Oleh Rohami Shafie
27 Mac 2021, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia menjadi individu pertama di Malaysia yang menerima vaksin COVID-19 jenis Pfizier-BioNTech. (Sumber: BERNAMA)

Pada tanggal 24 Februari lalu, tercatatlah sejarah individu pertama yang berada di Malaysia diberikan suntikan vaksin COVID-19. Orang pertama ini tidak lain tidak bukan ialah Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia. Sudah lebih setahun pandemik COVID-19 melanda negara. Pada awalnya, rakyat tidak pernah terfikir kesannya terhadap keseluruhan kehidupan mereka. Pada kaca mata mereka, COVID-19 hanyalah sekadar virus biasa yang boleh ditangani dengan cepat. Itu kisah lebih setahun yang lalu. Namun begitu, hari demi hari, COVID-19 bukan sekadar virus tetapi semakin digeruni kerana mampu mengancam sesiapa sahaja terutamanya golongan yang sememangnya sedang mengalami pelbagai penyakit kronik.

Kesan pandemik ini amat besar. Bukan setakat mengubah cara hidup manusia yang gemar bersosial, malah memberikan impak besar terhadap ekonomi sesebuah negara. Bayangkan banyak perniagaan jatuh muflis dan sedang nazak kerana tidak mampu lagi bertahan yang bukan disebabkan oleh persaingan, tetapi akibat virus yang tidak mampu dilihat oleh pandangan mata kasar manusia. Ramai yang dibuang kerja bukan kerana prestasi kerja yang teruk, namun disebabkan oleh prestasi organisasi dan perniagaan yang merudum. Amat jelas organisasi tidak mampu bertahan, bahkan banyak negara telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing untuk memastikan ekonomi negara mereka dapat bertahan dan pada masa yang sama membantu rakyat yang cukup terkesan dengan pandemik ini.

Di Malaysia, pelbagai pakej rangsangan diumumkan oleh kerajaan untuk membantu perniagaan, syarikat dan pastinya terhadap rakyat yang terkesan. Inilah kesan ekonomi paling teruk buat negara dan rakyat Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan disebabkan oleh faktor kesihatan. Oleh hal yang demikian, apabila vaksin COVID-19 mula berada di Malaysia pada bulan Februari yang lalu, keadaan ini pastinya membawa harapan buat negara dan rakyat untuk pulih dan bangkit semula untuk maju ke hadapan.

Dengan adanya vaksin COVID-19 untuk kegunaan penduduk dunia termasuklah Malaysia, dijangkakan pandemik COVID-19 ini akan berakhir pada tahun 2022. Menurut laporan media, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Dr. Hans Kluge, meramalkan pandemik COVID-19 akan berakhir pada awal tahun 2022. Hal ini merupakan satu ramalan yang memberikan harapan kepada penduduk dunia termasuklah rakyat Malaysia.

Meskipun ada yang meramalkan Malaysia akan mengalami perkembangan ekonomi yang semakin buruk pada tahun ini, namun kelihatan beberapa petanda awal ekonomi  negara yang mula beransur pulih. Misalnya, harga minyak global semakin meningkat dan mata wang Ringgit Malaysia juga semakin mengukuh. Bagi golongan konservatif, mungkin petanda ini masih belum cukup menandakan ekonomi Malaysia semakin pulih. Benar, ekonomi Malaysia masih belum menunjukkan sepenuhnya tanda pemulihan. Terlalu awal untuk menjangkakan ekonomi Malaysia akan kembali pulih pada tahun ini. Lebih banyak petanda perlu jelas kelihatan, terutamanya ekonomi Malaysia berkait rapat dengan ekonomi dunia.

Apakah hala tuju ekonomi Malaysia pascavaksin COVID-19?  Berpaksikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), hala tuju ekonomi Malaysia pascavaksin COVID-19 perlu sentiasa diberikan nafas baharu agar WKB2030 mampu dicapai pada tahun 2030.  Pendekatan yang mapan dan berkesan serta menyeluruh untuk memulihkan semula sektor ekonomi yang terkesan, seperti pelancongan amatlah diperlukan. Situasi ini memerlukan kerjasama rapat antara semua agensi kerajaan, sektor swasta dan juga pastinya rakyat Malaysia itu sendiri. Bukan setakat strategi yang dirancang oleh kerajaan, namun  dari segi keberkesanan pelbagai strategi yang sedang dan akan dilaksanakan kelak.

Ekonomi Malaysia perlu diselaraskan berdasarkan situasi yang telah dan sedang berlaku di Malaysia dan seluruh dunia, misalnya impak teknologi terkini yang mula memberikan kesan dalam kehidupan manusia. Tidak hanya melihat pandemik COVID-19 sebagai satu ancaman atau risiko yang negatif dalam kehidupan manusia, tetapi mengambil peluang daripada sebuah krisis kesihatan yang begitu dahsyat ini.

Kerjasama antara semua pihak sangat penting dalam menentukan hala tuju ekonomi Malaysia pascavaksin COVID-19. Semua pihak sudah menerima bahawa pandemik COVID-19 merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Kini, setiap daripada rakyat Malaysia perlu menjadikan pandemik COVID-19 sebagai satu iktibar dan pengalaman untuk menghadapi masa hadapan. Meskipun dikatakan pandemik COVID-19 mula dapat dikawal pada tahun ini berbanding dengan tahun lalu, namun tiada sesiapa pun dapat menjangkakan kesudahan kisah virus ini pada masa akan datang. Vaksin COVID-19 merupakan sebahagian daripada strategi yang perlu diselaraskan dengan pelbagai strategi lain untuk menentukan hala tuju ekonomi Malaysia agar pulih dan bangkit sepenuhnya, sekali gus menjadikan ekonomi Malaysia kembali berada pada landasan yang sewajarnya demi kemakmuran dan kesejahteraan buat negara dan rakyat Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.