10 Mei 2021, 21:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Siapa sangka, dengan niat permulaan hanyalah sekadar untuk membantu kawan, kini bergelar seorang jurusolek, usahawan dan pengasas syarikat yang profesional bertaraf global serta berpengaruh. Kejayaan yang diraih sehingga dinobatkan sebagai antara 100 Ketua Pengawai Eksekutif Muda Terkemuka di Malaysia, nyata memberikan semangat dan inspirasi baharu
kepada masyarakat, khususnya golongan muda dan Bumiputera untuk terus melangkah melakar kejayaan hidup.

Dilahirkan di Hospital Besar Kuala Lumpur dan kini berusia 33 tahun, Dato’ Al Halim Mohd. Al Fadzil atau lebih mesra dengan panggilan Dato’ Alha Alfa merupakan pengasas Alha Alfa Kosmetik di bawah naungan Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat, Kajang (1995–2000), kemudiannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (2001–2005). Dengan kelayakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia yang cemerlang telah melayakkan dirinya untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma (2006–2009) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Seri Iskandar, Perak (Diploma Rekabentuk Dalaman). Seterusnya, dengan minat dalam pembelajaran beliau berjaya memiliki segulung Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman dengan kepujian (2010–2012) di UiTM Shah Alam.

“Untuk berjaya, corak minda yang kreatif dan sifat keberanian perlu diterapkan dalam diri.”
– Dato’ Al Halim Mohd. Al Fadzil, Pengasas Alha Alfa Kosmetik, Antara 100 Ketua Pengawai Eksekutif Muda Terkemuka di Malaysia.

“Kejayaan saya tidak terjadi dalam sekelip mata dan semudah yang dijangkakan. Ayah saya seorang tukang kebun, manakala ibu seorang pengasuh. Pernah ketika dahulu sewaktu kami ketiadaan duit, tetapi keinginan untuk hidup seperti orang lain, saya dan ayah pergi ke tempat pembuangan sampah untuk mencari barangan terpakai. Walaupun kita tidak mempunyai duit, pesan ayah saya, dengan adanya kreativiti dan kegigihan dalam diri, nescaya kita juga mampu berjaya seperti orang lain,” kongsi Dato Alha.

Perjalanan hidup yang datang daripada keluarga serba-serbi kekurangan, anak sulung daripada tiga adik-beradik ini nekad menyimpan semangat dan iltizam untuk membantu ekonomi keluarganya, selain daripada mencapai kejayaan demi masa depan. Seawal usianya muda lagi pelbagai inisiatif yang dilakukan demi membantu menyara keluarga. Antaranya, termasuklah mengambil upah sebagai tukang cat, membuat tangga rumah, dan membantu keluarga berniaga, serta mencari pekerjaan sambilan lain. Sejarah perjalanan dan titik kejayaan yang terbesar ialah bermula pada ketika Dato’ Alha sedang melanjutkan pengajian pada peringkat diploma, sewaktu mengikuti rakannya menjayakan projek akhir tahun dalam sesi penggambaran model. Setelah berkali-kali menemani rakannya membuat sesi penggambaran, pasti akan timbul masalah yang sama, iaitu kekurangan “tukang mekap” untuk menyolekkan model mereka.

Maka, berbekalkan ilmu dan kemahiran berkaitan dengan bidang seni reka, Dato’ Alha menawarkan diri untuk menyiapkan solekan kepada model rakannya. Ketika itu, beliau yakin dan berpendapat bahawa teknik solekan tidak lari jauh dengan kos pengajian seni reka, yang tetap mengaplikasikan teknik seperti melukis, berimaginasi dan penggabungan elemen warna. Tambahan pula, teknik solekan pada tahun 2009 ketika itu sangat ringkas, hanya menggunakan asas cecair, alas bedak, pembayang mata dan lipstik. Untuk menampilkan model rakannya lebih menonjol dan terserlah, beliau melukis corak burung merak pada matanya untuk memberikan kesan yang menarik.

Penglibatan secara tidak sengaja ini menjadi buah mulut dan perhatian ramai pelajar (khususnya jurusan Fotografi), malah dalam kalangan pensyarah apabila gambar model tersebut dipilih sebagai pemenang gambar terbaik, dan akhirnya berjaya memasuki ke galeri UiTM sebagai paparan umum. Pengiktirafan ini mendorongnya untuk tidak lagi menoleh ke belakang dan yakin untuk menceburi dunia solekan bagi menjana pendapatan tambahan.

“Berani mengambil risiko merupakan titik ukur kejayaan seseorang, selain mendapatkan keberkatan daripada orang tua kita. Apabila sudah ada keberanian, keyakinan dan tujuan untuk mengembangkan perniagaan pada peringkat yang lebih besar, kita akan buat sebaik-baiknya yang mungkin. Profesion solekan bukanlah suatu kerja khas untuk wanita sahaja. Usah fikir perkara itu tidak berjaya, sedangkan belum pernah mencuba,” kongsinya.

Kegagalan bukanlah satu perkara yang asing bagi seseorang yang bergelar usahawan. Bagi mencapai tahap sebagai seorang usahawan yang berjaya, Dato Alha’ mengakui turut tidak kecuali merasai kejatuhan dalam aturan perniagaan. Namun begitu, kegagalanlah yang memandu seseorang kepada kejayaan. Setiap orang, khususnya usahawan, tidak boleh mempunyai sifat mudah putus asa dalam mengejar cita-cita dan impian.

Rahsia kejayaan Dato’ Alha sering dipuji dan disegani ramai, kerana niat hatinya yang telus dalam membantu kesusahan orang di sekelilingnya. Selain membantu keluarga dan rakannya, beliau juga turut membantu masyarakat umum untuk meningkatkan sumber pendapatan, di samping sentiasa berkongsi ilmu tentang dunia keusahawanan. Kini, hampir lebih daripada 2000 orang pelajar berada di bawah didikan akademik saya.

Dalam meniti perjalanan kariernya, Dato’ Alha turut memberikan gambaran perspektif bahawa usahawan merupakan antara individu yang paling dinamik dan penting untuk menjadi tulang belakang dan nadi penggerak ekonomi sesebuah negara. Setiap usahawan perlu menanamkan sifat kegigihan dan keyakinan diri yang berlandaskan visi dan misi hidup yang signifikan.

Dato’ Alha turut tegas mengingatkan usahawan untuk tidak serik dalam menguruskan perniagaan walaupun sudah tiga atau empat kali jatuh dan tidak berjaya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas. Percayalah, kejayaan bakal menjadi milik kita jika adanya pegangan hidup.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi