1 Mei 2021, 20:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Membina sebuah perniagaan yang berasaskan produk buatan Malaysia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk mencapai kejayaan sehingga dikenali dan sentiasa meniti di bibir pengguna dan masyarakat umum. Memiliki daya pemikiran yang kreatif dan krisis merupakan kunci kejayaan bagi penghasilan sesuatu produk yang bertaraf tinggi seiring dengan kehendak pengguna yang sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman.

Terdapat banyak lambakan produk di dalam negara mahupun di luar negara, namun jenama Alha Alfa Kosmetik berjaya menembusi saingan dalam pasaran, dan kini tidak asing lagi didengari dalam industri kecantikan dan kosmetik. Ditubuhkan pada tahun 2016, Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Putra Kajang, Selangor mendapat perhatian banyak peminat kosmetik lanjutan daripada keluaran produk yang berasaskan sumber semula jadi, yang sudah pastinya memberikan manfaat pada wajah pengguna.

Dengan slogan “Perbezaan Itu Keunikan Kita”, penjenamaan Alha Alfa
berjaya memikat hati pengguna, sekali gus menunjukkan rasa keprihatinan daripada pengasas dalam membantu golongan wanita khususnya menata rias wajah mereka. Sentuhan solekan pada wajah merupakan aset kecantikan yang dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang. Setiap wanita mengimpikan kulit wajah yang halus dan mulus tanpa masalah kulit untuk kekal tampak jelita dan lebih menawan. Penampilan diri sangat penting dalam mempengaruhi perwatakan seseorang secara menyeluruh. Walaupun cantik itu didefinisikan sebagai suatu yang indah dan menarik, tetapi kecantikan seseorang lebih terserlah apabila yakin dan selesa dengan diri sendiri.

Kini, Alha Alfa Rich Legacy Sdn. Bhd. dianggap sebagai peneraju industri kosmetik organik yang memperkenalkan penjenamaan Alha Alfa Kosmetik (AA) dengan formulasi yang bebas daripada bahan berbahaya dan berisiko. Nama “Alha Alfa” merupakan cetusan ilham daripada gabungan antara nama pengasas, Al Halim (Alha) dengan nama bapanya, Al Fadzil (Alfa).

Selaku pengasas kosmetik dan merangkap jurusolek artis (MUA) yang sangat dikenali di Malaysia, Dato’ Abdul Al Halim Mohd. Al Fadzil atau lebih dikenali sebagai Dato’ Alha berpendapat bahawa ketelusan niat dan keberkesanan meletakkan strategi pemasaran merupakan faktor utama untuk menentu halakan kelangsungan perniagaan agar terus kekal relevan dan dipercayai oleh pengguna.

Fikir semula niat dan matlamat perniagaan kita. Adakah untuk menunjuknunjuk dan mendapatkan keuntungan sahaja, atau untuk membantu diri, keluarga dan masyarakat bersama-sama berkongsi
rezeki? Mungkin dengan ketelusan niat dan usaha yang betul dan konsisten, maka kejayaan akan menjadi milik kita,” kata pengasas produk AA tatkala diwawancara oleh sidang editor Dewan Ekonomi.

Sememangnya, perniagaan barangan kecantikan diri sudah banyak bertapak di negara ini. Namun begitu, bagaimanakah pengasas atau perniagaan itu sendiri membina keunikan dan inisiatif untuk membezakan produknya berbanding dengan produk lain? Berbekalkan pengalaman sebagai profesion jurusolek sejak zaman universiti lagi, beliau melihat pelibatan diri dalam bidang keusahawanan merupakan satu ruang dan peluang untuk membina kerjaya dan menjana pendapatan, di samping meluaskan produk tempatan di persada dunia.

Menurut Dato’ Alha, idea menghasilkan produk penjenamaan sendiri sebenarnya tercetus apabila beliau menerima banyak panggilan tawaran untuk menjadi duta dan perunding kosmetik dalam mempromosikan produk kecantikan. Perkara yang tidak disangka-sangkakan, hampir kesemua produk yang dipromosikan oleh beliau mendapat sambutan yang menggalakkan, bahkan produk tersebut semakin laku dan laris di pasaran. Maka itu, sebagai figura yang mempunyai ramai pengikut, tanggungjawab dalam memberikan sesuatu perkara yang bermanfaat kepada masyarakat adalah sangat penting, bukan sekadar meraih keuntungan sahaja.

Saya percaya dalam industri ini, seseorang jurusolek artis mahupun publik figura sangat berperanan dalam mempengaruhi perhatian masyarakat atau pengguna dalam memilih dan menggunakan sesuatu produk. Rata-rata pengguna berasa yakin bahawa produk yang digunakan oleh mereka pastinya produk yang berkualiti baik. Bahkan, solekan yang dihasilkan oleh mereka terbukti menonjolkan kecantikan wajah walaupun seseorang itu memiliki bentuk wajah yang kurang menarik atau kulit yang bermasalah,” kongsi Dato’ Alha dengan penuh keyakinan.

Memulakan langkah dalam dunia perniagaan, Dato’ Alha tampil dengan produk sulungnya, iaitu kanta lekap atau lebih dikenali sebagai AlhaAlfa Lenses pada tahun 2017, hasil kerjasama dengan sebuah kilang. Kemudiannya, Alha Alfa Kosmetik mula mengembangkan pasaran dengan beralih kepada produk kosmetik (alas bedak, bedak padat, lipstik, maskara, pembayang mata, pemerah pipi dan sebagainya) yang setanding dengan jenama antarabangsa.

Berdasarkan MOQ (minimum order quantity) atau jumlah pengeluaran unit
produk AA yang paling banyak dari kilang, ialah asas cecair (Royal Propolis
Foundation). Seterusnya, permintaan pada bedak alas muka (Royal Propolis Powder Foundation) juga dilihat tinggi, iaitu lebih daripada 50 000 unit terjual dalam tempoh dua hari, dan terkini dijangkakan untuk edisi raya, hampir ratusan unit permintaan daripada pengguna.

Atas kepercayaan dan permintaan yang tinggi, Alha Alfa Kosmetik telah menubuhkan beberapa anak syarikat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor (IOI City Mall, Jakel Mall, Setapak Central Mall, Bangi Sentral, dan Shah Alam). Tambahan lagi, dengan hasil kegigihan dan ketekunan dalam meletakkan kepercayaan produk kepada pelanggan, AA kini berjaya melebarkan sayap ke negara jiran (Indonesia dan Singapura) pada sekitar tahun 2020 untuk menawan pasaran kosmetik ke seluruh negara Asia.

IOI City Mall, Putrajaya.

Jakel Mall, Kuala Lumpur.

Setapak Central Mall, Kuala Lumpur.

Bangi Sentral, Bandar Baru Bangi.

Seiring dengan niat memartabatkan profesion jurusolek ke peringkat tertinggi, Dato’ Alha turut menerokai bidang produksi dalam program realiti Malaysia Top Make Up Artis untuk mencungkil lebih ramai lagi bakat baharu dan memberikan saingan sihat dalam kalangan jurusolek tempatan. Program yang direncanakan ini sekali gus meletakkan satu persepsi kepada masyarakat bahawa kerjaya ini juga mampu menjanakan pendapatan yang lumayan daripada mereka yang lebih suka makan gaji.

Hampir lima tahun beroperasi, pelbagai masalah dan cabaran yang ditempuhi berjaya diatasi dan perniagaan masih berjalan dengan lancar. Namun begitu, segalanya berubah dalam sekelip mata apabila semua industri, termasuklah Alha Alfa Kosmetik terpaksa menghentikan operasi akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) disebabkan oleh pandemik COVID-19. Dugaan ini merupakan satu tampar dan ujian terbesar yang dirasai oleh syarikat Alha Alfa. Hal ini didapati apabila jualan pasaran menunjukkan kejatuhan yang sangat drastik, iaitu kira-kira 500 peratus kerugian yang dialami.

Segala perniagaan tutup beroperasi, kerja pula semuanya terpaksa dilakukan di rumah sahaja. Pada masa itu, timbul rasa gelisah dan kebuntuan. Bagaimanakah cara untuk mengekalkan perniagaan ini dan membayar gaji pekerja? Jadi, perkara yang terlintas dalam fikiran ialah Alha Alfa Kosmetik perlu menukar strategi pemasaran. Yang sebelum ini hanya mengeluarkan produk kosmetik, kini perlu mengeluarkan produk lain, yakni produk penjagaan kulit dan produk kesihatan. Mungkin mereka tidak bersolek jika di rumah, tetapi penjagaan kulit perlu dijaga dan dirawat. Waktu inilah waktu terbaik untuk mencerahkan wajah, merawat masalah jerawat dan mencantikkan kulit.

Benarlah, setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya. Saya bersyukur dengan pelbagai masalah dan risiko yang dihadapi, saya dan pekerja banyak belajar untuk lebih bersedia dan cekap dalam mengendalikan perniagaan. Kami perlu kreatif dalam mencari jalan penyelesaian, terutamanya dalam aspek pengurusan, pengeluaran dan pemasaran,” katanya lagi,” ujar Dato’ Alha Alfa.

Mengulas tentang kekuatan produk AA, Dato’ Alha menegaskan bahawa produk keluaran syarikatnya ialah berasaskan bahan organik, malah mendapat kelulusan ujian makmal, serta diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Produk AA bukanlah berkisarkan produk yang sudah dikeluarkan oleh pengasas lain dan hanya menukarkan pelabelan produk. Perkara ini bukanlah suatu perniagaan yang sihat, malah merosakkan kredibiliti industri kosmetik di Malaysia. Berniaga tanpa ilmu dan kemahiran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), kebarangkalian perniagaan itu sukar untuk kekal stabil dan berkembang luas seperti syarikat pesaing. Akhirnya, hal ini demikian menciptakan satu persepsi buruk kepada pengasas kerana hanya memikirkan keuntungan daripada mementingkan kualiti produk.

Bagi mencapai standard terbaik dan sentiasa memenuhi kepuasan pengguna, produk AA turut menghasilkan kandungan atau tekstur yang bersesuaian dengan jenis kulit dan warna kulit rakyat Malaysia. Pentingnya pemilihan kandungan produk pada wajah bukan sahaja untuk mendapatkan kesan kulit yang licin atau putih, malah mengambil kira keadaan cuaca persekitaran supaya solekan kekal sempurna tanpa cela atau kesan sampingan.

“Sebagai jurusolek artis, saya mengkaji trend semasa. Maksudnya, saya perlu mengetahui produk antarabangsa yang terbaharu untuk diperkenalkan kepada rakyat Malaysia. Strategi pemasaran ini secara tidak langsung mempamerkan keupayaan industri Malaysia juga berada dalam landasan pasaran kosmetik atau dipanggil sebagai intrend yang setanding dengan produk global. Kita sebenarnya mampu menghasilkan produk yang sama, malah dapat meletakkan harga yang berpatutan kepada rakyat untuk menggunakan produk tersebut,” jelas Dato’ Alha Alfa.

Oleh itu, bergerak seiring dengan revolusi industri kecantikan dan solekan,
AA juga menghasilkan produk yang berteknologi tinggi, iaitu bedak padat (Royal Propolis Powder Foundation) yang menggunakan pelbagai elemen dalam satu produk sahaja. Yang menariknya, produk ini memberikan satu kemudahan atau jalan pintas kepada pengguna untuk menata rias wajah dalam tempoh yang ringkas dan dapat berjimat cermat. Kelebihan yang diformulasikan dalam Royal Propolis Powder Foundation merangkumi kesemua elemen seperti bedak padat, alas bedak, sahap noda dan pelindung sinar ultra ungu.

“Itulah keunikan formulasi pada produk Alha Alfa yang membezakan dengan produk yang lain,” kongsinya lagi. Selain mengembangkan imej dan jenama syarikat, sebagai pengasas dan usahawan yang berjaya, Dato’ Alha mengambil inisiatif dengan cara membantu usahawan kecil dan golongan yang berpendapatan kecil membabitkan diri dalam bidang keusahawanan. Sedar akan persaingan negara yang banyak dimonopoli oleh orang luar, Dato’ Alha tekad untuk berkongsi cara dan teknik perniagaan terbaik bagi membantu meningkatkan taraf dan kualiti hidup.

Dengan membuka peluang melalui pelibatan dalam pasukan AA, seperti menjadi stokis, ejen, dan pesan hantar (dropship), mereka mampu menjana pendapatan sampingan dan mempelajari ilmu keusahawanan. Lebih mengejutkan, mereka ini kebanyakannya datang daripada golongan yang tidak disangkakan (seperti suri rumah dan guru sekolah) dan tidak mempunyai pengalaman berniaga, namun boleh berjaya mencapai jualan sehingga mencecah RM5 juta dalam setahun.

“Setiap minggu, AA akan mengadakan aktiviti dan kelas pembelajaran untuk perkongsian ilmu tentang keusahawanan, teknik pemasaran yang efisien dan cara penggunaan produk dengan betul. Selain itu, ahli kimia dalam R&D AA juga turut serta bagi meyakinkan setiap ejen akan kelebihan kandungan produk AA. Dalam hal ini, ejen bukan sekadar menjual produk, tetapi mengetahui kelebihan formula pada setiap produk tersebut.”

“Saya yakin dengan kesemua ilmu dan kemahiran yang digilap dalam kelas pembelajaran ini, tidak mustahil suatu hari mereka dapat menjadi seorang pengurus atau pentadbir yang berjaya membina perniagaan sendiri. Saya percaya semakin banyak kita berkongsi rezeki, maka semakin banyak pulangan dan ganjaran yang diperoleh bersama-sama. Hasilnya, dalam usaha kami membantu orang lain menjana pendapatan, jenama Alha Alfa itu sendiri dapat berkembang luas, malah memberikan persepsi yang positif kepada masyarakat umum. Hidup ini perlulah saling menyokong antara satu sama lain untuk lebih berjaya,” pesan pengasas kosmetik yang berjiwa besar ini sebelum mengakhiri sesi wawancara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.