan yang signifikan. Selain mengukuhkan lagi prospek pemulihan ekonomi, hal ini juga meningkatkan sentimen dalam kalangan peniaga untuk kembali produktif mencari pendapatan saraan hidup.

“Pelaksanaan program vaksinasi mesti disokong, dan semua orang harus mengambil dan melakukan vaksinasi.”

Maka demikian, pemberian vaksin jelas mampu memainkan peranan sebagai psikologi positif untuk menggalakkan kegiatan masyarakat dalam merancakkan kembali perkembangan ekonomi dengan adanya keyakinan dalam aspek kesihatan yang lebih baik dan terjamin. Bahkan, jika kita mencapai imuniti 80 peratus rakyat yang mengambil vaksin, kemungkinan besar negara kita boleh melaksanakan aktiviti seperti biasa tanpa persekitaran yang berisiko.

DE: Bagaimanakah MARA memastikan fasiliti keusahawanan yang disediakan sentiasa relevan dalam pertumbuhan sektor keusahawanan negara?

Fasiliti keusahawanan dalam pelaksanaan program pembangunan keusahawanan diselaraskan mengikut keperluan dan perkembangan semasa pada peringkat global dengan memerihalkan beberapa bidang tumpuan. Antaranya termasuklah, pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan, geran penyelidikan, penyediaan infrastruktur atau premis perniagaan, teknologi dan akses kepada pasaran.

Program khas keusahawanan dirangka dengan lebih sistematik bagi meluaskan lagi rantaian perniagaan usahawan dan merapatkan jurang antara usahawan yang bertaraf global dengan usahawan kecil. Program khas ini turut mendapat kerjasama daripada pemain industri dan rakan strategik untuk memantapkan lagi pembangunan dalam industri fokus yang disasarkan. Sasaran program ini adalah untuk mengoptimumkan prestasi dan mewujudkan peluang kepada usahawan untuk berkembang dan memajukan perniagaan mereka menerusi peluasan pasaran, inovasi dan peningkatan produktiviti.

DE: Apakah cabaran terbesar MARA untuk merealisasikan kedudukan Bumiputera pada kedudukan yang sewajarnya, khususnya dalam sektor keusahawanan?

Agenda membangunkan usahawan Bumiputera bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk digalas. Cabaran utamanya, apabila negara mengalami ketidaktentuan dalam landskap ekonomi dan politik yang sedikit sebanyak menjejaskan prestasi perniagaan usahawan Bumiputera.

Dalam melangkah ke hadapan, saya merasakan bahawa terdapat keperluan mendesak untuk mendigitalisasikan operasi dalaman MARA agar terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada usahawan Bumiputera dan kekal relevan pada masa kini dan seterusnya. Platform pendigitalan sememangnya dapat meningkatkan ketangkasan organisasi dalam bertindak
balas kepada keperluan usahawan. MARA perlu bekerja lebih keras untuk memastikan usahawan terus merangkul kemahiran pendigitalan dalam semua aspek perniagaan agar membina persekitaran yang dinamik.

Sehubungan dengan itu, kakitangan MARA perlu dilengkapi dengan pengetahuan tentang kaedah baharu dalam berinteraksi dengan pihak industri, serta tidak hanya bergantung pada pengalaman semata-mata. Usaha meningkatkan kecekapan kakitangan dan pakar runding perniagaan merupakan teras untuk MARA terus berada pada barisan hadapan dan menentukan arah tujuan dalam pembangunan usahawan Bumiputera khususnya.

Bagi merealisasikan hasrat ini, MARA perlu meningkatkan kecekapan dalam pembangunan produk untuk membolehkan penghasilan yang lebih banyak pilihan dan inovasi yang lebih pantas. Saya mengharapkan MARA untuk menjadi pusat utama dalam semua perkara yang berkaitan dengan keusahawanan dan untuk menjadi agen pemangkin perubahan dalam ekosistem.

Satu lagi cabaran hebat yang dihadapi ialah apabila MARA menginjak ke-55 tahun, negara pula berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang melanda sejak Mac 2020 lalu. Situasi sukar ini menjejaskan operasi MARA secara
keseluruhannya, yakni aktiviti dan program terpaksa dihentikan dan sebahagiannya berjalan secara dalam talian. Untuk membangunkan usahawan ke satu aras seperti hari ini bukan hanya memerlukan perspektif menyeluruh, bahkan harus disertai dengan sumber yang mencukupi yang diuruskan dengan cekap untuk menyokong inisiatif yang dirangka bagi mencatat pertumbuhan dan pengembangan perniagaan khususnya kepada
kaum Bumiputera.

DE: Adakah ekosistem ekonomi negara dipengaruhi oleh kestabilan politik dalam sesebuah negara?

Ya. Mana-mana negara yang mempunyai kecelaruan atau ketidakstabilan pentadbiran, pelabur tidak akan datang. Ekosistem ekonomi negara ini hakikatnya mempengaruhi dari segi dua aspek, iaitu pemasaran dan pentadbiran politik. Situasi ini boleh digambarkan apabila berlakunya pertukaran pentadbiran kerajaan baharu yang menjanjikan pelbagai bantuan kepada rakyat hingga ramai yang menaruh harapan tinggi, namun
akhirnya tidak ditunaikan dengan baik. Rentetan ini, pelabur dan pelancong tidak yakin untuk datang ke negara tersebut disebabkan oleh kecelaruan antara politik dengan sosioekonomi hingga beranggapan boleh mengancam diri mereka.

DE: Bagaimanakah MARA menjalinkan hubungan kerjasama dengan kementerian atau agensi lain, khususnya berkaitan dengan pembangunan masyarakat luar bandar?

Dalam pendekatan ini, MARA sentiasa mencari peluang dan potensi untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan kementerian, agensi lain dan pemain industri untuk merancakkan lagi ekonomi Bumiputera, khususnya pembangunan masyarakat di luar bandar.

Pada dasarnya, kerjasama strategik yang dijalinkan bersama-sama industri, agensi atau syarikat dapat mengukuhkan dan melestarikan perniagaan usahawan Bumiputera. Melalui jalinan kerjasama ini, usahawan berpeluang untuk mendapat pengalaman dan kemahiran daripada pemain industri itu sendiri. Kerjasama ini turut dijangkakan mampu meningkatkan produktiviti, serta meluaskan segmen pasaran produk.

MARA menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan platform e-dagang Shopee dan Dropee.

Selain itu, kolaborasi ini juga dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha meningkatkan kemahiran berniaga yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat luar bandar. Kita mahu lebih ramai daripada mereka menceburi bidang perniagaan. Oleh yang demikian, MARA menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan
platform e-dagang Shopee dan Dropee bagi meluaskan segmen pasaran produk usahawan khususnya usahawan luar bandar.

DE: Pada pandangan peribadi, sejauh manakah YB Datuk melihat MARA pada masa akan datang supaya organisasi ini kekal menonjol dalam industri?

Berdasarkan komitmen MARA yang sentiasa menekankan pembangunan yang bersifat komprehensif, berinovasi dan global dalam merangka, serta melaksanakan program keusahawanan dan pendidikan, saya yakin MARA akan kekal relevan dalam industri.

Pelan Strategik MARA 2021–2025 merupakan satu kesinambungan usaha bagi memantapkan kemajuan sosioekonomi Bumiputera, lebih-lebih lagi kesiapsiagaan menghadapi cabaran ekonomi dan senario politik masa kini. PSM 2021–2025 digubal selaras dengan dasar dan aspirasi negara ke arah memperkasa program bagi menjamin Bumiputera terus berupaya mendepani cabaran semasa, di samping menghadapi pandemik COVID-19.

Pentadbiran MARA sangat komited dalam membawa agenda ke arah membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera (MPPB) dan bergerak selari dengan agenda, serta dasar semasa kerajaan. Di samping itu, MARA turut berubah mengikut perkembangan teknologi serta tuntutan globalisasi yang berupaya memenuhi aspirasi bumiputera. Pada
tahun yang akan mendatang, MARA akan terus komited untuk menjadi agensi yang memberikan sumbangan signifikan kepada negara dengan meneruskan usaha meneroka bidang baharu pada masa hadapan. Usaha ini adalah untuk menerajui dan menjamin kelangsungan bangsa dalam kesenangan dan kemakmuran ekonomi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

DE: Apakah harapan YB Datuk agar MARA sentiasa komited mencapai keseimbangan antara kepentingan rakyat dengan ekonomi negara, tatkala seluruh negara dilanda pandemik COVID-19?

Sepanjang 55 tahun ini, MARA berjaya merealisasikan impian jutaan rakyat, terutamanya golongan Bumiputera dengan memfokuskan kepada bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Hal ini bukan sahaja memberikan manfaat secara langsung kepada Bumiputera, bahkan turut mewujudkan limpahan kemakmuran kepada seluruh rakyat tanpa mengira ras, agama, bangsa dan negara.

Umumnya mengetahui, penularan COVID-19 ini bukan sahaja meragut banyak nyawa, malah menjerut ekonomi negara sedunia. Krisis ini memberikan kejutan permintaan dan penawaran, mengganggu rantaian bekalan, serta menekan ekosistem perniagaan. Oleh hal yang demikian, saya mahu MARA meneruskan komitmen dalam usaha mengimbangi antara
kewajipan melindungi rakyat dengan menjamin kelangsungan ekonomi. Program keusahawanan perlu dilaksanakan secara terperinci dan mempunyai objektif yang kukuh agar kelangsungan perniagaan usahawan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Selain itu, kemudahan pembiayaan perniagaan yang disalurkan juga perlu diberikan keutamaan agar dapat memberikan manfaat, sekali gus dapat dinikmati kepada golongan sasar yang terkesan akibat pandemik ini. MARA
perlu memperluas pelibatan Bumiputera dalam bidang yang berimpak tinggi bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera. Secara kesimpulannya, saya yakin dengan strategi yang dirangka ini, MARA mampu memainkan peranannya sebagai agensi kejuruteraan sosioekonomi dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.