30 Mei 2021, 09:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Bidang sains dan teknologi diyakini dapat mempengaruhi pembangunan ekonomi negara.

Era globalisasi ternyata mempengaruhi pembangunan sesebuah negara. Negara maju pada hari ini berlumba-lumba menerokai dunia sains dan teknologi. Ternyata, sains dan teknologi memberikan impak yang besar kepada manusia dengan memudahkan komunikasi dari satu tempat ke satu tempat yang jauh, meningkatkan produktiviti kerja dan hasil, mengurangkan pencemaran alam dan menyumbang kepada kreativiti pendidikan yang lebih berkesan.

Pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Sandbox Inovasi Dan Teknologi Nasional (NTIS) dan Majlis Ekonomi Digital merupakan antara inisiatif dalam usaha negara menerokai dunia sains dan teknologi, khususnya ekonomi digital. Apatah lagi dunia perlu siap siaga dengan kemunculan Revolusi Perindustrian 4.0 agar tidak ketinggalan seperti negara maju yang lain.

Pembelajaran pendidikan STEM melalui interaktif audio dan video dapat menarik minat dan melahirkan pelajar yang berfikiran kritis.

Memupuk minat sejak dari bangku sekolah lagi melalui Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) merupakan suatu langkah yang bijak sesuai. Bukan sahaja dapat melahirkan pelajar yang kritis dan berdaya saing, malah mampu menarik minat dalam dunia pembelajaran. Sudah tentu dengan adanya sistem video dan audio yang kreatif dan inovatif pastinya suasana kelas akan menjadi lebih menarik.

Di sesetengah negara maju pula mula mengaplikasikan teknologi digital yang lebih hebat di perpustakaan negara mereka. Misalnya, penggunaan hologram dan realiti berperantara (augmented reality) dipraktikkan. Manfaat e-buku dapat mengurangkan penggunaan kertas, manakala pengunaan Internet benda (IoT), teknologi blok rantai (blockchain) dan data raya (big data) memudahkan sistem kerja dan pengurusan.

Hari ini masyarakat bukan sahaja berdepan dengan Revolusi Perindustrian 4.0, tetapi juga dengan pandemik COVID-19 lebih dari satu tahun. Dari satu sudut pandemik ini telah menukar cara hidup manusia yang bergantung kepada penggunaan sistem komunikasi. Pandemik dilihat telah meningkatkan pembelian barangan dalam talian perkhidmatan yang disebut sebagai e-dagang. Syarikat seperti Lazada, Shopee, Grab dan Food Panda semakin mendapat tempat di hati pengguna. Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan wujudnya peningkatan penggunaan aplikasi e-dagang ini daripada 35.2 peratus kepada 45 peratus pada tahun 2020 berbanding dengan tahun sebelumya.

Dahulu apabila disebut pertanian sudah tentu kita akan terbayangkan suasana petani yang keletihan dan juga peralatan pertanian yang tradisional. Pada hakikatnya, dengan kemajuan sains dan teknologi sedia ada mampu mengubah cara kerja dengan menjadikannya lebih mudah, hasil yang meningkat dan lebih bermutu. Dengan peningkatan populasi manusia saban tahun dan juga cuaca alam yang kadang kala tidak menentu sudah tentu sekuriti makanan merupakan suatu perkara yang selalu diambil perhatian.

Pertanian yang mengaplikasikan penggunaan IoT dan AI dapat menghasilkan sumber tanaman yang berkualiti.

Pihak MARDI, misalnya sudah menggunakan kaedah Pertanian Tepat dalam menghasilkan padi yang berkualiti. Pertanian yang komprehensif boleh dilaksanakan dengan adanya IoT dan kecerdasan buatan (AI). Melaluinya pengusaha pertanian dan ladang boleh mengukur ketepatan jumlah cahaya dan suhu, menjimatkan baja, penggunaan racun yang terkawal, hasil tanaman makin berkualiti dan pasaran jualan dapat diperluaskan. Petani misalnya dapat mengendalikan tanaman mereka dari rumah saja tanpa perlu ke kebun atau ladang lagi. Ini dapat direalisasikan dengan ada telefon pintar, dron, robotik dan mesin.

Industri kreatif juga sebahagian daripada ekonomi digital. Antara contoh hasil daripada industri kreatif, termasuklah reka bentuk yang kreatif dan inovasi, hiasan dalaman, pengiklanan, senibina, muzik, permainan elektronik dan fotografi. Ekonomi kreatif lebih dekat dengan generasi Y, yang pastinya ekonomi ini akan berevolusi dari masa ke semasa. Kreativiti dan inovasi dalam sesuatu penghasilan kerja menjadikan produk itu lebih menarik dan mempunyai “x-factor”, tarikan tersendiri. Tidak hairan ada pengguna yang sanggup berbelanja lebih mahal, asalkan hasilnya itu memuaskan dan menepati cita rasa pengguna.

Merumuskan hal ini, sekiranya negara bersungguh dalam mengaplikasikan teknologi mudah alih 5G di seluruh negara pastinya dunia digital dapat bergerak dengan lebih lancar dan efisien. Teknologi mudah alih 5G dikatakan mampu mencapai kelajuan hampir 1000 megabit sesaat berbanding hanya 100 megabit sesaat bagi 4G. Dunia tanpa sempadan ini hakikatnya menjadikan kehidupan kita lebih pantas dan mudah.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi