26 Mac 2021, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

SENARIO orang ramai berbaris menunggu giliran untuk masuk ke dalam kedai bukanlah satu situasi baharu dalam kalangan masyarakat hari ini memandangkan sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia pada penghujung tahun 2019, masyarakat sudah biasa menjalani kehidupan dalam kebiasaan baharu, seperti beratur sebelum memasuki ke dalam sesebuah premis.

Jika sebelum pandemik melanda, orang ramai yang dilihat beratur di hadapan kedai sementara menunggu kedai tersebut dibuka lazimnya merupakan suasana di hadapan kedai menjual tudung. Hal ini disebabkan masing-masing ingin mendapatkan koleksi terkini yang dijual dalam kuantiti terhad. Sekiranya tidak beratur dan berbuat demikian, maka berputih matalah pengguna dan peminat tegar terhadap promosi atau produk terbaharu tersebut.

Baru-baru ini seperti yang dilaporkan media, situasi (orang ramai berbaris di hadapan kedai) tersebut bukanlah berlaku di hadapan kedai menjual tudung tetapi berlaku di hadapan kedai menjual emas. Masing-masing menunggu giliran untuk masuk ke dalam kedai emas untuk membeli barangan kemas. Pada saat ketidakpastian keadaan ekonomi hari ini, orang ramai dilihat memilih untuk membeli emas, namun bukanlah semata-mata untuk dijadikan sebagai barangan perhiasan diri, malah mereka melihat emas sebagai pelaburan jangka panjang.

Untuk tempoh yang panjang, nilai emas akan meningkat dan kalis inflasi dan tidak bersifat spekulatif sebagaimana pasaran saham, selain tidak mempunyai risiko kerugian apabila pasaran ekonomi terjejas. Statistik yang dikeluarkan baru-baru ini, menunjukkan antara Januari hingga April tahun lalu, harga emas meningkat sebanyak 18 peratus. Walau bagaimanapun, awal tahun ini harga emas dilihat jatuh dan harga jualan sekitar RM220 hingga RM250 segram.

Penemuan vaksin COVID-19 menyebabkan harga emas turun secara mendadak. (Sumber: Daniel Schludi)

Penurunan harga emas yang dilihat mendadak ini disebabkan oleh pengumuman penemuan vaksin COVID-19 pada penghujung tahun lalu dan kebanyakan orang yang membeli emas mengandaikan emas sebagai aset selamat. Namun begitu, pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat, apabila berita vaksin COVID-19 telah ditemui, ekonomi dunia akan kembali pulih seperti sedia kala.

Sebenarnya, jika dilihat dari segi pelaburan tempoh yang panjang, emas menunjukkan trend positif sejak 20 tahun lalu. Malah, dengan keadaan ekonomi semasa juga memperlihatkan emas sebagai satu pelaburan yang menjanjikan pulangan berbaloi. Emas kini menjadi satu daripada bentuk simpanan atau pelaburan tradisional yang terbaik. Pelabur moden turut memandang barangan kemas dan pembelian jongkong emas sebagai pelaburan yang mempunyai risiko minimum.

Pelaburan emas bukan sahaja dalam bentuk barangan kemas, malah didapati dalam bentuk dinar dan jongkong emas. Pelaburan emas dalam bentuk barangan kemas paling mudah menarik perhatian kaum hawa. Selain rekaan yang cantik dan menarik, barangan kemas turut berfungsi sebagai perhiasan, simpanan, pelaburan dan perniagaan.

Emas juga merupakan pelaburan yang boleh keluar dan masuk pada bila-bila masa, selain mudah dicairkan. Hal ini bererti emas boleh dijual atau ditukarkan kepada wang ringgit dengan segera pada bila-bila masa pada saat pemiliknya kesempitan dan memerlukan wang tunai, seperti berlakunya kecemasan. Diakui harga emas tidak meningkat secara mendadak, tetapi nilainya sentiasa meningkat pada kadar yang stabil. Meskipun tidak menjamin pulangan wang yang berganda, tetapi nilai emas tidak mempunyai risiko kerugian apabila pasaran ekonomi terjejas.

Antara kelebihan emas, termasuklah mempunyai fungsi lindung nilai tertentu dalam menghadapi krisis ekonomi, harga emas tidak berubah, kos transaksi yang rendah dan kecairan yang baik. Emas mempunyai atribut mata wang dan premium emas pelaburan fizikal adalah kecil dan dapat ditunaikan berdasarkan sebut harga pasaran masa nyata. Emas juga pastinya mempunyai nilai koleksi apabila bukan sahaja berfungsi sebagai perhiasan.

Sekiranya emas mempunyai kelebihan, tidak bermakna tiada kelemahannya apabila melibatkan pelaburan pokok yang besar dan modal tinggi. Pelaburan emas juga tidak memberikan faedah dan juga pendapatan apabila proses penyimpanan emas fizikal tidak mendatangkan pendapatan dan hanya boleh menunggu harga naik dan menjual untuk keuntungan, selain memerlukan simpanan fizikal dan insurans. Emas fizikal tidak mudah disimpan, dan ada risiko kecurian apabila disimpan di rumah. Pemilik perlu membayar yuran simpanan yang besar untuk menyimpannya di bank.

Emas 999 mempunyai nilai yang tinggi dalam pelaburan.

Hari ini, kesedaran dan maklum balas positif daripada rakyat Malaysia dalam hal berkaitan pengurusan pelaburan mulai dilihat. Begitu pun, dinasihatkan agar orang ramai yang ingin menyimpan barang kemas digalakkan memilih yang jenis padu dan emas 999 atau emas 916. Hindarkan daripada membeli emas yang mempunyai banyak batu permata dan emas putih. Hal ini demikian kerana susut nilainya boleh mencecah hingga 70 peratus.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi