Oleh Norfatonah Zaili
19 Mei 2021, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Iklim global yang semakin panas dan tidak stabil disebabkan oleh pencemaran karbon pada atmosfera yang berpunca daripada tindakan manusia itu sendiri. Kajian dalam Journal of Industrial Ecology pada tahun 2016 menunjukkan bahawa sebanyak 60 peratus pelepasan gas rumah hijau global berlaku dan hampir 80 peratus penggunaan air di dunia.

Analisis mendapati bahawa 20 peratus daripada semua kesan karbon ialah berpunca daripada pengguna secara langsung. Lebih mengejutkan, empat perlima daripada kesan yang boleh dikaitkan dengan pengguna bukan kesan langsung, namun kesan sekunder atau kesan alam sekitar dalam penghasilan barangan dan produk yang dibeli oleh mereka. Sebagai contohnya, mereka menggunakan air lebih banyak apabila mengambil daging berbanding dengan ketika mandi. Pilihan pengguna sebenarnya mempunyai kesan yang tinggi berbanding dengan perkara yang dilakukan secara bersendirian.

Oleh sebab itu, hal ini penting untuk memilih produk yang menggunakan sumber yang sedikit seperti air, tenaga atau bahan mentah untuk menghasilkannya. Contoh penggunaan air yang baik mengambil purata kira-kira 15 415 liter air untuk menghasilkan satu kilogram daging. Penyelidikan terbaharu menunjukkan tanpa pengambilan tenusu dan daging, penggunaan tanah ladang global boleh dikurangkan hingga 75 peratus, bersamaan keluasan gabungan Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah dan Australia, namun masih boleh memberikan makanan kepada dunia merupakan satu daripada inisiatif terbesar yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan terhadap bumi.

Pengambilan sayuran boleh mengurangkan kesan alam sekitar terhadap bumi.

Amalan pengambilan sayuran boleh menjadi satu inisiatif terbesar untuk mengurangkan kesan alam sekitar ke atas bumi. Menurut penyelidik dari Universiti Oxford,  membuang daging dan produk tenusu daripada diet dapat mengurangkan jejak tapak karbon individu daripada makanan hingga 75 peratus. Pembuatan makanan proses memerlukan tenaga, bahan dan air untuk mendapatkan bahan mentah, mengangkutnya ke tempat pemprosesan, menghasilkan barangan makanan proses dan kemudian membungkus produk akhir. Coklat merupakan satu daripada produk paling intensif air yang pengguna membeli dengan menggunakan 17 000 liter untuk menghasilkan sekilogram coklat.

Selain itu, industri fesyen menyumbang 10 peratus daripada pengeluaran karbon oleh manusia yang mengeringkan sumber air dan mencemarkan sungai, serta saliran. Dengan lebih daripada satu bilion helai pakaian dihasilkan setiap tahun, industri pakaian merupakan pencemaran kedua terbesar dunia selepas industri minyak. Dari tapak pelupusan sampah hinggalah kepada pengeluaran gas rumah hijau, daripada penggunaan bahan kimia kepada sisa air, industri fesyen telah mencemarkan bumi dengan rakus sekali. Industri fesyen mengeluarkan pakaian di seluruh dunia dengan sesuatu yang dipanggil “fesyen segera” apabila dihasilkan dengan cepat dan murah atas dasar permintaan dan kehendak pengguna yang ingin bergaya, pantas dan kerap berubah.

Di Eropah, syarikat fesyen menawarkan purata dua koleksi setahun pada tahun 2000 meningkat kepada lima koleksi pada tahun 2011. Sesetengah jenama menawarkan lebih banyak lagi koleksi. Sebagai contohnya, Zara mengeluarkan 24 koleksi setahun, manakala H&M menawarkan antara 12 koleksi dan 16 koleksi setahun. Fesyen segera melahirkan budaya pakai buang. Menurut laporan pada tahun 2013, industri pakaian global menghasilkan 150 bilion helai pakaian pada tahun 2010, cukup untuk menyediakan 20 helai pakaian baharu bagi setiap orang di atas muka bumi dan semakin buruk sejak dari itu.

Natijahnya, banyak daripadanya berakhir di tempat pembuangan sampah seperti dilaporkan Business Insider, Amerika Syarikat pada tahun 2019. Hal ini menyamai satu lori sampah penuh pakaian dibakar atau dibuang di tapak pelupusan sampah pada setiap saat. Hal ini bermakna, 85 peratus tekstil berakhir di situ pada setiap tahun – cukup untuk memenuhi Sydney Harbour dalam setahun, kata laporan itu lagi.

Industri pakaian dikatakan mencemarkan alam sekitar kira-kira 10 peratus daripada pengeluaran karbon global.

Pengeluar pakaian meningkat dua kali ganda sejak tahun 2000. Pengguna secara purata membeli 60 peratus lebih banyak pakaian, tetapi mereka hanya memakai separuh dan menyimpan baki pakaian yang ada. Memandangkan pengguna di seluruh dunia membeli lebih banyak pakaian, pasaran yang semakin berkembang bagi gaya baharu kini mengancam alam sekitar. Banyak tenaga diperlukan bagi menghasilkan pakaian baharu setiap tahun dan kebanyakan negara pengeluar pakaian menggunakan kuasa arang batu. Hal ini menjelaskan industri pakaian perlu bertanggungjawab terhadap 10 peratus daripada semua pengeluaran karbon global. Pengeluaran pakaian juga menggunakan tanah dan air secara intensif, yang diburukkan lagi secara hakikatnya industri pakaian merupakan satu perkara yang paling mencemarkan, iaitu kemasukan bahan kimia toksik ke dalam bekalan air di seluruh dunia.

Membuat sepasang jean menghasilkan gas rumah hijau seperti memandu kereta lebih daripada 80 batu. Manakala, satu helai kemeja T menggunakan 2700 liter air untuk membuatnya bersamaan 1350 hari air minuman bagi seorang individu. Sehelai kemeja T dan jean yang kita pakai menggunakan 20 000 liter air untuk menghasilkannya. Industri fesyen merupakan pengguna terbesar kedua air di seluruh dunia yang menggunakan kira-kira 700 gelen air untuk menghasilkan sehelai baju kapas. Kadar itu cukup untuk seorang itu minum sekurang-kurangnya lapan cawan air sehari selama tiga setengah tahun kerana jean dan baju dibuat daripada tumbuhan yang memerlukan banyak air, iaitu kapas. Contohnya di Uzbekistan, pertanian kapas menggunakan begitu banyak air dari Laut Aral sehingga kering selepas kira-kira 50 tahun. Laut Aral merupakan satu daripada empat buah tasik terbesar dunia, namun kini seperti gurun dan tinggal beberapa buah kolam kecil sahaja.

Selain itu, industri fesyen segera juga turut menghasilkan 1.2 bilion tan karbon dioksida setahun. Pelepasan karbon lebih tinggi berbanding dengan perjalanan udara dan perkapalan antarabangsa. Sekiranya sektor fesyen terus dengan keadaan ini, karbon akan meningkat kepada 26 peratus menjelang tahun 2050 seperti dilaporkan Yayasan Ellen MacArthur.

Dalam usaha untuk mengekalkan permintaan fesyen yang pantas berubah mengikut gaya, serat asli sebahagian besarnya telah diganti dengan serat sintetik, yang dinamakan fabrik diperbuat daripada minyak iaitu plastik. Poliester berasaskan minyak kini menggantikan kapas sebagai serat utama dalam pakaian. Lebih 60 peratus serat fabrik kini sintetik (kebanyakan poliester), diperoleh daripada bahan api fosil. Menghasilkan poliester melepaskan dua hingga tiga kali lebih banyak pelepasan karbon berbanding kapas.

Sifat poliester tidak terurai. Oleh itu, apabila pakaian dibuang ke tapak pembuangan sampah, pakaian tersebut didapati tidak reput. Selain itu, proses mencuci pakaian pula melepaskan 500 000 tan serat mikro ke dalam laut pada setiap tahun, yang bersamaan 50 bilion botol plastik. Serat mikro sintetik ini ditemukan dalam bahagian paling dalam lautan dan kemuncak tertinggi glasier.

Pencemaran air turut dialami disebabkan oleh proses pewarnaan tekstil dari kilang.

Sehubungan dengan itu, proses mewarnakan tekstil juga merupakan pencemar air kedua terbesar di dunia, memandangkan sisa air daripada proses mewarnakan itu sering dibuang ke dalam parit, saliran atau sungai. Dalam konteks ini, proses mewarnakan ini sebenarnya menggunakan air yang banyak untuk mengisi dua juta buah kolam renang bersaiz Olimpik pada setiap tahun.

Kesimpulannya, masalah alam sekitar sebenarnya terletak pada sesuatu barangan yang dibeli. Corak perbelanjaan dan penggunaan membantu manusia untuk pemulihan alam sekitar, seterusnya dapat mengurangkan kesan rumah hijau dan mampu memberikan kesan baik kepada perubahan iklim. Pengguna seharusnya bijak dalam memilih barangan mesra alam dan membeli mengikut keperluan serta mengelakkan daripada amalan membazir.

Jadilah pengguna yang bijak demi kesejahteraan masa hadapan!

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi