Oleh Rashikhah Khari
21 Mei 2021, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Akhbar tempatan pada Disember 2020 melaporkan 43 peratus atau bersamaan 5.38 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah usia 55 tahun mempunyai simpanan bawah RM10 000 dalam Akaun 1. Hal ini bermakna mereka hanya mempunyai simpanan sebanyak RM41 untuk dibelanjakan pada setiap bulan bagi tempoh 20 tahun sekiranya mengambil kira purata tempoh hayat rakyat Malaysia kini sekitar 75 tahun.

Berdasarkan kajian, sebanyak 137 000 daripada 245 000 ahli KWSP berumur 54 tahun pada tahun 2020 pula mempunyai simpanan kurang daripada RM50 000, iaitu RM200 duit perbelanjaan bulanan. Bekalan hidup bulanan ini sangat jauh daripada paras kemiskinan negara, iaitu RM2208 untuk isi rumah dan RM2450 untuk perbelanjaan asas seorang warga emas, seperti hasil kaji selidik oleh Social Wellbeing Research Centre.

Tambahan pula, hal ini ditambah beban lebih daripada 600 000 pencarum KWSP dibuang kerja, dan sebahagian besarnya terpaksa memilih untuk membuat pengeluaran kecemasan melalui skim i-Lestari dan i-Sinar disebabkan oleh keadaan yang terdesak ketika berdepan dengan impak COVID-19. Bantuan moratorium bank tempatan sehingga mencecah tempoh 12 bulan turut membantu, namun sejauh manakah semua itu dapat menjamin kelangsungan hidup rakyat yang semakin terhimpit?

Sejak berpuluh-puluh tahun lamanya, sistem pendidikan sehingga ke peringkat universiti lebih cenderung ke arah hidup sebagai seorang pekerja dan mengutamakan  sijil sebagai batu loncatan ke arah kerjaya hebat di bawah majikan. Dalam sesetengah perkara, apa yang dipupuk itu mungkin menjamin kelangsungan dan keselesaan hidup bagi diri dan keluarga.

Walau bagaimanapun, kebebasan kewangan individu sebenarnya lebih menjaminkan kestabilan ekonomi, bukan sahaja untuk diri dan keluarga, malah terhadap negara. Jika seseorang mampu berdikari dari sudut kewangan, mereka tidak perlu takut atau gentar terhadap ancaman mahupun tekanan akibat kehilangan satu daripada sumber pendapatan yang ada, kerana kemampuan berbelanja tidak terjejas.

Rata-rata golongan pekerja di negara ini masih selesa dengan hanya satu sumber pendapatan dan dikatakan bergantung 100 peratus kepada gaji tunggal yang masuk pada setiap bulan. Malangnya, kebanyakan daripada gaji itu terus digunakan untuk membayar hutang dan akhirnya terpaksa hidup dengan “wang plastik” sehingga gaji berikutnya. Kitaran ini berulang-ulang pada setiap bulan bagi ramai golongan pekerja B40 dan M40.

Tanpa mengambil kira golongan kaya yang sudah tidak perlu bekerja, golongan B40 dan M40 sebenarnya perlu belajar mencari sekurang-kurangnya satu pendapatan sampingan atau pendapatan  pasif supaya mampu berdikari tidak kira apa jua situasi.

Impak COVID-19 ternyata memberikan impak yang besar kepada rakyat.

Wabak COVID-19 menjadi contoh mudah, kebanyakan golongan pekerja dengan gaji tunggal berdepan kesukaran meneruskan hidup apabila majikan mengurangkan pekerja atau menutup operasi. Ada yang mempunyai simpanan cukup untuk meneruskan hidup sementara mendapat pekerjaan lain atau sumber pendapatan baharu, mungkin dengan berniaga kecil-kecilan, menjadi penghantar barang dan e-panggilan (e-hailling).

Namun begitu, tidak kurang juga yang menemui jalan buntu kerana tidak tahu ke mana lagi mahu dituju kerana usia sudah lanjut, kesihatan tidak mengizinkan, tiada kemahiran atau kelayakan, serta rata-rata majikan kini cuba mengurangkan kos operasi dan enggan mengambil pekerja baharu atau menawarkan gaji jauh lebih rendah berbanding dengan dahulu.

Sampai masa untuk setiap rakyat Malaysia tidak lagi mengharapkan gaji tunggal, sebaliknya cuba berniaga, bertani, bertukang, menghasilkan karya seni komersial, melabur, bekerja dalam talian dan apa jua yang mampu membawa pendapatan halal. Selain itu, menggunakan kemudahan Internet untuk mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran khusus untuk memperoleh sumber pendapatan sampingan, seterusnya mendidik anak-anak berdikari dalam aspek kewangan.

Sekiranya mempunyai lebihan simpanan, hal ini boleh digunakan sebagai pelaburan yang membawa pendapatan pasif seperti saham, harta tanah dan emas. Langkah inisiatif ini perlu dilakukan segera walaupun sekadar kecil-kecilan untuk berdepan detik sukar seperti pandemik COVID-19 yang berlaku ini. Janganlah terus terkurung dalam zon selesa kerana COVID-19 membuktikan sebenarnya tiada apa pun yang terjamin untuk masa hadapan.

Ironinya, terdapat banyak syarikat besar sudah pun gulung tikar, ratusan ribu pekerja tidak menjangka jaminan kerja mereka hilang begitu sahaja. Mulakan dari sekarang, cara baharu mencari pendapatan dan simpanan, bukan lagi gaji tunggal tetapi mempelbagaikan sumber carian. Impaknya mungkin mengambil masa, namun sekurang-kurangnya dapat memastikan generasi berikutnya tidak berdepan cabaran serupa hasil cengkaman wabak dan bencana.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.