Oleh Imlan Adabi
24 Mei 2021, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak awal merdeka kita mengenali bank secara tradisional sebagai tempat meyimpan dan meminjam wang. Dekad 1980-an bank meluaskan operasi sebagai pusat pelaburan dan menjadi rakan kongsi pengusaha untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi. Pada masa yang sama,  pengenalan kad kredit membolehkan urusan jual beli dipermudahkan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh bank pusat. Revolusi ini merupakan sejarah awal perkhidmatan digital sistem perbankan di seluruh dunia.

Proses pendigitalan yang berlaku seiring dengan teknologi komunikasi menjadi keperluan pada masa kini, namun inovasi ni mempunyai kebaikan dan kesan sampingan. Urusan bank berlaku dengan lebih pantas, tepat dan memudahkan. Pada masa yang sama, teknologi memberikan kesan buruk apabila tenaga manusia semakin diimbangi oleh pendigitalan. Hampir 600 buah cawangan perbankan runcit di Malaysia dijangka tutup dalam tempoh 10 tahun akan datang, demikian menurut kajian terkini oleh Roland Berger. Menurut kajian syarikat perunding terkemuka Eropah bertajuk Branching out – The future of retail banking networks, pengecilan operasi perbankan itu selaras dengan ledakan teknologi kewangan (fintech) yang menyaksikan pelanggan beralih kepada perkhidmatan digital.

Kajian tersebut menjangkakan 18 peratus atau lebih daripada 11 000 buah cawangan bank di Asia Tenggara akan tutup operasi pada 10 tahun akan datang. Thailand, Malaysia, Indonesia dan Filipina mengalami fasa pertumbuhan selama 10 tahun terakhir, namun jumlah cawangan dijangka mulai menurun atau terus mengecil di negara yang sudah menyaksikan trajektori penurunan. Rakan Kongsi Kanan Roland Berger, Philippe Chassat, melaporkan bahawa penutupan cawangan bank di Malaysia juga selaras dengan sasaran jelas kerajaan terhadap perkhidmatan digital.

Kebanyakan cawangan bank di Asia Tenggara dijangkakan akan tutup operasi pada 10 tahun akan datang.

Sejak beberapa tahun lalu, ekonomi digital tidak asing lagi di negara ini. Sebahagian daripada hasrat Malaysia ialah mengumpul sekurang-kurangnya 15 juta pengguna e-dompet, iaitu hampir separuh daripada populasi menjelang tahun 2025. Kerajaan juga menyokong pelaburan dalam infrastruktur yang diperlukan. Malaysia turut melaksanakan program insentif besar bagi mempercepat penggunaan e-dompet dalam kalangan rakyat.  Pada tahun lalu, kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menyalurkan insentif RM50 kredit e-dompet yang dimanfaatkan kepada 11.36 juta rakyat. Program itu menyaksikan RM567.9 juta dimanfaatkan oleh penerima.

Penyedia e-dompet yang terbabit dalam program berkenaan iaitu Boost, GrabPay dan Touch n Go eWallet juga menyumbang manfaat berbentuk padanan kredit serta pelbagai insentif lain berjumlah RM433.8 juta dalam usaha merancakkan ekonomi Malaysia. Menjelang 10 tahun ke hadapan, keadaan sosioekonomi dan teknologi di kebanyakan rantau bersedia untuk menyaksikan transformasi dalam rangkaian cawangan bank yang berterusan. Bank di seluruh dunia perlu mempercepatkan perjalanan transformasi cawangan, mengoptimumkan kedudukan dan model perniagaan. Keadaan ini mendorong bank menggunakan kerangka kerja transformasi yang tersusun dan holistik bagi memastikan kejayaan dan kelestarian jangka panjang.

Bidang utama yang harus dipertimbang ialah lokasi yang strategik bagi penempatan cawangan untuk memaksimumkan perkhidmatan pelanggan dan penjanaan pendapatan. Selain itu, bank perlu meningkatkan produktiviti cawangan bagi memaksimumkan keuntungan, memperkayakan pengalaman pelanggan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan untuk bersaing dengan bank yang lebih inovatif serta mengubah pemikiran, selain menanamkan teknologi baharu dalam organisasi.

Pegawai kanan di Roland Berger, Dr. Luca Turba, berkata dengan kepantasan dan kemudahan perkhidmatan digital yang kini ditawarkan kepada pelanggan perbankan, bank perlu mengembangkan cawangan dari pusat aktiviti transaksi kepada penyediaan perkhidmatan lebih dekat dengan pelanggan. Katanya, di pasaran perbankan runcit lebih matang seperti Thailand, Malaysia dan Singapura, perkhidmatan juruwang rutin seperti memeriksa tunai, mendepositkan wang dan proses pengeluaran wang semakin banyak digunakan oleh subsegmen pelanggan berusia yang kurang pendedahan terhadap teknologi.

Berdasarkan trend semasa, cawangan bank besar yang mempunyai ramai juruwang yang khusus untuk melaksanakan transaksi mudah akan tinggal menjadi kenangan. Oleh itu, peranan cawangan bank perlulah terus berkembang pada dekad yang akan datang ke arah menguruskan set aktiviti yang lebih efisien.

Cawangan bank terus memainkan peranan penting walaupun dalam keadaan berbeza. Cawangan bank masa depan di Asia Tenggara mungkin beralih daripada menawarkan transaksi mudah kepada perkhidmatan tambah nilai yang lebih tinggi seperti bancassurance dan produk pelaburan,” katanya.

Sejak COVID-19 melanda dunia pada Disember 2019, aktiviti jualan dalam talian meningkat secara mendadak. Aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus April 2020 ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) yang bermula sejak Mac 2020. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata peningkatan itu dicatatkan ketika sektor perniagaan lain termasuk francais mengalami kesan besar.

Jualan barangan dalam talian menjadikan ekonomi pasaran secara tradisional semakin tercabar. Khidmat kaunter perbankan juga semakin menyusut, secara tidak langsung memberikan gambaran awal pendigitalan ekonomi akan mengambil alih sepenuhnya sistem perbankan tradisional.

Lebih malang kesan persaingan dagangan di antara Amerika Syarikat dan China tidak menampakkan tanda pemulihan walaupun teraju di White House berganti daripada Donald Trump kepada Joe Biden. Sejarah ekonomi membuktikan dasar Republikan dan Demokrat tidak jauh berbeza untuk mengutamakan kepentingan Kapitalis dalam konteks pelaburan sejagat.

Dasar kapitalis adalah untuk mengoptimumkan pelaburan dan keuntungan. Situasi ini memberikan kesan kepada bank yang berskala kecil dan bank asing bertaraf dunia. Beberapa bulan lalu, sebuah bank asing mengumumkan penutupan operasi di Malaysia. Bank tempatan pula dalam proses bergabung sesama sendiri untuk meneruskan hayat operasi mereka ketika keadaan ekonomi tidak menentu.

Hari ini kita bukan sahaja berdepan COVID-19 yang kian ganas, juga ekonomi digital yang mengurangkan tenaga pekerja pada masa akan datang. Teknologi komunikasi dan perdagangan sedang melangkah ke era yang amat menakutkan!

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi