Oleh Khari Ismail
27 Mei 2021, 12:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perkembangan teknologi moden dilihat semakin pesat sejak manusia mampu bergerak pantas menggunakan kenderaan di darat, laut dan udara, seterusnya dipacu pembangunan Internet untuk perkongsian ilmu dan maklumat dengan “kepantasan cahaya”. Hal ini membawa kepada banyak perubahan dalam pelbagai industri komersial yang kini sepatutnya sudah memahami rentak kelangsungan hayat mereka terikat mati dengan kemampuan untuk mengikut permintaan ke arah  teknologi terkini.

Teknologi kamera digital berkembang dengan pantas dan menjadi pilihan utama pengguna berbanding dengan kamera filem.

Antara gambaran yang dilihat ialah kewujudan teknologi kamera digital yang mula dijual secara komersial pada tahun 1989, tetapi dengan pantas membenam industri kamera filem yang telah digunakan di seluruh dunia sejak tahun 1885. Walaupun kemuncak jualan kamera filem dicatatkan pada tahun 1997, tetapi pantas dipotong hasil perubahan pilihan ke arah kamera digital dalam pelbagai industri khususnya media cetak dan pelbagai sektor fotografi, seterusnya mengambil alih pasaran pengguna awam apabila harganya semakin murah.

Walaupun kamera digital mula dibangunkan sejak tahun 1959, teknologi ini hanya mendapat tempat susulan pembangunan teknologi lensa dan sensor kamera, bateri serta kad penyimpan data. Teknologi digital menjadi pilihan antara lain kerana lebih mudah digunakan, tidak mengambil masa lama untuk memproses gambar, kemampuan menyimpan banyak gambar, resolusi tinggi dan boleh dihantar ke mana sahaja dengan pantas secara dalam talian.

Hal ini menyebabkan beberapa jenama besar pengeluar kamera filem terpaksa gulung tikar kerana gagal mengikut kehendak pelanggan ke arah perubahan semasa sementara beberapa jenama lain berjaya mengekalkan pegangan malah mendahului pasaran kerana mengambil langkah awal memenuhi permintaan pengguna untuk teknologi terkini. Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi kamera dalam telefon bimbit dikhuatiri mengancam kelangsungan hayat kamera digital dengan trend jualan semakin menurun sejak awal tahun 2012. Telefon pintar juga dikaitkan dengan kejatuhan mendadak beberapa industri lain seperti media cetak, komputer dan  jam tangan.

Industri cetak mengalami kemerosotan dan kejatuhan apabila zaman beralih kepada bahan bacaan secara digital.

Industri media cetak seperti akhbar harian, buku dan majalah kini berdepan cabaran serupa dengan rata-rata pengguna semakin beralih kepada bahan bacaan digital melalui telefon pintar atau komputer. Sejarah bahan cetak sentiasa berubah sejak manusia mula belajar menulis di atas batu, kemudian pada kulit haiwan, logam dan akhirnya secara komersial di atas kertas. Perubahan turut berlaku dalam peralatan menulis, daripada arang, pensel, pen, mesin taip dan komputer.

Namun begitu, semua perubahan itu didorong faktor permintaan ramai dengan pilihan industri didorong jualan tertinggi di pasaran. Melihatkan sebilangan syarikat media besar di Barat sudah gulung tikar, sukar dijangkakan berapa lama media tempatan mampu bertahan atau mungkin akan berubah ke arah bentuk baharu mengikut trend semasa. Cabaran sama dijangkakan untuk beberapa industri utama lain dalam tempoh hanya beberapa tahun lagi, termasuklah sektor telekomunikasi, petroleum, penjana tenaga elektrik, automotif dan pembinaan.

Pelanggan sektor telekomunikasi kini lebih gemar menggunakan aplikasi mesej percuma, seperti WhatsApp dan Telegram, malah panggilan telefon percuma melalui aplikasi pintar asalkan mempunyai talian Internet. Melalui inisiatif penyediaan Internet percuma di tempat awam, mungkin tiada lagi keperluan melanggan perkhidmatan syarikat telekomunikasi kelak.

Industri petroleum pula semakin tenggelam dengan pelbagai jenis teknologi tenaga hijau yang berkembang pesat. Teknologi seperti solar, angin, ombak, geoterma dan bermacam pilihan baharu dijangka menjadi pilihan bagi bekalan tenaga untuk bangunan serta kebanyakan kenderaan, seperti kereta dan kereta api. Situasi ini juga memberikan impak besar kepada pasaran automotif dengan kebanyakan negara di Barat kini mempromosikan kenderaan elektrik atau hibrid sebagai pilihan utama dan telah menetapkan tempoh menghentikan jualan kereta menggunakan petrol.

Teknologi tenaga hijau yang semakin murah dan mampu milik menarik ramai pengguna malah dijangka akan memberi kesan besar kepada sektor penjana tenaga elektrik, apatah lagi perkembangan teknologi blok binaan yang membolehkan rumah dibina dengan pantas dengan integrasi mudah teknologi hijau khususnya panel solar.

Penggiat utama sektor komersial ini perlu bersedia berdepan dengan sebarang perubahan besar. Demi kelangsungan secara komersial, setiap industri perlu bersedia berubah mengikut peredaran masa bagi menjamin kelangsungan perniagaan, pendapatan dan jaminan kerja.

Persoalannya, kini bukan lagi “jika”, tetapi “bila” perubahan itu akan berlaku.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi