Oleh Aweng Eh Rak
4 April 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Penanaman sayuran atau ulaman di sekitar perumahan menjadi aktiviti tradisi untuk menjimatkan kos sara hidup.

Rata-rata kehidupan masyarakat Kelantan bergantung pada aktiviti pertanian secara kecil-kecilan. Keadaan inilah yang menyebabkan rakyatnya lebih tahan lasak dan inovatif dalam mencari sumber pendapatan, di samping menggunakan beberapa inovasi untuk memastikan kelangsungan hidup. Satu daripada pendekatan yang ambil ialah mengamalkan konsep kelestarian ekonomi dalam meneruskan kehidupan harian. Konsep ini berkaitan dengan cara seseorang dapat mengimbangi pendapatan dengan perbelanjaan untuk memastikan aktiviti harian dan kehidupan tidak terjejas atau dengan erti kata lain mampu menjalani kehidupan seperti orang lain yang berkemampuan.

Masyarakat di Kelantan sangat lestari dari segi pengurusan ekonomi isi rumah,  kerana kebiasaannya rakyatnya mempunyai tanah yang terhad, sama ada di belakang atau di sekeliling rumah. Oleh itu, dengan sekeping tanah yang diperoleh, mereka akan pastikan ada rumah dan makanan, seperti sayuran dan pokok buah-buahan yang ditanam sendiri, malah mempunyai telaga untuk sumber air, serta mempunyai reban ayam untuk sumber protein.

Sedikit kawasan lapang ini dimanfaatkan oleh mereka untuk tujuan penanaman sayuran dan ulaman bagi kegunaan harian dan sekiranya terdapat lebihan, maka hasil tersebut boleh dijual. Jenis ulaman dan sayuran yang biasa ditanam ialah limau nipis, bunga kantan, kacang bendi, peria katak, terung bulat, kacang panjang, ketumbar, daun bawang, halia, lengkuas, kunyit, serai, kucai, limau purut dan cili padi.

Kebiasaannya, hanya beberapa pokok ditanam bagi setiap jenis ulaman dan sayuran yang disenaraikan kerana kekurangan kawasan. Setiap jenis ulaman dan sayuran yang kebiasaannya ditanam oleh masyarakat kampung boleh menampung kegunaan selama satu bulan, malah ada sebahagiannya boleh dinikmati sepanjang tahun. Limau nipis, limau purut, bunga kantan, lengkuas, kunyit, halia, sebagai contohnya boleh dimakan sepanjang tahun. Sementara kacang bendi, peria katak, terung bulat, kacang panjang, ketumbar, daun bawang, serai, kucai dan cili padi pula boleh dimakan selama berbulan-bulan.

Rakyat Kelantan lebih tahan lasak dan berinovatif dalam mencari sumber pendapatan.

Pada dasarnya, setiap rumah masyarakat di Kelantan ditanam pokok limau nipis untuk kegunaan harian. Secara purata, mereka akan menggunakan sebiji limau nipis setiap hari, iaitu antara 30 biji pada setiap sebulan. Harga sebiji limau nipis di pasaran ialah sekitar RM0.50. Dalam situasi ini, mereka dapat berjimat lebih daripada RM15.00 sebulan belanja dapur untuk tujuan pembelian limau nipis.

Kebiasaannya, masyarakat menggunakan limau nipis sebagai minuman dan ada juga dalam masakan seperti kerabu, atau sebagai pembangkit aroma dan rasa dalam budu. Budu merupakan menu wajib dalam kalangan masyarakat Kelantan. Satu daripada ramuan yang dimasukkan dalam budu untuk membangkitkan aroma dan selera makan selain cili padi ialah asam limau nipis. Oleh sebab itu, limau nipis digunakan dalam jumlah yang agak banyak.

Selain itu, masyarakat Kelantan juga menanam pokok kantan untuk mendapatkan bunganya. Bunga kantan merupakan ulaman yang popular dalam kalangan masyarakat Kelantan. Bunga kantan biasanya digunakan dalam masakan dan juga sebagai ulaman atau makan dengan nasi kerabu atau laksa dan laksam. Masyarakat menggunakan bunga kantan secara purata ialah 15 kuntum dalam sebulan. Harga pasaran sekuntum bunga kantan ialah RM1.60. Oleh sebab itu, dengan menanam sendiri, masyarakat boleh menjimatkan lebih daripada RM24.00 belanja dapur untuk membeli bunga kantan.

Satu lagi sayur dan ulaman yang biasanya ditanam oleh masyarakat ialah kacang bendi. Kacang bendi merupakan sayuran yang sangat senang ditanam dan jangka hayatnya juga agak panjang, iaitu lebih daripada enam bulan. Secara purata, masyarakat Kelantan menggunakan sebanyak 1.0 kilogram kacang bendi dalam sebulan. Masyarakat menggunakan kacang bendi dalam bentuk goreng, diletakkan dalam masakan asam pedas atau dicelur dan dicecah dengan budu atau sambal belacan dan dimakan dengan nasi putih. Harga pasaran sekilo kacang bendi ialah RM8.40, maka masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur sebanyak RM8.40 untuk tujuan pembelian kacang bendi dalam sebulan sekiranya tanam sendiri.

Peria katak juga merupakan sayuran yang banyak ditanam oleh masyarakat di Kelantan. Peria katak bukan sahaja enak untuk dijadikan sayur, bahkan juga terkenal dengan khasiatnya. Secara purata, masyarakat menyediakan menu goreng peria katak sebagai lauk sebanyak empat kali dalam sebulan dan menggunakan 0.4 kilogram peria katak bagi setiap hidangan. Maka, dalam sebulan masyarakat menggunakan lebih daripada sekilo setengah peria katak. Harga pasaran peria katak ialah RM7.90 satu kilo, maka dalam sebulan masyarakat membelanjakan duit dapur untuk membeli peria katak lebih daripada RM 11.85 sekiranya tidak menanam sendiri.

Terung bulat juga satu lagi ulaman tradisional. Terung bulat biasanya dimakan sebagai ulam atau dicelur. Secara purata, masyarakat menggunakan dua biji terung bulat sehari sebagai ulam. Hal ini bermakna sebanyak 60 biji terung bulat digunakan oleh masyarakat dalam sebulan. Harga pasaran sebiji terung bulat berharga lebih daripada RM0.30. Dengan menanam sendiri, masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur hingga RM18.00 sebulan.

Satu lagi sayuran dan ulaman yang popular dalam kalangan masyarakat di Kelantan ialah kacang panjang. Kacang panjang biasanya dimakan sebagai ulam, goreng atau celur. Secara purata, masyarakat memakan kacang panjang dua hari sekali dengan jumlah 150 gram setiap hidangan, maka dalam sebulan mereka memakan lebih kurang 2.5 kilogram. Harga pasaran 1.0 kilogram kacang panjang berharga lebih kurang RM10.00, maka masyarakat membelanjakan duit dapur sebanyak RM25.00 untuk membeli kacang panjang sekiranya mereka tidak menanam sendiri.

Daun ketumbar dan daun bawang pula merupakan satu daripada tumbuhan rempah yang biasa digunakan untuk menaikkan aroma dan rasa masakan. Sebagai contoh, daun ini digunakan dalam pelbagai jenis kerabu, digunakan dalam ramuan dalam pelbagai sos dan juga digunakan dalam pelbagai menu seperti mi, bihun atau kuetiau. Di samping itu, juga banyak digunakan dalam masakan sup. Pokok ketumbar dan daun bawang biasanya ditanam dalam pasu atau dalam tayar terpakai. Pokok ketumbar dan daun bawang senang tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi, tidak banyak masalah penyakit. Secara purata masyarakat menggunakan lebih daripda 1.0 kilogram daun ketumbar dan daun bawang dalam sebulan. Harga pasaran 1.0 kilogram daun ketumbar ialah lebih daripada RM18.00 dan daun bawang lebih daripada RM14.50. Oleh itu, masyarakat terpaksa membelanjakan lebih daripada RM32.50 sebulan untuk membeli daun ketumbar dan daun bawang sekiranya  tidak ditanam sendiri.

Satu lagi rempah ratus yang banyak digunakan oleh masyarakat di Kelantan dalam masakan ialah halia, lengkuas dan kunyit. Ketiga-tiga jenis ini adalah merupakan pokok yang menghasilkan umbisi dan senang ditanam serta tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Dengan satu potong umbisi, boleh menghasilkan beberapa kilo umbisi dalam masa lebih kurang sembilan bulan. Ketiga-tiga bahan ini merupakan ramuan utama dalam sebahagian besar jenis masakan bagi masyarakat Kelantan dan masyarakat Malaysia secara umum.Ini bermakna masyarakat menggunakan ketiga-tiga bahan ini dalam jumlah yang agak banyak. Secara purata masyarakat menggunakan lebih daripada 1.0 kilogram kunyit, 500 gram lengkuas dan 500 gram halia. Harga pasaran 1.0 kilogram kunyit ialah lebih daripada RM6.90, sementara halia pula berharga lebih daripada RM8.50 dan lengkuas berharga RM4.90. Sekiranya masyarakat tidak menanam sendiri ketiga-ketiga tanaman ini mereka terpaksa membelanjakan sekurang-kurang RM13.60 perbelanjaan dapur dalam sebulan.

Serai merupakan tumbuhan rempah yang sangat popular bagi masyarakat Kelantan secara keseluruhan. Serai boleh dikatakan digunakan sebagai ramuan dalam semua jenis masakan yang disediakan oleh masyarakat Kelantan. Serai juga digunakan sebagai ulaman nasi kerabu yang merupakan makanan tradisional masyarakat Kelantan. Serai sangat senang ditanam dan tidak perlu penjagaan yang rapi. Satu batang serai yang ditanam boleh menghasilkan sehingga lebih daripada 30 batang hingga 40 batang serai dalam tempoh lapan bulan. Secara purata, masyarakat menggunakan dua batang serai dalam satu hari. Ini bermakna mereka menggunakan 60 batang serai dalam sebulan. Harga pasaran satu batang serai ialah lebih daripada RM0.15. Hal ini bermakna masyarakat perlu membelanjakan lebih daripada RM9.00 duit dapur mereka untuk membeli serai sekiranya tidak ditanam sendiri.

Kucai juga merupakan sayuran yang sangat digemari oleh masyarakat Kelantan dan digemari dan banyak ditanam kerana senang ditanam, tidak memerlukan penjagaan yang rapi, senang dimasak dan mengeluarkan bunga cantik yang juga boleh dijadikan sebagai pokok hiasan. Kucai biasanya digoreng dan dimakan dengan nasi putih, serta boleh ditanam di dalam pasu, tayar kereta terpakai atau polibeg. Secara purata, masyarakat menggunakan 1.0 kilogram kucai dalam sebulan. Harga pasaran kucai ialah RM7.90 sekilogram. Dengan menanam sendiri kucai, masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur sebanyak RM7.90.

Di samping itu, masyarakat Kelantan juga terkenal dengan masakannya yang pedas dan masam seperti tomyam yang dipelajari dari Thailand dan sambal belacan. Oleh sebab itu, daun limau purut dan cili padi adalah sangat diperlukan. Masyarakat menggunakan kedua-dua bahan ini dalam jumlah yang agak tinggi, boleh dikatakan secara purata mereka menggunakan 1.5 kilogram cili padi dan 750 gram daun limau purut. Harga pasaran 1.0 kilogram cili padi ialah RM19.90, sementara daun limau purut RM 15.90. Dengan menanam sendiri kedua-dua jenis pokok ini, masyarakat boleh menjimatkan belanja dapur lebih kurang RM42.00 sebulan.

Amalan kelestarian ekonomi masyarakat Kelantan dapat menjimatkan lebih daripada RM200 dalam sebulan duit belanja dapur.

Dengan mengamalkan konsep kelestarian ekonomi, masyarakat Kelantan dapat menjimatkan lebih daripada RM200 dalam sebulan duit belanja dapur. Malah, wang ini boleh digunakan untuk tujuan lain seperti belanja persekolahan anak atau membiayai bil elektrik dan air. Akhirnya, mereka mampu meneruskan kehidupan yang agak selesa walaupun tidak mewah. Semoga konsep ini juga dapat diamalkan oleh masyarakat yang berada di negeri lain untuk memastikan masyarakat dapat keluar dari kepompong kemiskinan, sekali gus membantu negara mencapai taraf negara maju.

Profesor Madya Ts. Dr. Aweng A/L Eh Rak, Universiti Malaysia Kelantan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.