Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLebih tiga dekad pengalaman dalam dunia politik dan kenegaraan, figura kelahiran Bumi Kenyalang ini telah dipilih sebagai Ahli Parlimen sejak dari tahun 1990 lagi. Berbekalkan personaliti tegas, berwawasan dan berpengalaman luas, serta berpandangan jauh, meletakkan tokoh besar ini sebagai seorang daripada menteri kabinet yang kekal relevan dalam pentadbiran kerajaan sehingga kini.
Pada ketika tahun 2021 membuka tirai, sidang editor Dewan Ekonomi (DE) berpeluang mewawancara Dato Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di pejabatnya, di Menara Bank Rakyat, Jalan Brickfield, Kuala Lumpur secara eksklusif. Berusia 75 tahun, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia ini menggalas tugas yang sangat mencabar tatkala beliau dilantik untuk mengemudi koridor ekonomi baharu, khususnya dalam golongan usahawan terjejas ketika seluruh negara bergelut memerangi pandemik COVID-19.
Bagi mengorak langkah dan merealisasikan usaha kerajaan, beliau tekad membantu meningkatkan sumber pendapatan usahawan supaya lebih berdaya saing dan berkebolehan mengelola teknologi sebagai mercu tanda baharu yang bakal menjadi pengukur ekonomi negara dalam Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Maka itu, bermulalah perkongsian perjalanan dan pemikiran seorang “business minded” (berorientasikan perniagaan) yang berpengalaman luas dan berlatar belakangkan pendidikan Perniagaan dan Undang-Undang.
YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar 1 Februari 1946 Kuching, Sarawak Ahli politik |
---|
Pendidikan: Ijazah Undang-Undang, Universiti Buckingham, United Kingdom Barrister-at-Law, Lincoln’s Inn London Ijazah Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan, Southern California University |
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) 10 Mac 2020 hingga kini |
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) 28 Julai 2015–10 Mei 2018 |
Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia 16 Mei 2013–28 Julai 2015 |
Timbalan Speaker Dewan Rakyat 2008–2013 |
Anggota Parlimen Santubong, Sarawak Sejak 2004 hingga kini |
Anggota Parlimen Batang Lupar, Sarawak 1990–2004 |
Ketua Pegawai Pendakwa PDRM 1982–2001 |
Ketua Polis hingga Pangkat Penolong Penguasa 1967–1982 |
Umum mengetahui fungsi dan matlamat bagi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sememangnya adalah berbeza dari sudut portfolionya. NRE ialah satu kementerian yang berprinsipkan pada penguatkuasaan, sama seperti Kementerian Dalam Negeri yang pernah saya tunjangi dahulu, manakala MEDAC pula lebih bersifat pembangunan dan pembinaan terhadap usahawan. Pentadbiran dan pengurusan NRE kini mempunyai agenda yang berbeza daripada sebelumnya selepas Pakatan Harapan mengambil alih pada tahun 2018, yang dibahagikan kepada dua kementerian, iaitu Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).
Seperkara lagi perbezaan yang dilihat ialah dari sudut ilmiah atau teorinya. Pentadbiran MEDAC kini digubal menjadi lebih terbuka dan tidak terikat pada undang-undang sepenuhnya seperti legasi dahulu. Tujuan utama adalah untuk mengglobalisasikan ekonomi agar tidak terlalu banyak kawalan dalam perniagaan atau pentadbiran, sehingga menyebabkan proses menjadi perlahan, tersekat dan terlalu rumit. Implikasinya, seseorang usahawan itu tidak mampu menjana kekreatifan dan inovasi dalam perniagaan.
Secara peribadinya, perusahaan perniagaan perlulah mempunyai sedikit kebebasan. Kebebasan ini bukan bererti menolak atau memberontak pada perundangan yang telah termaktub, tetapi memudahkan cara untuk membina lebih ramai usahawan berjaya, sejurus meningkatkan ekonomi negara. Inilah yang dilakukan dalam pentadbiran di Amerika Syarikat (AS). Transformasi penggubalan dasar pentadbiran pada tahun 2019–2020 digubal semula, khususnya pentadbiran perniagaan yang menggunakan konsep ekonomi perniagaan berlandaskan nyahkawal (deregulation), yakni pengurangan atau penghapusan kuasa pemerintah dalam industri, kebiasaannya berlaku untuk menciptakan lebih banyak persaingan dalam industri agar kekal menjadi negara maju dan pesat.
Kekurangan ini dilihat apabila dalam satu jabatan setiap perkara perlu mengikuti undang-undang, misalnya pembangunan premis berukuran 50 ekar di sesuatu kawasan perlu ada pelbagai dokumen dan proses-proses, seperti pendaftaran, laporan penilaian (Assesment Report), pelan, kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan banyak lagi.
Atas kesedaran akan pembangunan ekonomi negara, perkara ini telah dibawa ke mesyuarat Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di seluruh negara supaya dapat mengurangkan sesuatu undang-undang dalam perniagaan. Dengan anjakan paradigma yang baharu ini, semua proses dipendekkan tanpa menjejaskan perundangan itu, lantas sesuatu perniagaan dapat berjalan dengan lebih lancar dan efektif tanpa membebankan pentadbiran dan usahawan khasnya.
Sebenarnya kebanyakan buku saya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Antaranya, termasuklah Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen (2010) dan Falsafah Moral Ilmu Berpengakap (2007) terbitan DBP, dan beberapa buah buku lagi bersama penerbitan lain.
Cabaran ini bermula ketika saya diberikan amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai Menteri MEDAC pada bulan Mac 2020 tatkala kerajaan bertukar kepada Perikatan Nasional sewaktu pandemik COVID-19 mula menyerang dengan agresifnya di seluruh negara, termasuklah di Malaysia. Ada dua cabaran utama, pertamanya, mencari resolusi pembendungan pergerakan rakyat melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sedangkan mereka perlu bebas untuk meneruskan operasi ekonomi bagi menyara sumber pendapatan harian.
Ternyata, PKP memberikan tekanan besar kepada individu dan ekonomi, walaupun pada dasarnya untuk menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat. Menurut kajian, ekonomi kita terjejas teruk bermula pada April 2020. Oleh sebab itu, kerajaan mula membuat keputusan dalam kabinet untuk membenarkan semula perniagaan dijalankan pada bulan Mei 2020 dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Kedua ialah cabaran membangunkan usahawan, khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Jumlah kelompok PKS dilihat seperti piramid. Kedudukan yang paling bawah dikenal pasti kebanyakan 80 peratus daripadanya ialah orang Melayu dan Bumiputera, serta kumpulan B40. Kumpulan B40 ini ialah golongan informal yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), seperti “Mak Cik Kiah” dan peniaga di pinggir jalan. Dalam hal ini, golongan ini tidak mempunyai pilihan lain selain daripada berniaga kerana memiliki sijil pendidikan yang minimum, dan jika tinggi hanyalah pada tahap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
Seterusnya, cabaran yang paling kritikal ialah menukar pemikiran setiap individu bahawa betapa pentingnya bidang keusahawanan dalam pertumbuhan ekonomi negara. Kelemahan ini ditonjolkan apabila “budaya” kita lebih memilih untuk bekerja dengan orang lain berbanding dengan membuka perniagaan sendiri, seperti bangsa Cina, kerana tidak berani mengambil risiko. Natijahnya, dalam jabatan kerajaan majoritinya diisi oleh orang Melayu sahaja berbanding dengan bangsa lain.
Kebiasaannya perkara ini melibatkan faktor orang Melayu itu sendiri tidak banyak masuk ke bandar, memegang ekonomi, dan banyak bergantung pada bantuan. Kesemua ini bertunjangkan daripada “motivasi” sesebuah kaum. Kehidupan orang Cina lebih memfokuskan kepada daya tahan hidup (survivability) dan “umbrella concept” seperti yang di bawa daripada pengaruh golongan diaspora. Mereka tiada bantuan khusus dan banyak bergantung kepada kaum sendiri apabila tinggal di negara orang. Oleh sebab itu, semangat perniagaan orang Cina lebih membuakbuak berbanding dengan orang Melayu, India dan kaum lain-lain, demi menyara kos hidup diri dan keluarga. Walaupun dasar ekonomi dilaksanakan pada tahun 1970 berkaitan dengan peningkatan pembinaan usahawan, namun masih belum ramai usahawan Melayu mahupun India dilihat. Hal ini dikatakan demikian kerana sasaran kerjaya mereka lebih tertumpu dalam bidang profesional seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan peguam.
Hal ini bukan suatu perkara yang mudah kerana MEDAC fungsinya untuk membangunkan usahawan dalam meningkatkan jumlah penglibatannya. Kita tidak mahu hanya kumpulan B40 terlibat dalam keusahawanan, tetapi yang paling penting golongan yang berupaya menonjolkan lepasan graduan universiti atau mana-mana institusi pengajian tinggi. Sasaran nilai tambah MEDAC tertumpu kepada mereka yang mempunyai pendidikan tinggi agar mewujudkan kualiti usahawan yang lebih berdaya saing dengan adanya latar belakang pendidikan tinggi.
Dalam konteks ini, kita tidaklah mengetepikan mahupun mengabaikan golongan B40 atas sebab tiada pendidikan tinggi, tetapi golongan tersebut perlu menjadikan kekurangan itu sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan industri PKS pada tahap yang lebih maju. Misalnya, Bill Gates yang tidak mempunyai pengajian tinggi mampu mempengaruhi perniagaan seterusnya seluruh dunia dengan membina perisian Microsoft lalu tergolong sebagai seorang daripada usahawan terkaya di dunia, walaupun pernah gagal dalam perniagaannya. Beliau sesuai dijadikan tokoh inspirasi dalam perniagaan yang tidak mudah menyerah dengan cabaran dan liku-liku kehidupan.
Oleh yang demikian, mereka perlu belajar mengikuti budaya pemikiran orang Cina dalam perniagaan, yang berpendapat bahawa perniagaan ialah nilai tambah kehidupan untuk sentiasa ke hadapan, lebih-lebih lagi ketika dunia dilanda pandemik COVID-19. Hal ini merupakan satu lonjakan terbaik untuk membantu diri, keluarga dan masyarakat supaya terus gemilang dan masyhur dalam pasaran tempatan, seterusnya pada peringkat global.
Seiring dengan IR 4.0, MEDAC tidak berkecuali mencari mekanisme terbaik untuk mengubah nasib dan kaedah perniagaan ke arah yang lebih relevan dan sofistikated selaras dengan arus pemodenan. Terdapat tiga platform utama untuk meningkatkan perniagaan pasaran, antaranya termasuklah perniagaan secara pendigitalan, e-dagang (e-commerce), dan proses automasi (automation proses).
Menurut penyelidik dan pakar ekonomi, usahawan mampu menjana pendapatan yang berlipat ganda daripada sebelumnya apabila mengaplikasikan pendekatan ini, malah mampu menembusi pasaran luar. Kekuatan platform secara pendigitalan ini sebenarnya memudahkan lagi proses peniaga untuk berhubung, membuat promosi perniagaan dan produk, serta merancakkan persaingan dengan peniaga lain. Mungkin pada peringkat awal penerimaan ini sukar diterima oleh usahawan, khususnya peniaga kecil yang menggunakan perniagaan secara konvensional, dan golongan yang tidak terdedah dengan kemahiran teknologi. Namun begitu, setiap usahawan perlu bijak dan cepat bertindak agar tidak ketinggalan dan sentiasa peka akan perubahan kehidupan kebiasaan baharu.
Lima Kebaikan Perniagaan Secara Pendigitalan
Latar pendidikan saya yang utama sememangnya berkaitan dengan bidang keusahawanan, maka bersesuaianlah dengan kedudukan saya dalam kabinet. Saya banyak mengetahui selok-belok tentang keusahawanan dan pemikiran usahawan, serta kesannya jika melakukan sesuatu perkara. Prinsip “Driven Leadership to Champions” kebiasaannya digunakan dalam istilah ekonomi perniagaan untuk usahawan yang berjaya. Apabila kesemua ilmu pengetahuan dan teknik keusahawanan didalami, maka saya yakin pertumbuhan sesuatu perniagaan mampu menjadi maju setanding dengan pasaran antarabangsa, walaupun dunia berhadapan dengan pelbagai ancaman seperti pandemik COVID-19.
Oleh sebab itu, setiap perniagaan perlu berpaksikan pada mekanisme pendigitalan, e-dagang dan proses automasi, iaitu menukar tenaga manusia kepada bantuan instrumen atau mesin untuk mengoptimumkan kualiti dan kuantiti produk perniagaan. Itulah kekuatan atau rahsia kejayaan sesuatu perniagaan dalam zaman pembangunan teknologi yang serba canggih.
Kini, kita hidup dalam kebiasaan baharu. Kita harus berjalan lebih jauh dan banyak meluangkan masa tambahan untuk menyantuni rakyat. Jika tidak, masalah akan berlaku dan membebankan masyarakat, malah membantutkan aliran ekonomi negara.
– This is abnormal time, you have to walk extra miles and spend extra hour in order to serve people.
Jawapannya ialah tidak cukup walaupun telah disumbangkan berbilion-bilion. Maka itu, kerajaan melihat langkah yang terbaik ialah mengkaji semula dasar bagi pembiayaan PKS mikro yang merangkumi aspek, seperti menyediakan sokongan latihan dan dorongan untuk membina prestasi usahawan yang mampan ke peringkat global, serta penerapan amalan pengurusan perniagaan dengan lebih mantap.
MEDAC telah mewujudkan beberapa badan dan agensi tertentu untuk mencapai objektif ini, iaitu Institut Keusahawanan Negara (INSKEN). INSKEN ialah sebuah agensi yang menawarkan inisiatif pembangunan kapasiti usahawan melalui program latihan dan bimbingan. Selain itu, kita turut memastikan program yang dianjurkan adalah berdasarkan keperluan dan permintaan industri dengan kerjasama pengamal industri, profesional dan agensi kerajaan bagi memantapkan lagi ekosistem keusahawanan negara.
Walau bagaimanapun, pelbagai inovasi diwujudkan di negara terutamanya dari segi bantuan kewangan PKS, seperti e-pinjaman, penggunaan data alternatif untuk menentukan kelayakan kredit, pelaksanaan e-pengilangan dan pembiayaan rantaian bekalan.
Perkara paling tunjang sekali ialah kesedaran dalam diri setiap usahawan. Baru-baru ini, MEDAC bersama-sama pegawainya membuat lawatan ke tapak kenderaan bersaji (food truck) di Puchong untuk melihat situasi sebenar dan mengkaji kelemahan dan kekuatan dalam usaha mempromosikan produk perniagaan mereka. Terdapat situasi yang menggambarkan kelemahan atau kekurangan perniagaan konvensional untuk menjana pendapatan yang konsisten, apatah lagi pendapatan tambahan. Dalam hal ini, terdapat dua kedai bersebelahan yang menjual makanan. Kedai A mempunyai pelbagai aneka juadah makanan dan dihiasi dengan keunikan tersendiri, manakala Kedai B hanya menjual dua atau tiga jenis makanan. Lebih mengejutkan apabila dilihat Kedai B mempunyai pelanggan yang lebih ramai, bahkan pengedar makanan (seperti GrabFood, FoodPanda) juga menanti pesanan makanan untuk dihantar kepada pelanggan. Hasil dapatan kajian, Kedai A menggunakan konsep konvensional, manakala Kedai B memperoleh kekuatan disebabkan oleh penggunaan platform pendigitalan dan e-dagang bagi mempromosikan produk di pasaran. Tambahan lagi, Kedai B dikatakan mampu menembusi pasaran dengan lebih mudah dan cepat melalui pengiklanan dan perkhidmatan perniagaan secara digital.
Oleh hal yang demikikan, MEDAC telah membuka peluang kepada usahawan dengan mewujudkan 5000 terminal warung riders di seluruh Malaysia. Dalam hal ini, warung riders dianggap sebagai penasihat untuk mempromosikan produk di pasaran yang lebih meluas. Namun begitu, timbul pula isu peniaga-peniaga ini tidak mampu untuk membeli terminal, malah beranggapan harga terminal yang bernilai RM500–600 adalah mahal dan satu pembaziran. Bagi mereka, lebih baik wang tersebut dijadikan sebagai modal pusingan perniagaan. Pada hakikatnya, terminal ini sebenarnya dapat membantu pendapatan dan keuntungan yang lebih lumayan, iaitu menjadikan jumlah pendapatan perniagaan mereka mampu mencecah hingga ke RM20 000 atau lebih daripada itu. Secara tidak langsung, status usahawan ini dapat bertukar daripada kelompok B40 kepada M40, iaitu misalnya gaji daripada RM3000 meningkat kepada RM8000.
Kesimpulannya, saya menyarankan usahawan khususnya PKS untuk menukar tahap mentaliti dengan lebih terbuka dan cakna, serta menegaskan kepada pegawai kementerian agar sentiasa peka akan pulangan modal (return of investment) agar setiap peniaga tidak terjejas.
Usaha murni ini sewajarnya disokong dan diberikan perhatian oleh semua pihak. Alangkah baiknya jika sesetengah mata pelajaran berkaitan dengan keusahawanan dapat diselitkan tentang peri pentingnya keusahawanan untuk menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan. Selain itu, ini merupakan satu pilihan alternatif kepada. pelajar untuk lebih mengenali tentang dunia pekerjaan. Selaras dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), bidang keusahawanan diyakini dapat meningkatkan semangat dan mentaliti rakyat, khususnya orang Melayu dan Bumiputera untuk terus maju dan menjadi contoh ikon terbaik dalam sektor perniagaan.
Pengiktirafan sijil halal ini mempunyai nilai keistimewaan yang besar untuk mendapatkan kepercayaan dan ketelusan kualiti perniagaan. Di Malaysia, perkembangan dan pembangunan pengurusan sijil halal sememangnya sudah jauh maju ke hadapan dan setanding dengan negara lain. Hal ini dibuktikan apabila institusi perbankan Islam, negara kita merupakan antara negara yang terdahulu menjalankan operasi berbanding dengan negara maju seperti Emerald, Kuwait, Bahrain dan banyak lagi.
Namun begitu, timbul kekecewaan apabila baru-baru ini isu pertikaian tentang status halal pada daging disebabkan oleh beberapa isu kelemahan, termasuklah rasuah dalam organisasi tertentu. Perkara ini tidak wajar berlaku kerana memberikan persepsi atau kepercayaan yang tidak baik kepada pihak luar, khususnya rakyat Malaysia. Oleh hal yang demikian, MEDAC menyediakan perkhidmatan untuk melatih usahawan dan membina kepakaran penasihat berkaitan dengan pengurusan pensijilan halal dalam pentadbiran agar tidak lagi menimbulkan kekeliruan atau salah guna kuasa. MEDAC telah mewujudkan 30 penasihat di TEKUN dan Bank Rakyat. Penasihat ini bukan sekadar menasihati, malah turut membantu dan menjadi penghubung kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) agar memudahkan proses kepada peniaga.
Dalam perkara ini, ada dua sudut yang perlu dilihat, yakni pihak peniaga atau usahawan dan bank. Pada pihak peniaga/usahawan, moratorium ini sangat membantu, terutamanya terhadap pihak yang kekurangan sumber pendapatan. Perlanjutan tempoh yang diamalkan atau dilakukan oleh kerajaan selama enam bulan dapat mengurangkan beban, seperti pembayaran ansuran kepada pihak bank. Dalam hal ini, individu atau usahawan perlulah menggunakan peluang ini melalui saluran yang betul seperti modal ke dalam perniagaan atau pelaburan untuk memulihkan kembali aliran wang keluar masuk. Walau bagaimanapun, bagi golongan yang berkemampuan, saya sarankan agar bayarlah moratorium kerana pada masa akan datang apabila pelanjutan ini tamat, mereka tetap perlu membayar hutang tersebut. Rakyat perlu faham perlanjutan ini hanya bersifat melanjutkan tempoh pembayaran, bukan bermakna terlepas terus daripada membayar hutang. Setiap individu perlu bijak menguruskan kewangan agar sumber pendapatan tidak terjejas apabila ditimpa musibah.
Pada pihak bank pula, misalnya Bank Rakyat. Bank Rakyat dilaporkan kehilangan sumber kewangan hampir 1.4 bilion sepanjang moratorium dilaksanakan. Namun begitu, Bank Rakyat masih memainkan peranan dalam usaha membantu rakyat meskipun pusingan modal terganggu. Sebagai contohnya, dividen yang diisytiharkan bagi tahun 2020 adalah masih tinggi dan berpatutan, walaupun ekonomi negara terjejas akibat pandemik COVID-19. Hasil keuntungan ini mencapai satu bilion. Hal ini bermakna, walaupun moratorium dilaksanakan, bank masih mempunyai pusingan hasil keuntungan untuk membantu rakyat yang terjejas.
Ya, benar. Jika diambil kira sehingga ke hari ini, mungkin lebih daripada jumlah tersebut. Kementerian MEDAC mempunyai ratusan program baharu yang diperkenalkan. Oleh sebab itu, berlaku kekeliruan terhadap kebanyakan orang akan fungsi program bantuan tersebut, seperti siapakah yang layak diterima, bagaimana cara untuk mendapatkan, serta apakah manfaat program bantuan tersebut?
Contohnya, penghantar makanan atau food riders keliru akan tiga peringkat program TEKUN Mobilepreneur untuk mendapat bantuan kewangan. Secara umumnya, TEKUN Mobilepreneur 1.0, menawarkan pembiayaan khas sehingga RM2000 untuk modal pusingan dan baik pulih motorsikal (Interest Free); TEKUN Mobilepreneur 2.0 ialah program yang meliputi pembiayaan maksimum sehingga RM10 000 bagi pembelian motosikal baharu dan modal pusingan; dan TEKUN Mobilepreneur 3.0 pula merupakan kesinambungan Program TEKUN Mobilepreneur 1.0 dan 2.0, iaitu pembiayaan modal kepada usahawan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal, seperti pembelian motosikal, baik pulih motosikal, pendaftaran terhadap syarikat e-hailing (e-panggilan), dan modal pusingan.
Seterusnya, aduan tentang inquiry atau lebih difahami dengan siapakah perlu dihubungi untuk mendapatkan jawapan berkaitan dengan program bantuan yang ditawarkan tersebut. Sebagai contoh, bagaimanakah rayuan bantuan tersebut dilakukan?; adakah masih diterima rayuan walaupun tarikh program tersebut sudah ditutup?; dan bagaimanakah untuk mempercepatkan proses permohonan atau pendaftaran? Selain itu, ada juga panggilan berkaitan dengan aduan proses kelulusan dokumen yang dihantar oleh usahawan tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak yang bertanggungjawab. Malah, ada juga aduan berkaitan dengan sesetengah pegawai yang tidak mengetahui garis panduan baharu yang dilaksanakan oleh jabatan sendiri. Implikasinya, berlakulah perselisihan faham akibat perbezaan dalam pendapat atau pandangan.
Walau bagaimanapun, kerajaan telah melakukan banyak usaha murni demi menyejahterakan rakyat dan negara. Integrasi ekonomi dalam sesebuah negara amat diperlukan untuk kesalinghubungan gerakan yang melangkaui sempadan barangan, perkhidmatan, teknologi dan modal antara pelaburan asing.
Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan yang penting, tidak kira sama ada pihak pengurusan atasan mahupun golongan bawahan. Menerusi IR 4.0, syarikat dan usahawan perlulah mengubah pengurusannya kepada norma baharu yang mengaplikasikan penggunaan teknologi tinggi, iaitu menukarkan secara maksimum perniagaan konvensional kepada perniagaan secara dalam talian.
10 Gabungan Kemahiran Khusus dan Insaniah yang Diperlukan dalam DKN 2030