18 Mac 2021, 00:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada 6 Mac lalu, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah melakukan lawatan rasmi ke Arab Saudi. Lawatan ini memunculkan pelbagai reaksi daripada masyarakat. Apakah manfaat hubungan ini terhadap Malaysia?

Dalam hubungan antarabangsa, hubungan dua hala atau istilahnya bilateral merupakan asas substantif dalam usaha melebarkan kerjasama yang berimpak untuk tempoh yang panjang. Satu daripada contoh yang wajar diberikan kredit ialah pada era mantan Perdana Menteri keenam, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak Najib. Meskipun kisah beliau dengan Arab Saudi lebih menonjol dengan isu kontroversi “derma” daripada Raja Salman, namun dalam strategi pembentukan hubungan bilateral dengan negara tersebut, pada era pemerintahannya wajar diberikan kredit.

Kunjungan rasmi kali pertama Raja Salman Abdul Aziz Al-Sa’ud ke Malaysia pada tahun 2017 memberikan Malaysia pelbagai manfaat ekonomi, misalnya pelaburan bernilai RM 31 bilion dalam projek RAPID PETRONAS Pengerang dan Saudi Aramco. Projek ini mewujudkan hampir 50 000 peluang pekerjaan yang menyumbang kepada sosioekonomi masyarakat setempat.

Pengerang dahulunya merupakan kawasan yang kurang membangun, kini dipacu oleh transformasi sosioekonomi yang signifikan selepas kemasukan projek RAPID. Limpahan tenaga kerja di Pengerang mewujudkan kuasa beli yang substantif. Selain perniagaan yang “menjadi”, poket penduduk setempat juga bertambah melalui perniagaan sewa rumah yang menguntungkan. Hasilnya, Pengerang dan kawasan sekitarnya mula dikenali, lantas membuka mata pemaju untuk membangunkan pelbagai projek harta tanah di kawasan tersebut.

Selain memberikan manfaat terhadap sektor ekonomi, Malaysia turut menerima imbalan tambahan seperti 30 000 kuota haji dan beberapa kemudahan lain, misalnya pelepasan haji segera (fast track) untuk jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Madinah dan Jeddah, serta diberikan khemah berhawa dingin di Arafah.

Klimaks hubungan antara Arab Saudi dengan Malaysia pada era Najib memperlihatkan Arab Saudi membuka Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di Putrajaya, umpama pemberian “bunga emas” kepada Malaysia sebagai satu simbol persahabatan. Tidak seperti “diplomasi Panda” daripada China yang membebankan, kesemua kos pembinaan dan operasi KSCIP ini turut dibiayai penuh oleh Arab Saudi.

Penutupan KSCIP secara mengejut oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pascaPilihan Raya Umum-14 (PRU-14) sedikit sebanyak merencatkan kitaran hubungan antara Malaysia dengan Arab Saudi. Natijahnya, Arab Saudi mempamerkan “protes lunak” dengan tidak menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019). Trajektori ini pada dasarnya tidak sihat untuk Malaysia, terutamanya dengan mengambil kira Arab Saudi yang merupakan rakan perdagangan kedua terbesar negara dalam kalangan negara Timur Tengah. Berdasarkan data daripada United Nations COMTRADE, nilai eksport Malaysia ke Arab Saudi bernilai kira-kira A.S.$1.03 bilion pada tahun 2019.

Lawatan rasmi Tan Sri Dato’ Haji  Muhyiddin Yassin ke Arab Saudi baru-baru ini dilihat sebagai mekanisme penting untuk mengeratkan kembali hubungan Malaysia dengan Arab Saudi yang agak renggang ketika era PH. Dalam hubungan antarabangsa, setiap kunjungan rasmi bukanlah berdiri atas nilai “persahabatan” semata-mata, sebaliknya mempunyai tujuan tertentu demi mewujudkan kebaikan pada negara. Lawatan rasmi Perdana Menteri bersama-sama dengan Menteri Luar Negara, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien berjaya menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU).

Arab Saudi bersetuju memberikan kuota tambahan haji pada Malaysia sebanyak 10 000 orang.

Antaranya, Arab Saudi bersetuju untuk memberikan kuota tambahan haji pada Malaysia sebanyak 10 000 orang menjadikan kuota keseluruhan berjumlah 31 600 orang. Malaysia dan Arab Saudi juga bersetuju untuk menubuhkan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia. Penubuhan majlis ini bertujuan untuk membuka jalan bagi sebarang bentuk perundingan demi kepentingan bersama. Malaysia juga menjadi negara pertama yang disenaraikan dalam Inisiatif Perkhidmatan “Jalan Makkah” bagi memudahkan prapelepasan jemaah haji dan umrah di Malaysia.

Melewati perkara tersebut, sisi terpenting dalam lawatan ini memperlihatkan Malaysia berjaya memperluas pasaran minyak sawit negara yang kebelakangan ini menjadi satu “mimpi ngeri” pada kerajaan, termasuklah peneroka FELDA. Malaysia bukan sahaja berjaya melobi Arab Saudi untuk meningkatkan import minyak kelapa sawit Malaysia daripada 318 000 tan yang bernilai RM 900 juta kepada 500 000 tan bernilai kira-kira 1 bilion, malah bakal membuka sebuah pejabat serantau di Jeddah, Arab Saudi dalam usaha memperkasakan lagi pasaran minyak sawit di Afrika dan Timur Tengah.

Menyingkap kembali pada era Barisan Nasional (BN), industri minyak sawit negara pada waktu tersebut sememangnya sudah berada dalam keadaan tidak menentu. Dengan penurunan harga mendadak, peneroka FELDA mula mempamerkan karakter “hilang minat” dengan BN, sehingga BN hilang beberapa kerusi Parlimen yang dominan di kawasan FELDA semasa PRU-14.

Selepas PH mula berkuasa, keadaan ini tidak jua selesai. Bahkan, dikeruhkan lagi apabila kerajaan PH tidak mampu membentuk kitaran perhubungan kondusif dengan negara kuasa beli “mega”, seperti India. Ditambah pula dengan sikap hipokrit Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan import produk sawit dari Malaysia, industri sawit berterusan berada dalam keadaan tertekan.

Secara relatifnya, kunjungan ini sedikit sebanyak melegakan industri sawit negara. Industri sawit di Malaysia bukanlah sektor yang calang-calang. Pada tahun 2020 sahaja, sektor ini mencatatkan jumlah eksport kira-kira RM45.66 bilion. Selepas kehilangan pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, Arab Saudi berpotensi menjadi satu daripada prospek ekonomi yang setidak-tidaknya dapat meningkatkan permintaan industri minyak sawit negara.

Kunjungan Perdana Menteri ini dikatakan langkah kanan bagi memulihkan industri minyak sawit negara. (Sumber: Tk Tan)

Mengikut statistik import Arab Saudi pada tahun 2019, negara tersebut mencatatkan angka import yang besar bagi minyak sawit (A.S.$522 juta), jauh meninggalkan import minyak lain, seperti minyak sayur (A.S.$125 juta), minyak zaitun (A.S.$104 juta), minyak kelapa (A.S.$44.8 juta), minyak kacang soya (A.S.$17.8 juta) dan minyak biji (seed oil) (A.S.$115 juta). Mengambil kira minat mereka terhadap minyak sawit, kunjungan Perdana Menteri baru-baru ini boleh dikatakan sebagai langkah kanan bagi memulihkan industri minyak sawit negara.

Maka itu, bagi negara kecil seperti Malaysia, dasar berkecuali dan berbaik-baik dengan kesemua negara di peta global merupakan tindakan yang strategik dalam usaha menguruskan hal ehwal antarabangsa. Sebagaimana hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, pembentukan kitaran hubungan bilateral yang erat sememangnya memberikan pelbagai manfaat, terutamanya dalam sektor ekonomi negara masing-masing.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.